Wednesday, August 24, 2011
Krisis Somalia dedah kepincangan ummah
***********Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Renungan "Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) ******************** KIRA-KIRA 20 tahun lalu, dunia Islam menangisi tragedi berdarah di Bosnia Herzegovina. Dilaporkan puluhan ribu orang Islam menjadi mangsa kerakusan gerila Serb termasuk pemimpin Serbia-Montenegro seperti Slobodan Milosevic yang gila mahu menghidupkan negara Yugoslavia.**************** Penderitaan ummah di negara Balkan itu seolah-olah tidak didengari oleh kebanyakan negara dan umat Islam lain. Hal ini difahami kerana Bosnia dan jirannya yang mempunyai majoriti umat Islam - Albania - terletak di tengah-tengah benua Eropah. Nama Bosnia pun begitu asing kepada kebanyakan umat Islam sehingga tercetusnya peristiwa pahit itu yang menyedarkan ummah bahawa ada saudara mereka hidup tersepit di kalangan bangsa Eropah lain.************** Sekalipun tragedi Bosnia adalah antara peristiwa hitam paling pahit dialami umat Islam, pembabitan orang Islam dan pertubuhan yang memayungi ummah - Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) adalah pada tahap minimum.*************** Kumpulan Penghubung OIC yang turut dianggotai oleh Malaysia ketika itu, sekalipun bekerja keras membantu memulihkan keadaan di Bosnia terutama pada peringkat akhir konflik, pembabitannya terhalang antara lain disebabkan pengaruh kuasa besar dunia Amerika Syarikat dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dalam isu berkenaan. Amerika dan Nato terbabit dalam percaturan politik Eropah yang ketika itu masih merasai kesan kehancuran Soviet Union dan blok komunis Eropah Timur. Sebarang campur tangan dalam krisis Bosnia dilihat sebagai terbabit dalam konflik era pasca keruntuhan Soviet Union yang memungkinkan Amerika menjadi kuasa tunggal dunia. ***************Berdasarkan situasai berkenaan, kita tidak hairan jika OIC 'tidak habis-habis dengan agenda pertemuan pemimpinnya di meja bulat' untuk membincangkan isu Balkan tetapi tanpa melakukan tindakan yang boleh dibanggakan. Sejak beberapa tahun lalu pula, OIC juga difahami tidak berupaya menangani isu keganasan antarabangsa yang akhirnya membawa kepada pencerobohan negara Afghanistan dan Iraq oleh Amerika kerana ia dianggap konflik politik. Dalam percaturan politik 'yang berkuasa itulah yang benar', oleh itu pihak lain langsung tidak berani bersuara.************** Malangnya dalam tragedi tidak membabitkan konflik politik seperti tsunami yang menghancurkan beberapa kawasan di Asia Selatan dan Asia Tenggara pada tahun 2004 dulu, OIC dan sesetengah negara umat Islam terus dengan 'sikap lama'nya iaitu tidak bertindak proaktif bagi meringankan penderitaan saudara seagama mereka. Hampir 200,000 orang dilaporkan sudah mati di Aceh, sebuah wilayah yang dikenali 'Serambi Makkah', tetapi bantuan daripada OIC dan negara Islam tidak kunjung tiba.Apakah alasan yang hendak diberi?************* Adakah ini disebabkan keterbatasan atau ketidakupayaan dari segi politik? Adakah bencana alam ini juga membabitkan percaturan politik sehingga OIC dan negara dan umat Islam lain tidak berani campur tangan? Bumi terbabit (Aceh/Indonesia) juga negara Islam, jadi apakah yang menghalang mereka daripada menghulur atau menyegerakan bantuan? Terbaru sebuah lagi negara Islam Somalia dan negara-negara di Tanduk Afrika dilanda kemarau panjang yang menyebabkan jutaan penduduknya dilanda kebuluran.***************** Sama seperti bencana tsunami yang melanda Aceh, penderitaan di Somalia bukanlah konfil politik yang mungkin mengehadkan OIC, negara dan umat Islam untuk menghulurkan bantuan, tetapi nampaknya tragedi Aceh kembali berulang.****************** Orang Islam, terutama yang menghuni negara kaya raya tidak ambil peduli, penderitaan sesama Muslim di Tanduk Afrika mungkin dianggap terlalu jauh dari mereka. Kini umat Islam berada dalam bulan Ramadan yang mulia, sungguh kontras kehidupan mereka dengan orang-orang kaya di negara seperti Kuwait dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) berbelanja dengan begitu mewah sekali sehingga ada laporan menyatakan di UAE sebanyak 50 tan makanan dibuang ke dalam tong sampah sepanjang Ramadan, di Somalia, penduduknya "bukan berpuasa pada bulan Ramadan saja tetapi sudah melakukannya sejak berbulan-bulan lalu." Mereka tiada makanan, tetapi makanan daripada negara dan umat Islam yang kaya-raya tidak jua kunjung tiba. ****************** Jika dikaji bantuan bagi mangsa tsunami dulu, daripada AS$2 bilion (RM7.6 bilion) disumbangkan, pemberi utama adalah di kalangan negara bukan majoriti umat Islam seperti Jepun (AS$500 juta), diikuti Amerika Syarikat (AS$350 juta) dan Britain (AS96 juta) dan sebagai perbandingan negara Islam/Arab yang kaya seperti Arab Saudi menyumbangkan AS$10 juta, Kuwait juga AS$10 juta dan UAE (AS$2 juta). ****************Oleh itu adalah wajar perubahan drastik dilakukan bagi menyedarkan umat Islam akan penderitaan saudara seagama kerana ummah bagaikan satu tubuh, jika satu anggota sakit seluruh badan akan menanggung penderitaan!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment