***
DENGAN nama
Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas
junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
1. Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan,
2. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu/
3. Malam kemuliaan itu lebih baik daripada 1,000 bulan.
4, Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya yang mengatur segala urusan.
5. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. (Al-Qadar, Kemuliaan, Surat ke-97)
***
Bersyukur ke hadrat Yang Maha Kuasa kerana
masih diberi-Nya kesempatan pada bulan penuh barakah ini untuk terus berbakti
kepada-Nya termasuklah menitipkan sedikit sebanyak teguran dan nasihat.
Ya nasihat
itu bukan untuk pembaca saja malah untuk kami sendiri yang sebagai
manusia tentunya banyak kesalahan dan dosa. Hanya kepada-Nya kita memohon
keampunan dan diterima ibadat kita yang tersangat sedikit itu, insya-Allah.
Dalam
menjalani ibadah Ramadan ini, kita perhatikan masih ramai anak-anak gadis (wanita)
kita sekalipun mengenakan tudung tetapi mendedahkan sebahagian aurat mereka
seperti leher, lengan dan kaki.Sebahagian lagi suka mengenakan pakaian ketat
termasuklah jeans sendat yang dipadankan dengan baju-T singkat.
Tentunya
mereka tidak mematuhi kehendak Islam sepenuhnya dalam bab menutup aurat
sekalipun bertudung kerana Allah SWT melalui Surah Al-Azhab ayat 59 yang
bermaksud: “Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu
dan isteri-isteri orang mukmin: ‘Hendaklah mereka menghulurkan tudung ke
seluruh tubuh mereka, supaya mereka lebih mudah dikenali orang, kerana itu
mereka tidak diganggu…’”
Muslimat
diminta menutup aurat sepenuhnya tetapi sesetengah orang bijak pandai hari ini
termasuk aktivis wanita menempelaknya dengan mendakwa perempuan yang berpakaian
sedemikian juga tidak terlepas daripada tindakan jahat lelaki dan buktinya
sejumlah wanita berjilbab juga dirogol. Jadi soal pakaian bukan penyebab
jenayah seksual, dakwa mereka.
Di sini kita
ingin tegaskan cara berpakaian dan penampilan wanita merangsang seksual lelaki.
Ini adalah lumrah, bohonglah namanya jika lelaki normal tidak teransang dengan
pembawaan seseorang wanita. Namun penampilan seksi seorang wanita tidak mudah
mengundang dia dirogol kerana dia berada di khalayak ramai. Seorang perogol
akan hanya bertindak jika terbuka kesempatan bagi mereka; penjahat ini tidak
peduli sama ada mangsanya berpakaian seksi atau bertudung litup; yang penting
mereka fikir mereka dalam keadaan selamat ketika melakukannya. Itulah sebabnya,
perogol bertindak apabila bakal mangsa bersendirian termasuklah dalam bas, di
lorong gelap dan di rumah sendiri.
Selain
perogol, pencuri juga akan memikirkan diri mereka selamat sebelum melakukan
kejahatannya. Tidak ada pencuri yang mencuri di khalayak ramai. Tetapi jika dia
sudah hampir tertangkap dan dikejar orang, pencuri juga akan mencari helah
dengan menjerit “pencuri…pencuri” dengan harapan orang lain pula akan dikejar.
Hampir semua
kejahatan dilakukan seseorang atau sesuatu pihak itu ketika orang lain tidak
sedar kerana penjahat pun tahu memikirkan keselamatan diri. Hanya sedikit orang
berani melakukan kejahatan di depan orang ramai seperti merompak dan mengamuk.
Jadi,
berdasarkan hujah ini, kita mahu tergelak apabila seorang pemimpin tertinggi dengan
lantang antara lain berkata: “Kita, kalau mahulah memanipulasi keputusan
pilihan raya, tidak susah. Di Kelantan, suatu ketika dulu, PAS memerintah
dengan kelebihan hanya tiga undi. Kita tidak bercakap mengenai 30 atau 3,000
undi, hanya tiga undi saja. Kita tidak buat kerja itu.”
Untuk
menilai dakwaannya itu, fikir-fikirkanlah kerana perogol tidak merogol di
tempat orang ramai, pencuri tidak mencuri di tempat terbuka, perasuah tidak
melakukannya secara terbuka manakala pemakan rasuah pun tahu meninjau-meninjau dulu sama ada
mereka selamat atau tidak. Semuanya takut melakukannya kerana ia akan dilihat
orang bukan takutkan Yang Maka Kuasa.
Perogol
tidak merogol sekalipun di depannya ada gadis seksi paling cun, dia tetap ‘bersabar’ menunggu
peluang. Kalau tidak ada peluang, bakal mangsa dibiarkan pergi sekalipun dia begitu
‘bergetah’ (ganjaran lumayan jika kejahatan berhasil) dengan air liur perogol sudah melelehi di pipi,
mangsa lain akan didapati; tunggulah bila mereka lalai nanti.
Kata pepatah
Melayu, orang yang sudah berak di tepi jalan, mana mahu mengaku; malah pencuri
yang sedang dikejar orang pun pandai melolong, “pencuri…pencuri!” Bahkan kini semakin ramai manusia alim-alim kucing; depan orang bukan main baik, manja dan sopan lagi kucing kepala hitam; tetapi belakang orang, lauk dalam tudung saji 'ditarbusnya'!
No comments:
Post a Comment