Wednesday, May 20, 2015

Dari UKM ke Harakah (15): Merindui sebuah sekolah kewartawanan Islam

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

PULUHAN tahun lalu, masyarakat kita asing dengan istilah dan kaedah Islam dalam pelbagai bidang kehidupan seperti perbankan, insurans (takaful) dan pajak gadai (Ar-Rahnu) tetapi hari ini identiti ini bukan saja mendapat sambutan di kalangan umat Islam tetapi juga bukan Islam. Malah pengajian bidang berkenaan sudah lama ditawarkan oleh universiti-universiti di seluruh dunia.

Sejak menceburi dunia kewartawanan apatah lagi selepas memasuki Harakah pada tahun 1999, terfikir di benak saya, tidak ada pihakkah yang mahu mengusahakan apa yang dipanggil Kewartawanan Islam. Yalah, bidang kewartawanan (bidang komunikasi massa) adalah berdasarkan 'dua sekolah pemikiran' dari Barat iaitu Amerika Syarikat dan Britain. Guru-guru komunikasi yang didakwa terhebat dunia, kebanyakannya adalah dari belahan dunia ini.

Sejak saya mula belajar ilmu komunikasi massa di IPT tempatan pada 1982 sehinggalah bekerja dalam media massa arus perdana tidak pernah saya diperdengarkan (oleh pensyarah atau editor) akan ayat 6 Surah Al-Hujurat yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."

Sepanjang pengetahuan saya (mungkin saya tersilap), tidak kedengaran ada pihak di negara kita berusaha menubuhkan sebuah sekolah (pusat pengajian atau fakulti) Kewartawanan Islam di mana-mana IPT. Namun tidak lama dulu Malaysia melalui pengucapan menteri penerangannya ketika itu, Zainuddin Maidin ada mencadangkan penubuhan sebuah pusat kewartawanan Islam antarabangsa.

Cadangan itu dibuat pada ketika ketakutan dan kebimbangan terhadap Islam (Islamophobia) semakin menjadi-jadi. Media Barat dilihat sebagai mempunyai agenda memperkecil-kecilkan Islam dan orang Islam. Melalui penubuhan pusat itu adalah diharapkan wartawan bukan Islam dan juga Islam dapat dibimbing mengenai Islam.

Cadangan penubuhan pusat kewartawanan Islam antarabangsa itu diberi komentar oleh pensyarah Kewartawanan saya di UiTM pada 1984 dulu, Eric Loo yang kini seorang pensyarah di University of Wollongong, Australia, dengan tajuk 'Not Islamic or Western - just good or sloppy journalism'.

"Just good or sloppy journalism," demikian rumus Eric dalam artikelnya itu. 'Sloppy' bermaksud tidak melaksanakan dengan cermat atau menyeluruh. Jadi Eric bermaksud, ada dua kemungkinan saja - iaitu kewartawanan yang baik atau kewartawanan yang buruk dan tidak ada kena mengena dengan apa dipanggil 'Kewartawanan Islam' atau 'Kewartawanan Barat'. 

Namun Eric mengakui ada sarjana Islam di Malaysia seperti Dr Ahmad Murad Merican dari Universiti Petronas (Profesor di Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan) sudah mendesak diwujudkan sebuah pusat pengajian Kewartawanan Islam. Beliau sudah menyiapkan sebuah kertas kerja mengenainya bertajuk 'Orientalism in reporting religion: Approaches to teaching journalism and Islam as a civilization yang boleh dilayari di http://ro.uow.edu.au/apme/ 

Satu perkara menarik yang disentuh Eric ialah berkenaan halal dan haram. Apa yang halal dan apa yang haram? Seorang wartawan Muslim tentulah arif tentang halal dan haram. Halal dan haram bukanlah berkenaan makanan saja seperti difahami sesetengah orang tetapi merangkumi seluruh bidang kehidupan. 

Apakah wartawan dan media massa Muslim Malaysia kenal dan mengambil kira halal dan haram secara keseluruhannya? Tentulah halal menyiarkan berita yang benar dan haram menyiarkan berita tidak benar. Tetapi apakah media massa Malaysia mengambil kira perkara ini? Apakah memutar-belitkan atau memusing-musingkan (spinning) berita itu halal? 

Jika pengamal media beragama Islam sendiri tidak peka pada halal dan haram, apa pula yang mahu disibukkan oleh pak menteri yang kononnya mahu mendirikan sebuah pusat kewartawanan Islam antarabangsa. Apa yang mahu 'di-Islamkan' sedangkan media massa dalam negara pun tidak berpandukan hukum-hakam Islam? 

Demikianlah sesetengah wartawan dan media massa milik orang Islam sudah menunjukkan contoh buruk (tidak mengenal halal dan haram), jadi bagaimana kita mahu mengemukakan gagasan penubuhan sekolah kewartawanan Islam itu? 

Jalannya nampak berliku, namun masih ada cahaya di hujung terowong. Mungkin sekolah kewartawanan Islam ini tidak dapat direalisasikan dalam masa terdekat tetapi sebagaimana kita boleh melahirkan doktor, jurutera, peguam dan politikus soleh, kita juga boleh melahirkan wartawan bertakwa yang pasti tahu mana satu halal dan mana satu haram!

No comments: