DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)
SAMBUTAN Hari Guru tanggal 16 Mei (di peringkat kebangsaan) dan 18 Mei (di peringkat sekolah) mengingatkan zaman saya sebagai wartawan pada tahun-tahun 1980-an yang pada ketika itu Menteri Pendidikan negara adalah Anwar Ibrahim. Ya, itulah Anwar Ibrahim yang kini terkurung di penjara Sungai Buloh gara-gara sebuah fitnah.
Sebagai wartawan yang selalunya diamanahkan membuat liputan isu-isu pendidikan, maka kerap benar saya 'berkampung' di kementerian yang ketika itu terletak di Damansara. Selalunya apabila sesuatu isu timbul, sementara menunggu menteri dan pegawai tertingginya berbincang sebelum diadakan 'press conference' (sidang akhbar), 'melepaklah' kami wartawan di ruang tamu kementerian dan kantin atau berlegar-legar di sekitar bangunan kementerian.
Pada ketika guru-guru dan anak murid mereka menyambut Hari Guru tahun ini, apabila membelek-belek tulisan lama saya, terjumpa berita liputan saya mengenai Hari Guru 1988 yang bertemakan 'Guru Pengasas Budaya Membaca' di mana Anwar merasmikan Hari Guru peringkat kebangsaan di Universiti Malaya.
Antara lain saya menulis: Guru digesa mendidik pelajar berdasarkan pengetahuan mereka, terutama yang diperolehi melalui pembacaan dan tidak mengehadkan pengajaran sesuatu mata pelajaran kepada kehendak peperiksaan.
Sehubungan itu, Menteri Pendidikan, Encik Anwar Ibrahim meminta guru membanyakkan usaha penelitian dan penyelidikan melalui pembacaan, mengenai falsafah dan sejarah sesuatu bidang ilmu itu.
"Proses penerapan nilai itu juga akan membolehkan mereka mengetahui latar belakang perkembangan sesuatu ilmu dalam konteks peradaban dan keilmuan manusia," katanya.
Encik Anwar berkata, jika perkara ini diamalkan, guru-guru tidak akan mengeluh dengan beban tugas sebagai pendidik kerana mereka sendiri mendapat manfaat daripada perjuangan itu.
Beliau berkata, seorang guru yang peka terhadap perkembangan ilmu dan cintakan kerjayanya akan berusaha sepanjang hayat untuk membaca, mengumpul maklumat dan kemudian memberi satu tafsiran yang sistematik dan bermakna mengenai perkara itu.
"Seandainya seseorang guru itu tidak mempunyai kepekaan dan kecintaan yang sedemikian, kesungguhan kepada kerjaya boleh dipersoalkan. Dia hanya bergantung kepada fakta usang dan lapuk dan tafsiran yang tidak boleh lagi dipertahankan.
"Segala pengalamannya sebagai pendidik dan sebagai individu dalam masyarakat juga menjadi sia-sia. Proses pengajarannya menjadi tidak berkaitan dengan hasrat falsafah pendidikan, masyarakat, bangsa dan negara," kata Encik Anwar.
Demikianlah pesanan Anwar kepada guru sebagai Menteri Pendidikan pada tahun 1988, persoalannya mengapa saya mengetengahkan perkara ini semula selepas ia berlalu hampir 30 tahun lalu?
Jawapan sebahagiannya adalah kerana ada pihak tertentu yang mempunyai kuasa berusaha untuk memadamkan rekod-rekod pencapaian dan kerja baik Anwar. Ertinya mereka mahu orang ramai melupakan Anwar dan sehubungan itu apa-apa yang ada kaitan dengan Anwar cuba dilupuskan. Agaknya, mereka mahu 'Anwar terus reput dan hilang namanya dalam penjara'.
Saya pernah ke sebuah masjid yang pada batu peringatan ditulis: Masjid......dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim; tetapi lakaran nama itu cuba dipadamkan tetapi tidak berjaya sepenuhnya.
Demikian juga pada batu-batu peringatan di sesetengah bangunan dan kompleks kerajaan, pahatan nama Anwar sudah ditanggalkan, hakikatnya tokoh inilah yang merasmikan kemudahan itu puluhan tahun lalu.
Sekarang ini, bercakap mengenai Anwar Ibrahim, mungkin 'tersangat kurang' generasi muda terutama di bangku sekolah yang tahu bahawa Anwar pernah menjadi Menteri Pendidikan.
Jadi sempena Hari Guru 2015 dengan tema 'Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak', 'tidak sempurna rasanya' jika kita tertinggal daripada mengenang jasa seorang tokoh dunia pendidikan kita yang bernama Encik Anwar Ibrahim. Itulah gelaran buat Anwar pada tahun-tahun 1980-an dan dia sangat selesa jika wartawan memanggilnya 'Saudara Anwar'!
No comments:
Post a Comment