Saturday, May 12, 2012
Perjalanan Bersihku: Antara persembahan rakyat, golongan elit...
****************
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
****************
Renungan
****************
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
*******************
BAHAGIAN KEDUA
******************
SEBELUM subuh saya sudah meninggalkan pejabat Harakah. Saya bercadang solat di Balai Islam, Jalan Tun Razak. Apabila saya sampai, masjid belum dibuka. Kelihatan kira-kira 10 orang sudah menunggu. Mereka berada di sisi dua buah kenderaan; sebuah berplet negeri Perak dan sebuah lagi Terengganu. Ketika berbual, tahulah saya mereka ahli PAS yang mahu menyertai Himpunan Bersih. Bersemangat sungguh mereka, pagi-pagi buta lagi sudah terconggok di depan sebuah masjid di KL.
*******************
Selepas solat saya menyelusuri Bulatan Jalan Pahang menghala Hospital KL. Polis membuat sekatan di jalan menghala ke HKL dan Jalan Tuanku Abdul Rahman menyebabkan kenderaan berderetan di Jalan Tun Razak. Selepas bersarapan di kantin HKL, saya meneruskan perjalanan ke Stesen Monorel Chow Kit. Seorang pemandu teksi menjerit kepada saya: "Bersih, bersih, bersih; lawan tetap lawan!" Tak tahulah kenapa dia memilih saya untuk 'dihalakan' jeritannya.
*******************
Saya menaiki monorel dari stesen Chow Kit ke Hang Tuah. Sebelum sampai, daripada dalam tren saya lihat ada khemah di pekarangan Ibu Pejabat Kontijen Polis (IPK), Jalan Hang Tuah. Ada meja dan di atasnya ada ratusan kotak putih polisterin pembungkus makanan. Haa, fikir saya, mungkinkah ini tempat peserta Bersih dihimpunkan selepas ditangkap nanti?
******************
Di stesen Hang Tuah, saya menaiki LRT menuju stesen Masjid Jamek. Di stesen Hang Tuah, ada dua pemuda Cina terkeseng-keseng mempamerkan poster Bersih. Seorang penumpang Melayu mengambil kesempatan untuk bergambar dengan mereka. Di stesen Masjid Jamek, suasana begitu meriah. Peserta Bersih begitu ramai. Saya mengikuti rantaian orang ramai menuju Dataran Merdeka.
********************
Di jalan raya bersebelahan Dataran Merdeka yang sudah pun dipagari kawat berduri dengan puluhan anggota polis tercegat di belakangnya, ribuan rakyat yang sebahagian besarnya memakai baju-T kuning Bersih sudah berhimpun. Saya pun duduk bersama mereka. Yalah, inikan himpunan 'Duduk dan Bantah'. Jam baru pukul 9.00 pagi, sedangkan himpunan dijadualkan bermula 2.30 petang; jadi apa yang dibuat oleh ribuan hadirin itu?
*******************
Saya perhatikan seorang lelaki India bertopang bertindak sebagai penyelenggara majlis. Bijak dia mengawal majlis tidak dirancang di laluan masuk Dataran Merdeka itu. Seorang pemuda Cina berbisik-bisik kepadanya. Ya pemuda itu meminta izin membuat persembahan. Pemuda itu mula menelan kertas tisu berwarna putih. Orang ramai bertepuk. Selepas puas menelan, pemuda itu cuba menarik kertas tisu keluar dari mulutnya. Tetapi nampaknya tidak menjadi kerana kertas tisu itu putus-putus. Orang ramai bersorak. Namun tidak lama. Pemuda Cina itu akhirnya berjaya menarik talian kertas tisu berwarna kuning, hijau dan oren dari mulutnya. Berjela-jela panjangnya. Orang ramai bertepuk. Hebat 'si Mamat Cina' ini, fikir saya.
********************
Selepas itu, beberapa 'Mamat' lagi muncul untuk menunjukkan aksi mereka. Seorang lelaki veteran Cina, menyanyi dan berpantun; dia mendapat tepukan gemuruh. Disebabkan perhatian ribuan hadirin sudah dihalakan ke tempat persembahan, ramailah berlumba-lumba menunjuk bakat. Seorang pemuda Melayu dengan gaya bersahaja muncul. Orang ramai tertanya-tanya apakah persembahan hendak dibuatnya. Dia membetul-betulkan rambut dan mengusap kepalanya. Dia membongkok, meraba-raba sesuatu dalam poket seluarnya. Orang ramai suspens. Dengan pergerakan perlahan, dia mengeluarkan kopiah dan memakai di kepalanya! Orang ramai menjerit, Booooo, booooo!
*********************
Seorang pemuda Melayu berkopiah pula muncul. Dia mengayakan diri macam nak buat satu persembahan hebat. Dia mengeluarkan sebotol air mineral. Orang ramai suspens apa dia nak buat dengan botol air minuman itu. Dia menayangkan botol itu kepada orang ramai. Kemudian dia membuka penutupnya. Magik apa yang hendak dibuatnya? Selepas puas menayangkan botol itu, dia menogok air, gulp, gulp, gulp. Itu saja persembahannya; orang ramai pun menjerit. Booooo, booooo!
********************
Walaupun beberapa orang membuat 'lawak bodoh' secara spontan pada majlis tanpa dirancang itu, ia menggambarkan kesatuan hati rakyat. Mereka ceria dan gembira. Tertawa tidak putus-putus. Hadirin Melayu, Cina dan India menerima seadanya persembahan sukarela bagi mengisi masa mereka yang panjang pada perhimpunan 'Duduk dan Bantah' itu.
*********************
Namun selepas puas menyaksikan persembahan rakyat itu, mereka pula 'dipaksa' menyaksikan satu persembahan 'golongan elit' yang rasa saya belum pernah dilihat oleh peserta demonstrasi sebelum ini. Dulu, pada hampir setiap kali demonstrasi, rakyat hanya melihat sejumlah helikopter berlegar-legar di ruang udara, kali ini mereka 'terpanah' melihat 'orang terbang di udara'.
************************
Ketika puluhan ribu rakyat mula membanjiri kawasan sekitar Dataran Merdeka, di ruang udara, dua orang yang dipercayai anggota pasukan keselamatan menunjukkan kehebatan dan kehandalan mereka melakukan 'paragliding'.
***********************
'Paraglider' mereka yang mengeluarkan bunyi bising berlegar-legar rendah di ruang udara, ada kalanya kelihatan melalui di celah-celah bangunan tinggi. Apabila menghampiri kawasan orang ramai berhimpunan, ia kelihatan begitu rendah sekali, seakan-akan macam helang yang menjunam, mahu mencengkam dan membawa terbang mangsanya.
********************
Jika ketika menyaksikan persembahan rakyat termasuk 'lawak bodoh', hadirin terhibur dan ketawa berdekah-dekah, semasa menyakiskan 'paraglider' itu menunjukkan aksi hebat di ruang udara, mereka tidak ketawa. Kebanyakan hadirin mencemuh, menunjukkan ketidak-senangan mereka dengan ada yang berkata: "Kalau hentam (langgar) bangunan lagi bagus. Mampus kau!"
********************
Demikianlah betapa berbeza sambutan orang ramai terhadap persembahan rakyat yang tidak memerlukan sebarang kos berbanding 'pertunjukan elit' oleh orang suruhan sang penguasa yang menelan banyak duit pembayar cukai, menyebabkan rakyat menjadi benci dan meluat! Sekalipun pertunjukkan hebat dipamerkan sang penguasa (mahu berkuasa dulu, kini dan selamanya), rakyat tidak pandang itu semua, mereka lebih suka dan rela menyaksikan 'lawak bodoh' asalkan hati mereka senang!
************************
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Salam Tuan LanH,
Yang sebenarnya Tuan, kita ini kalau orang sudah benci, buat apa pun orang akan menyampah. Begitulah nasib BN sekarang. Tapi UMNO masih tidak sedarkan diri lagi.
Post a Comment