Monday, August 29, 2011
Ramadan yang kita tinggalkan...
*** Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *********************************************** Renungan ********************************************** Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada 1,000 bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhahnya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar." (Al-Qadar, Kemuliaan, Ayat 1-5)********************************* RAMADAN pergi jua. Aidilfitri juga akan datang dan pergi. Bulan dan musim silih berganti. Manusia pun begitu. Seorang sepupu saya meninggal Ahad, 21 Ogos bersamaan 21 Ramadan lalu. Sama tarikh dengan pemergian penulis terkenal Azizi Abdullah. Buku Azizi, 'Senja Belum Berakhir' sudah saya 'khatam' di bangku sekolah rendah lagi. Ertinya nama Azizi sebagai penulis sudah terpahat di hati saya sejak puluhan tahun lalu. Terpesona saya dengan kisah dalam buku Azizi itu yang berkisar masalah kehidupan petani di negeri Jelapang Padi.********************************************** Sepupu saya itu dan Azizi sudah kembali ke pangkuan Ilahi, kita juga akan menyusul. Mungkinkah ini Ramadan kita yang terakhir? Pertanyaan inilah yang mengusarkan hati. Bayangan hari kematian diri sendiri sudah bermain-main di mata. Bagaimana diri ini terkapar di ruang tamu rumah, kemudian dimandi, kafan seterusnya dipikul ke masjid untuk disembahyangkan dan kemudian ke kubur untuk disemadikan. Dalamnya kubur, enam kaki diri ini dimasukkan ke dalam bumi. Kemudian diri ini dikambus, orang di atas memijak dan menginjak tanah; maka gelap, pekat dan hitamlah suasana menyelubungi diri ini.***************************** Siapa yang dapat menyelamatkan diri ini? Tiada siapa. Hanya Yang Maha Kuasa. Jadi cahayakanlah pekat kegelapan kubur itu dengan memohon kepada-Nya.Bertahajud, bertaubat, bertasbihlah, menangis dan merintih pada-Nya ketika kegelapan malam terutama 10 hari terakhir Ramadan ini, moga-moga ada belas kasihan-Nya, adalah cahaya untuk diri ini di alam abadi nanti. Bunyinya mudah, tetapi hakikatnya tidak begitu. Mengapa diri ini tidak mudah untuk mengalirkan air mata apatah lagi merintih teresak-esak memohon keampunan-Nya?********************************************** Mungkin seorang anak saya ketika berusia enam tahun dan dalam tadika Pasti (kini dia sudah berusia sembilan tahun), mempunyai sebahagian jawapannya apabila berulang-ulang kali memberitahu saya dan anggota keluarga yang lain: "Ayah, banyak makan dan tidur hati menjadi keras." Itulah modal yang kerap diucapkannya ketika saya atau anggota keluarga lain tidur pada siang hari atau makan dengan banyak ketika berada di meja makan. Mungkin cikgu di Pastinya sering mengingatkan begitu, jadi dilakonkannya semula sketsa itu di rumah.***************************************************** Betulkah hati ini sudah jadi keras? Usah cari alasan, mengakulah saja. Ya,. benar hati ini sudah keras kerana terlalu mementingkan hal ehwal keduniaan dan keseronokannya seperti makan dan tidur itu. Mengaku lebih baik kerana ia jalan mudah bagi memuhasabah diri. Apabila sudah sedar diri ini tidak betul maka carilah ubatnya. Ubatnya bukan di tangan doktor tetapi mulakan langkah 'mewakafkan' diri di masjid. Renung dan tenunglah diri di dewan solat masjid yang luas tanpa perabot dan TV yang menyesak dada dan memekakkan telinga seperti di rumah itu. Malah TV mengundang panahan syaitan ke biji mata, lantas 'mana bisa' kita boleh mengkoreksi diri dalam suasana begitu jika kita mahu berterusan 'enak-enak' di rumah.****************************************** Apabila ada majlis ilmu, dengar baik-baik apa yang ustaz-ustaz itu cakapkan. Ikutilah juga majlis 'bayan' budak-budak tabligh. Mereka mungkin mengulang-ulang pengajian ini. Dalam diri manusia itu ada segumpal daging, jika baik anggota itu baiklah manusia itu. Ketahuilah, itulah hati. Kenapa hati kebanyakan orang sudah jadi gelap dan hitam? Ini adalah kerana dosa-dosa yang dilakukan. Dosa-dosa ini akan menumpuk, membentuk titik-titik hitam di hati, lama kelamaan keseluruhan hati akan menjadi hitam, tiada cahaya.********************************************** Jadi sedarlah diri kita sendiri bahawa hati kita sudah hitam legam. Dengan adanya kesedaran, ia sudah cukup bagus, tetapi bagaimana mahu membersihkan kembali hati itu yang asalnya memang suci kerana seseorang itu lahir (bayi) dengan keadaan fitrah? Ada ustaz mengumpamakan hati hitam itu sebagai periuk yang sudah hitam keterlaluan yang memerlukan berus khas. Lagi hitam lagilah 'power' berus yang diperlukan. Barulah dapat dihilangkan jelaga dan kekotorannya. Itu pun secara beransur-ansur dan memerlukan tenaga yang banyak.****************************************** Demikian juga dengan hati. Hati perlu diberus supaya bersih. Bukan sekali, tetapi secara berkekalan (istiqamah). Masa terbaik melakukannya adalah pada Ramadan. Inilah masanya Allah turunkan rahmat, pengampunan dan menyediakan kesempatan terbaik untuk seseorang bebas daripada api neraka. Iblis syaitan juga diikat, jadi terbukalah peluang terbaik untuk membersihkan atau menyental (bagi hati yang sudah terlalu hitam) bagi mengembalikannya kepada fitrah.************************************** Namun apa hendak dikata, Ramadan kali ini sudah beransur pergi, meratap air mata sekalipun ia tak akan kembali. Jika kita sudah bermanfaatkan sepenuhnya Ramadan kali ini bersyukurlah, tetapi percayalah manusia tetap menyesal di atas perlakuan masa lalu mereka sehingga orang yang gugur syahid pun ingin kembali ke dunia untuk mati syahid sekali lagi.******************************************* Ramadan saya, dan Ramadan pembaca juga sudah pergi, tiada siapa tahu mungkin Ramadan ini adalah yang terakhir, kita menangisi pemergiannya, berdoalah kita agar sampai ke Ramadan berikutnya. Akhir kalam, SELAMAT MENYAMBUT AIDILFITRI, HARAP DIMAAF dan DIAMPUNI SEGALA KESILAPAN dan KESALAHAN, Amin Ya Rabbalalamin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment