Thursday, May 24, 2012

Akhiri penjajahan sesama bangsa

***************** Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *************** Renungan *************** "Wafatkanlah aku dan keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang saleh." (Maksud Ayat 101 Surah Yusuf) **************** KETIKA membaca fitnah media arus perdana mengenai gambar sekumpulan rakyat Malaysia yang berpakaian kuning dan mempamerkan kain pemidang sempena perhimpunan Bersih di seluruh dunia termasuk di Makkah dan Madinah, saya teringat sebuah hadis yang bermaksud: Abu Sa'id Al-Khudri r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Setiap penipu mempunyai tanda-tanda yang ditancap di belakangnya, setinggi tipuannya. Ingatlah tiada penipu yang lebih besar daripada ketua negara atau pemimpin rakyat." (HR. Muslim) - sumber kitab Riadhus Shalihin. ******************** Sebagai seorang insan yang sudah beberapa kali ke Tanah Suci, saya percaya apa yang digembar-gemburkan mengenai sejumlah kecil rakyat Malaysia yang berkumpul bagi menyatakan sokongan kepada Bersih 3.0, adalah terlebih sudu daripada kuah. ************************* Saya yakin aksi mereka tidak dipedulikan sangat oleh pihak berkuasa Saudi - kerana mereka hanya berpakaian kuning, kemudian ber'posing' dan membuka kain pemidang untuk diambil gambar; selepas itu semuanya selesai - mereka kembali beribadat di masjid atau kembali ke hotel masing-masing. Itu saja yang mereka lakukan, pihak berkuasa Arab Saudi pun tidak peduli sangat, lagikan kain pemidang pun dalam bahasa Melayu. *********************** Tetapi pemimpin di tanah air kita terlebih lagak, seolah-olah rakyat Malaysia berkenaan telah melakukan kesalahan sangat serius, mereka membuat aduan kepada pihak berkuasa Saudi (betulkah mereka telah buat laporan?) dan kemudian memaklumkan kepada seluruh rakyat melalui media massa pengampu mereka, kononnya pihak Arab Saudi begitu marah sekali dan mungkin mengambil tindakan drastik termasuklah menjejaskan kemasukan jemaah haji dan umrah Malaysia ke Tanah Suci. ************************ Saya umpamakan kehadiran jemaah berpakaian kuning itu bagaikan seorang makcik miskin peniaga kecil Melayu yang tiada lesen, dia menjual sedikit kuih-muih di tepi jalan; selama bertahun-tahun pihak berkuasa tempatan tidak mengambil peduli ke atas makcik itu tetapi suatu hari seorang Mat Dengki telah membuat aduan, menuduh yang bukan-bukan terhadap penjaja itu; jadi mahu tak mahu terpaksalah pihak berkuasa bertindak; sang penguat kuasa dengan berat hati terpaksa merobohkan gerai mak cik itu. Dalam kes di Makkah dan Madinah itu, mengapa dijolok sarang tebuan. Kata orang tak ada pasal, mengapa cari pasal. ***************** Tidak lama lagi umat Islam akan menyambut Israk Mikraj. Saban tahun umat Islam Malaysia dihidangkan dengan kisah israk dan mikraj Nabi Muhammad s.a.w., namun satu persoalan penting adakah iktibar kisah itu dapat diamalkan dalam kehidupan kita? ********************** Sewajarnya umat manusia - Islam dan bukan Islam - mencontohi Nabi Muhammad s.a.w. dalam kehidupan mereka. ********************** Bagi yang bukan Islam boleh mengambil nilai-nilai universal seperti keadilan dan sebagainya, lebih-lebih lagi Nabi Muhammad s.a.w. adalah membawa rahmat kepada seluruh alam. ********************** Kejayaan Nabi Muhammad sebagai pemimpin duniawi dan kerohanian diiktiraf dunia sehingga Michael H Hart dalam bukunya, ‘The 100, A Ranking of the Most Influential Persons in History’, menulis: “My choice of Muhammad to lead the list of the world’s most influential persons may be surprise some readers and may be questioned by others, but he was the only man in history who was supremely successful on both the religion and secular level." ************************ Berdasarkan kemelut politik negara kita sekarang ini, adalah penting untuk merujuk Sirah Nabi termasuklah israk mikraj dan perpindahan baginda (hijrah) daripada kota Makkah ke Madinah dan kemudian kembali semula ke Makkah untuk membebaskan tanah airnya sendiri. **************************** Persoalan besar di sini mengapa Nabi Muhammad s.a.w. dan mengikutnya perlu membebaskan bangsa dan tanah airnya sendiri? Bukankah kaum yang menguasai kota Makkah adalah sama seperti baginda sendiri, suku Quraisy daripada bangsa Arab. Buat apa Rasulullah s.a.w. memerdekakan bangsanya sedangkan yang berkuasa adalah bangsanya sendiri? ********************************** Jika dibuat perbandingkan berdasarkan senario negara ini sekarang ini, buat apa dimerdekakan bangsa Melayu daripada kekuasaan orang Melayu sendiri sedangkan bangsa inilah yang berkuasa. Sebenarnya kemerdekaan bukan saja bermaksud mengakhiri penjajahan sesuatu bangsa ke atas bangsa lain atau kuasa asing ke atas umat yang lemah. ***************************** Kemerdekaan juga bermaksud mengakhiri penjajahan sesuatu bangsa ke atas bangsanya sendiri. Rasulullah s.a.w. berjuang untuk membebaskan bangsa baginda (Quraisy) daripada penjajahan mental ketua suku kaumnya. **************************** Hampir 10 tahun selepas berhijrah ke Madinah, barulah baginda dapat memerdekakan penduduk Makkah daripada amalan datuk nenek moyang mereka seperti menyembah berhala, membunuh anak perempuan dan menilik (sihir). Selepas pembersihan kota suci Makkah, barulah Islam dapat berkembang dengan pesat di seluruh Jazirah Arab. ************************** Bagi orang Melayu yang merdeka jiwanya, tentulah kemerdekaan itu tidak hanya bermaksud bebas daripada cengkaman penjajah British saja. Ramai yang berkata penjajahan dalam bentuk fizikal mungkin tidak berulang tetapi cengkaman kuasa asing dalam bentuk lain masih wujud. Contohnya penjajahan dari segi ekonomi dan budaya. **************************** Hari ini kita dapat saksikan kebenaran dakwaan ini. Dari segi ekonomi, kita masih bergantung kepada kuasa besar perdagangan yang bukan di kalangan negara membangun manakala globalisasi menyaksikan penduduk dunia amat mengenal KFC, MacDonald's, Coke dan sebagainya sehinggakan di kota suci Makkah pun terdapat premis perniagaan gergasi ini. ***************************** Kita juga amat dipengaruhi dunia hiburan Hollywood dan Bollywood, sekali gus mengesahkan kita sebenarnya tidak merdeka dalam erti kata sebenarnya. ***************************** Jika kita menghayati apa yang berlaku kepada bangsa Melayu sendiri, kita akan sedar dalam banyak segi kita masih jauh daripada maksud kemerdekaan itu. Orang Melayu masih hidup dalam kelompok-kelompok tertentu dengan kumpulan berkuasa menjajah kumpulan yang tiada kuasa. ***************************** Kumpulan tiada kuasa berterusan ditekan, hatta dalam menyatakan pandangan masing-masing. Itulah sebabnya ada guru dipindahkan jauh-jauh, pegawai kerajaan disekat kenaikan pangkat dan pelajar dinafikan hak mereka jika mereka dikesan menyokong pembangkang. Jelaslah bangsa dan negara, dalam sesetengah hal, belum merdeka lagi. ************************ Penindasan dalam bentuk apa didakwa golongan Umnoputera ke atas orang Melayu lain adalah hebat, jadi tidak tepat untuk menyatakan kita sudah merdeka. Orang Melayu menjajah orang Melayu termasuk dari segi mentalnya. Jika Rasulullah s.a.w. berjuang bermati-matian memerdekaan bangsanya daripada penjajah jahiliah, adalah penting untuk orang Melayu dibebaskan daripada penjajahan kelompok orang Melayu feudal yang mahu mencengkam bangsanya 'dulu, kini dan selamanya'. *************************** Berdasarkan senario ini, adalah amat penting untuk anak-anak muda menimba ilmu sebanyak mungkin serta bersemangat waja bagi memerdekan bangsanya daripada terus dijajah termasuk oleh bangsanya sendiri. Janganlah asyik-asyik hendak lompat atau keluar parti demi memenuhi nafsu sendiri. *************************** Penjajahan sesama bangsa ini kerap diungkapkan oleh seorang tokoh PAS, Mohamad Sabu yang berkata rakyat perlukan kemerdekaan kedua, membebaskan mereka daripada cengkaman penguasa feudal yang sebangsa dengan mereka. Ayuh, gerakan usaha bagi kemerdekaan kedua ini!

No comments: