Tuesday, May 12, 2015

Bercakap bohong lama-lama jadi menteri...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ***************************** Renungan ****************************** "Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) 

HAMPIR setiap pagi Ahad saya mengajar pelbagai subjek akademik di sebuah tahfiz. Suatu hari saya mengajar murid-murid mengenai pantun (dalam subjek Bahasa Melayu) dan meminta mereka menulis dan membaca pantun masing-masing. 

Saya menulis pantun klasik; 'Pisang mas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati' di papan putih sebagai contoh pantun yang baik tetapi apa yang ditulis anak-anak murid saya?

Seorang murid mengejutkan saya apabila dia membaca pantunnya yang berbunyi: Siakap senohong, gelama ikan duri, bercakap bohong, lama-lama jadi menteri...sepatutnya dia menulis perkataan terakhir, 'mencuri' tetapi jadi menteri pula. Kenapa begitu? Adakah masyarakat kita sudah tenat sehingga 'budak-budak' pun mengaitkan soal pembohongan dengan menteri?

Berhubung isu terkini berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), seorang pegawai tinggi kerajaan meluahkan rasa kurang sedap di hatinya apabila dikerahkan untuk menerangkan akan kebaikan rejim percukaian itu kepada orang ramai sedangkan hakikatnya perbelanjaan beliau sendiri pun bertambah kira-kira RM300 sebulan.

Katanya, jika dia sendiri tertekan akibat GST, rasanya tidak tergamak untuk dia 'membohongi' orang awam; dia rasa bersalah, tetapi demi kelangsungan hidup, mahu atau tidak, dia terpaksalah berpura-pura...demikianlah agaknya 'kalau bercakap bohong lama-lama boleh jadi menteri'.

Kita sangat bimbang kerana soal tidak memenuhi janji (melakukan pembohongan) sudah bersarang di kalangan ramai pemimpin hatta di kalangan pemimpin tertinggi negara. 

Terpulanglah kepada rakyat untuk menghakiminya tetapi dengan berat hati kita memaklumkan bahawa kita kurang senang dengan isu GST ini dan beberapa perkembangan politik tanah air seperti pengekalan Akta Hasutan sedangkan ia sudah dijanjikan untuk dihapuskan sebelum itu.

Apa yang kita bimbang pembohongan sudah berleluasa dalam masyarakat. Jika pemimpin pembohong atau tidak tunai janji, rakyat pun pembohong, natijahnya apa hendak jadi dengan masyarakat dan negara kita? 

Pemimpin pembohong amat bahaya. Mereka yang kaki 'auta' dan kaki kelentong ini cakapnya berdegar-degar. Janji sana janji sini. Misalnya, minta rakyat berjimat cermatlah selepas kenaikan harga minyak, tetapi diri sendiri dan anak bini kaki joli, boros - menghabiskan harta negara. 

Minta rakyat beramanahlah, sedangkan mereka khianat, melarikan wang berkarung-karung ke luar negara. Minta rakyat cintakan bahasa kebangsaanlah, sedangkan mereka menghancurkannya, menjayakan sesuatu projek untuk mengisi kantung sendiri dan kroni-kroni. 

Jika kita merujuk kepada dunia Barat (masyarakat suka berkiblatkan Barat bagi membicarakan hal ketamadunan seperti demokrasi), pembohongan adalah sesuatu yang tidak dapat dimaafkan. 

Dulu bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dihadapkan ke sebuah lembaga penyiasat untuk di'grill' (ditanya secara terperinci) mengenai pembabitkan askar Britain ke Iraq berdasarkan laporan perisikan negara kononnya Presiden Iraq ketika itu, Saddam Hussein mempunyai senjata pemusnah secara besar-besaran.

Barat juga mempunyai watak Pinocchio yang hidungnya akan menjadi semakin panjang jika dia berbohong. Semasa kecil kita juga diperkenalkan dengan kisah 'The Boy Who Cried Wolf'...seorang budak gembala akhirnya menyedari bahawa melakukan pembohongan akan membawa musibah yang teruk kepada dirinya sendiri.

Demikianlah, tamadun Barat tidak dapat menerima sama sekali akan pembohongan. Jika Barat mementingan kebenaran dan tidak dapat bertolak ansur berhubung pembohongan terutama pemimpin pembohong atau tidak menepati janji, bagaimana diri kita yang mengaku Islam? 

Pemimpin tulen boleh dilihat daripada seiringnya cakap dan perbuatannya. Jika sudah menjanjikan sesuatu, dia tunaikannya. Jika dia mengesyorkan rakyat hidup sederhana, dia pun hidup secara sederhana. Tidak bolehlah seorang pemimpin meminta rakyat mengikat perut bagi menghadapi zaman inflasi sedangkan dia boros menghamburkan harta negara.

Amalan munafik pemimpin menjerumuskan negara ke lembah kehancuran. Apa yang ditonjolkan oleh pemimpin, menyerlahkan sikap munafik (seperti tidak menepati janji, bercakap bohong dan pecah amanah) akan menjadi ikutan rakyat negara ini. Apabila pemimpin zalim, rakyat pun zalim; apabila pemimpin berbohong rakyat pun jadi pembohong; dan apabila pemimpin pecah amanah dengan mengamalkan rasuah, rakyat pun terikut sama. 

Nabi Muhammad s.a.w. memandang serius pembohongan sebagai mana sebuah hadisnya sebagaimana dinukilan Abu Isa At-Tirmidzi (Imam Tirmidzi) yang bermaksud: “Diriwayatkan daripada seorang sahabat bagi Nabi s.a.w., namanya Abdullah bin Umar r.a., katanya: Telah aku dengar Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam, bersabda ia: Bahawasanya orang yang menyalahi janji itu didirikan baginya bendera pada hari kiamat di punggungnya.”

Maka bendera itu diangkat tinggi atas kadar menyalahi janjinya kerana memasyhur kepada alim akan tabiatnya di dunia. Maka yang lebih besar bendera ialah bendera raja yang menyalahi janji dan diberitahu pada sekalian bendera itu dengan kata: “Inilah penyalahi janji si anu.” Kata Abu Isa hadis ini hasan shahih.

Menyalahi janji itu haram, istimewa pula daripada orang yang mempunyai pemerintahan kerana menyalahi janjinya membawa kepada mudarat melampau kepada makhluk yang banyak. Dikhuatiri dia akan dihumbankan ke neraka. Nauzubillah.

No comments: