Saturday, May 9, 2015

Dari UKM ke Harakah (14): Media: ...bangkai gajah di depan mata tak nampak

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan 

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)

PETANG Jumaat, 1 Mei, saya menyertai perarakan membantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di ibu kota yang bermula dari Masjid Negara menuju Dataran Merdeka seterusnya ke KLCC. Ada kumpulan lain bermula dari pelbagai tempat seperti berdekatan Masjid Jamek dan pusat beli belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Malam itu juga saya balik ke Melaka dan pagi keesokannya ketika membeli barangan keperluan, si peniaga bertanya saya: "Macam mana bantahan semalam bang? Saya tengok 'paper' hari ini tak ada laporan pun. Semalam saya tunggu berita jam 12.00 tengah malam, ingat adalah berita mengenai bantahan itu,,,tak ada langsung. Bantahan tak ada sambutan ke bang?"

Saya tidak terkejut mendengar luahan peniaga itu. Demikianlah sikap media massa yang mendakwa sebagai arus perdana di negara ini - satu demonstrasi besar yang sesetengah media alternatif melaporkan dihadiri di antara 20,000 hingga 30,000 orang - 'tidak dapat dihidu' sang wartawan; ya mungkin wartawan mereka berada di lokasi tetapi 'apa yang disaksikan dengan mata kepala mereka' itu bukan sesuatu yang 'bernilai' untuk mereka laporkan atau jika mereka membuat laporan, ia tidak menarik minat pengarang-pengarang dan pihak atasan untuk disiarkan dalam akhbar mereka.

Saya juga tidak hairan jika ada media massa melaporkan perarakan itu secara negatif - misalnya merakam gambar di lokasi kurang pembantah, kemudian menghebahkan bahawa tunjuk perasaan tidak mendapat sambutan dan mengambil gambar kanak-kanak dan kemudian melaporkan budak-budak pun dieksploitasi oleh pembantah. Ya, mereka tercari-cari 'benda kecil' dan tak hiraukan 'benda sebenar atau besar' (event) yang berlangsung di depan mata mereka!

Berhubung kecenderungan ini saya tertarik dengan huraian seorang pakar motivasi mengenai kecenderungan sesetengah 'manusia berhati gelap' mencari-mencari kesalahan orang hatta terhadap isteri atau suami sendiri. 

Kalau kita mencari-cari kelemahan pasangan kita pasti terjumpa - beliau membuat perumpamaan begini; jika kita mencermin dan membelek muka mencari-cari jerawat akan adalah jerawat sedangkan jika tidak mempedulikannya daripada awal, kita tidak perasaan jerawat sekalipun jika ia ada. Ini menyebabkan kita gagal 'terpandangkan' keseluruhan 'muka kita yang cantik' atau 'handsome' itu!

Berdasarkan kejadian dalam negara ini wartawan 'gagal' melihat 'kehebatan' puluhan ribu pembantah yang berarak di jalan raya atau mereka 'buat-buat buta' tetapi persoalannya mengapa wartawan atau pengarang ini begitu 'peka' akan hal yang sama jika ia berlaku di luar negara. 

Misalnya, 'alangkah hebat' akhbar-akhbar ini menyiarkan berita puluhan ribu pendemonstrasi merah di kota Bangkok atau Jakarta dan tidak cukup dengan laporan agensi berita asing mereka menghantar wartawan ke lokasi antarabangsa tersebut.

Terbaru gempa bumi di Nepal menarik minat mereka; wartawan segera dihantar ke sana. Kalau 'kejadian di depan mata' seperti puluhan ribu orang berarak di Kuala Lumpur wartawan mereka 'tak nampak', agak-agaknya kita nak percaya tak apa-apa yang wartawan mereka laporkan dari Nepal itu?

Demikian sikap sesetengah media massa kita yang 'menepati' peribahasa 'kuman di seberang lautan nampak, bangkai gajah di depan mata tak nampak'. Mereka bersikap 'pilih bulu' daripada awal lagi sudah membuat keputusan peristiwa mana hendak dilaporkan, peristiwa mana mahu 'dibakulsampahkan'.

Sebagai wartawan yang pernah membuat liputan peristiwa luar negara, saya mendapati kos menghantar wartawan ke lokasi bukannya murah; misalnya bagi membuat liputan pilihan raya pelbagai kaum pertama Afrika Selatan pada 1994, saya diberi peruntukan AS$10,000 (kira-kira RM27,000 ketika itu). 

Jumlah wang terlalu besar diperlukan untuk menghantar wartawan ke lokasi antarabangsa, jadi amat malang jika 'pelaburan sebegitu besar' menghasilkan laporan yang tidak dapat dipercayai berdasarkan tanggapan wartawan di depan mata (lokasi tempatan seperti demonstrasi membantah GST) pun sudah tidak dapat diyakini kerana sudah 'buta mata dan hatinya'!

No comments: