Monday, May 28, 2012

Perjalanan Bersihku (4): Orang kampung pun mahu demokrasi

**************** DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. **************** Renungan ******************* Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim) ************* TERKEJUT saya apabila disapa seorang penduduk kampung saya ketika perhimpunan Bersih 3.0 tempoh hari. Ketika itu saya dalam perjalanan ke Masjid India untuk solat zuhur. Tak sangka saya dia sanggup bersusah payah datang ke KL sedangkan jika dia bercuti daripada bisnes kecil-kecilannya, pendapatan hariannya sifar! *********************** “Aku mahu saksikan dengan mata kepala ini sendiri. Selama ini aku bergantung kepada TV dan surat khabar, tetapi sekarang barulah aku tahu banyak bahan berita mereka ini temberang saja,” katanya yang baru pertama kali merasai ‘nikmat’ terkena gas pemedih mata dan air kimia. Dia saya ketemui sekali lagi di kampung seminggu selepas kejadian. ********************* ‘Hadiah’ gas pemedih mata itu benar-benar menguji seseorang sehinggakan di dalam Masjid India sendiri pun pada kira-kira jam 3.15 petang, saya saksikan seorang lelaki yang tidak tahan sabar, telah bertindak memaki hamun pihak berkuasa. Bayangkan begitu ……nya sang penguasa sehingga mereka yang mahu menghadap Allah dalam rumah-Nya pun dihadiahkan ‘kepedihan itu’. ********************** Dari luar masjid kedengaran beberapa bunyi tembakan dan apabila saya bergegas ke jendela masjid, kelihatan orang ramai memegang dan menenangkan seorang wanita pertengahan umur yang menjerit-jerit, mahu menerkam seorang anggota polis. Hebat wanita ini, mungkin dia sudah tidak dapat mengawal diri kesan hiduan asap dan air kimia, dia mahu mengamuk, tidak kira apa akan berlaku kerana mungkin semangat Hang Jebat sudah meresap dalam jiwanya! ********************** Ketika di dalam masjid, teringat saya akan cakap-cakap kawan sekampung saya temui sebelum itu. Ya dia mahu menyaksikan sendiri usaha rakyat menegakkan demokrasi di negara ini. Mereka mahukan pilihan raya yang bersih dan adil. Rakan saya itu sedar bahawa demokrasi di peringkat kampung pun sudah mati. Tidak bersih dan tidak adil. Malah tiada demokrasi pun. ************************* Dia ambil contoh pemilihan AJK masjid. Jika dulu bagi setiap penggal, akan diadakan pemilihan di masjid tetapi sekarang mana ada lagi pemilihan. Dia masih ingat, dulu pada mesyuarat pemilihan, jemaah akan mengangkat tangan memilih pengerusi masjid dan ahli jawatan kuasanya, sekarang semuanya sudah jadi sejarah. *********************** Semua jawatan dalam masjid adalah lantikan. Pengerusi masjid dilantik, timbalannya juga dilantik, demikian juga setiausaha dan bendahari serta AJK-nya. Ertinya semuanya ke jawatan itu adalah atas dasar perkenan pihak tertentu; orang kampung (ahli kariah) atau lebih tepat lagi jemaah masjid tidak berpeluang ‘mengamalkan demokrasi’. Apakah demokrasi sudah mati? *********************** Jika dulu orang kampung berpeluang memastikan hanya ‘kaki masjid’ memikul tanggungjawab besar di masjid, kini kesempatan itu sudah tertutup rapat. Kroni pula mengambil tempat. Ada kalanya orang tak ke masjid atau jarang ke masjid mengisi kedudukan tertinggi, aduhai alangkah malangnya…itulah sebabnya ada masjid dan surau ‘sudah mati’ atau ‘sedang menunggu kematiannya’. ********************** Demokrasi di peringkat kampung sudah mati. Jangan pula hendaknya demokrasi peringkat negara pun mati…maka sebab itulah kawan sekampung saya itu sanggup meninggalkan bisnesnya pada 28 April lalu…dia mahu melihat keadaan sebenar, adakah hal yang dialaminya di peringkat kampung telah merebak ke peringkat nasional; apakah rakyat tidak boleh bersuara lagi hatta mengangkat tangan dalam pemilihan pemimpin. ******************* Kita bimbang, jika hal ‘mengangkat tangan’ tidak lagi laku di masjid itu akan merebak sehingga rakyat tidak boleh lagi ‘memangkah’ di kertas undi pula, katanya. ******************** Mana tak bimbang kerana sudah ada rakyat mendapati diri mereka secara tiba-tiba tidak layak mengundi…kerana kad pengenalan mereka digunakan pengundi hantu…tetapi SPR berkata pengundian di negara kita adalah yang terbersih di dunia…jadi boleh ‘caya’kah berdasarkan apa yang berlaku di peringkat kampung tu?

No comments: