Friday, May 18, 2012
Perjalanan Bersihku (3): Kebangkitan anak muda cemaskan penguasa
******************
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
******************
Renungan
*****************
"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya." (Ibrahim:34)
*******************
KETIKA panas mentari membakar kulit, saya tidak boleh bersabar lagi duduk dalam kumpulan ribuan orang ramai yang berhimpun di atas jalan raya di sisi Dataran Merdeka itu. Saya pun bangun, menguak laluan; baik isi perut sebelum saya pengsan, maklumlah saya penghidap kencing manis dan darah tinggi, nanti menyusahkan orang ramai pula, fikir saya.
********************
Saya pun berjalan-jalan di lorong belakang Masjid India; eh, di bahagian belakang beberapa kedai (restoran mamak) mengapa ada orang beratur panjang? Apabila dekat, barulah saya tahu mereka beratur untuk masuk tandas. Ah, terasa situasi macam di Makkah (termasuk Mina dan Arafah) serta Madinah pula; orang yang hendak menggunakan tandas terpaksa beratur panjang, satu barisan ada lebih 10 orang.
*******************
Selepas lega menunaikan hajat, saya pun makan di restoran mamak itu. Oiii, pelangan terlalu ramai. Kaya mamak berkenaan hari itu. Bisnes sangat laris. Saya ‘pekena’ nasi briani, seekor sotong dan acar; harganya mak oiii – RM11 tanpa air! Kalaulah ramai peniaga kreatif untuk berniaga seperti mamak ini, insya-Allah mereka akan untung besar, tidaklah merungut-rungut seperti sesetengah peniaga yang terus tutup bisnes.
**********************
Saya amat-amati muka-muka orang yang makan di restoran itu. Banyak orang muda. Ini satu perkembangan sangat menarik. Pada rapat umum Bersih 1.0 dan Bersih 2.0, orang muda tidak seghairah Bersih 3.0 ini.
********************
Pada pandangan saya yang dangkal ini, kehadiran ribuan anak-anak muda inilah yang menyebabkan kelangsungan perhimpunan boleh bertahan lama sehingga jam 8.00 malam sedangkan pada perhimpunan lalu, pada jam 4.00 atau 5.00 petang sudah bubar, peserta terutama yang ‘tua’ macam saya ini siang-siang lagi sudah ‘cabut’ selepas dihadiahkan 'ciuman' gas pemedih mata dan disimbah air kimia.
*********************
Kehebatan anak-anak muda ini saya saksikan sendiri dari platform LRT Masjid Jamek antara jam 6.00-7.00 petang ketika saya mahu balik. Di bawah stesen itu (Jalan Tun Perak) mereka berkumpul beramai-ramai (mencari kekuatan selepas perhimpunan disuraikan secara paksa dengan tembakan air kimia dan gas pemedih mata sejak jam 3.00 petang), kemudian bergerak ke Dataran Merdeka. Seketika kemudian mereka dalam lingkungan 500 orang melarikan diri dikejar kira-kira 50 anggota polis.
*******************
Adegan di kawasan berkenaan pada waktu itu menarik hati saya. Sejurus polis berundur selepas pemuda-pemuda berkenaan ‘cabut’, mereka berkumpul kembali dan bergerak sekali lagi ke Dataran Merdeka. Kemudian mereka dikejar lagi oleh polis. Mereka berkumpul kembali, bergerak lagi dan dikejar oleh polis. ‘Drama kejar-mengejar’ ini ‘panjang dan lama episodnya’ – ini satu pemandangan yang tidak pernah saya saksikan dalam mana-mana demonstrasi yang pernah saya hadiri.
******************
Ketika berada di stesen itu, saya berbual-bual dengan beberapa anggota polis (ramai juga polis berhemah, mereka juga manusia biasa macam kita), yang mendakwa sebahagian anak-anak muda yang melakukan tentangan itu adalah pelajar universiti dan mereka yang baru tamat pengajian. Mereka orang muda, tenaga mereka ‘membuak-buak’ jadi dapatlah mereka melakukan tentangan yang berterusan.
*****************
Menurut mereka, ada ‘budak-budak itu’ sudah lama ‘duduk-duduk’ di Dataran Merdeka; mereka membuat bantahan dalam isu PTPTN. Kali ini mereka bergabung pula dalam himpunan Bersih, jadi bertambahlah kekuatan tenaga Bersih 3.0
******************
Petang itu orang ramai bebas masuk stesen LRT Masjid Jamek; orang ramai dikawal oleh beberapa anggota polis. Sistem pembelian tiket (token) tidak berfungsi. Hairan saya, ke mana perginya kakitangan perkhidmatan kereta api ringan itu? Polis suruh masuk, apabila kereta api sampai, penumpang disuruh masuk, tanpa perlu tiket atau guna kad prabayar.
*****************
Pemandangan di stesen Masjid Jamek petang itu menyentuh hati saya. Polis baik, orang awam pun baik; polis bersedia membantu orang awam, inilah yang rakyat dambakan, bukannya seperti adegan yang berlaku di bawah stesen berkenaan – polis kejar rakyat (pelajar) yang mara menuju Dataran Merdeka. Bukankah dataran itu ‘sudah merdeka’, kalau belum, lebih baik namakan ‘Dataran Penjajah!’
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment