Monday, August 22, 2011
Ramadan bulan terbaik untuk terus berhenti merokok
***
DENGAN Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Dirawikan daripada Ali r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: "Jika manusia telah membenci orang-orang fakir dan berseronok dengan dunia serta memburunya untuk mengumpulkan wang, maka Allah akan memanah mereka dengan empat hal; masa yang di mana krisis ekonomi, penguasa zalim, pemegang hukum berkhianat dan tipu daya daripada para musuh."
***
SEDAR tak sedar, sudah hampir 10 tahun saya berhenti merokok. Sekarang Ramadan sudah meniti hari-hari terakhir, satu persoalan kepada kaki-kaki rokok, adakah bulan suci ini berjaya mentarbiyah anda semua untuk tidak lagi merokok selepas ini?
Sebenarnya Ramadan-Ramadan saya yang lampau juga 'tidak berjaya' mematikan tabiat saya untuk merokok; huh, alangkah nikmatnya menyedut asap rokok selepas berbuka, apatah lagi jika ia dilakukan di dalam jamban. Ya, tanyalah perokok, sesetengahnya suka sangat 'sting' dalam tandas kerana sudah 'dilatih' melakukannya dalam suasana begitu sejak di asrama sekolah lagi.
Jika puasa gagal 'menginsafkan' saya, satu lagi 'Rukun Islam' berjaya mematikan tabiat buruk saya itu - sejurus sebelum menunaikan haji pada Februari 2002, saya diserang batuk-batuk yang sangat teruk, jadi fikir saya lebih baiklah saya buangkan tabiat itu sebelum kaki saya menjejak Tanah Suci.
Alhamdulillah, sejak itu sehingga kini, saya tidak pernah menjepit pontong rokok di bibir saya. Ringkasnya saya 'sudah suci' daripada rokok, heh, heh, heh.
Selain daripada batuk teruk itu, ada banyak faktor lagi yang menghalang saya kembali merokok; misalnya selepas balik haji dengan kopiah sentiasa di kepala, takkan saya nak menjepit rokok di mulut, malulah orang lihat 'pak haji' merokok; kawan-kawan saya (ada yang berserban besar) hampir semuanya tidak merokok malah isteri saya pun benci orang merokok, jika mahu merokok kena keluar rumah dan anak-anak pun sudah mulai besar, malulah pada anak-anak jika seorang bapa asyik merokok saja. Nanti kalau anak tiru kita merokok, apa kita nak cakap?
Namun bercakap memanglah mudah, untuk benar-benar berhenti daripada merokok itu yang payah. Saya sedar berapa banyak orang boleh berhenti sebulan dua, tetapi kembali merokok malah ada yang sudah berhenti bertahun-tahun tetapi kembali kepada tabiat lama. Mengapa? Jawapannya memang pelbagai; orang jika sudah jadi tahi rokok, mereka akan mengungkapkan kata-kata ke-'mancho'-an seorang perokok seperti; "hilang bini takpa, jangan tak dapat rokok" atau "aku tak boleh kerja jika tak dapat rokok."
Kini Ramadan datang lagi dan sudah pun sampai ke penghujung; perokok yang boleh pun tak merokok sepanjang berpuasa iaitu dari waktu imsyak sehingga berbuka, cuba-cubalah untuk terus tidak menghisap asap rokok sepanjang malam.
Lupakanlah rokok itu dengan menyibukkan diri dengan amalan-amalan disyorkan seperti sembahyang tarawih, tahajud dan bertadarus al-Quran. Jika siang boleh tak merokok, takkan pada malam hari yang waktunya lebih singkat (kita banyak tidur) tidak boleh tidak merokok.
Kalau rasa nak merokok, ingat-ingatlah kata-kata Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sedikit masa dulu yang menyamakan perangai perokok dengan lembu, malah lebih teruk daripada lembu, ungkapnya. Kenapa perokok berperangai lebih teruk daripada lembu?
Kalau nak tahu, ambil dan telitilah sekotak rokok. Pada kotak rokok ditulis, 'Amaran Kerajaan Malaysia. Merokok Membahayakan Kesihatan'. Di bawah perkataan AMARAN, ada gambar besar leher seorang pesakit kanser. Teruknya penyakit itu. Ngeri melihatnya. Leher itu berlubang, kemerah-merahan dan bernanah. Kebanyakan bahagiannya kehitaman. Ada benjolan di sana sini. Di bawah gambar itu ada perkataan: 'Rokok Penyebab Kanser Leher'.
Di sisi kotak itu ditulis: 'Produk ini mengandungi lebih 4,000 bahan kimia termasuk tar, nikotina dan karbon monoksida yang membahayakan kesihatan'. Ada juga perkataan, 'Dilarang Jual Kepada Orang Bawah Umur 18 Tahun'. Pada kotak rokok lain tertera gambar paru-paru kehitam-hitaman dan berlubang-lubang dengan perkataan 'Rokok Penyebab Kanser Paru-Paru'. Melihat gambar dan tulisan amaran pada kotak rokok itu sudah cukup untuk menakutkan seseorang.
Manusia bukan lembu, jadi sudah pasti kebanyakannya (sekalipun kalau tidak boleh membaca) tahu mesejnya. Tentulah perokok mampu mengira kos yang diperlu ditanggungnya daripada 'hobi' ini.
Mari kita kira berapa dibelanja dan apa didapati seseorang perokok. Katakan sekotak rokok 20 batang berharga RM8.60. Kalau dalam sehari seseorang menghisap sekotak, dalam sebulan dia membelanjakan RM258.00. Dia perlu membeli mancis atau pemetik api. Sekotak mancis berharga 20 sen, dalam sebulan kos mancis RM6.00. Dalam sebulan seorang perokok membelanjakan RM264.00.
Dalam setahun RM3,168.00. Katakan dia sudah menghisap rokok 10 tahun, jadi dia membelanjakan RM31,680.00 untuk memenuhi hobi 'rock' dan 'cool'nya itu. Kalau 20 tahun, jumlahnya RM63,360.00. Apa yang boleh dibuat dengan wang RM63,000.00? Dia boleh membeli sebuah rumah agak selesa, sudah boleh pergi haji, dan sebagainya. Itu baru menghisap satu kotak rokok sehari selama 20 tahun; jika dia merokok dua kotak sehari selama 20 tahun, jumlah 'dihanguskanan' RM126,000.00.
Jumlah ini sangat besar; tetapi apakah hasil didapati seseorang perokok selain nikmat menyedut dan menghembus asap? Jawapannya sudah diberikan di atas kotak rokok itu; kanser paru-paru, kanser leher, kanser mulut dan sebagainya.
Apabila diserang penyakit ini (termasuk sakit jantung), kos rawatannya cukup tinggi; membazirkan masa doktor dan jururawat untuk merawat mereka di hospital selama berbulan-bulan malah bertahun-tahun.
Demikianlah seseorang perokok itu membayar puluhan malah ratusan ribu ringgit untuk mendapat pelbagai jenis penyakit termasuk kanser dan masalah-masalah lain. Jadi bijakkah orang ini? Oleh itu amat tepatlah untuk Tok Guru Nik Abdul Aziz menyifatkan perangai perokok sebagai lebih buruk daripada lembu.
Ramadan ini, berusahalah kita untuk 'menjadi lebih baik daripada lembu'. Dulu saya pun seorang perokok, jadi perangai saya pun lebih teruk daripada lembu; pada usia yang semakin matang ini barulah saya menyedari kealpaan lalu apabila diri kini menderita pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan kadang-kala terasa sakit-sakit di dada.
Mungkinkah itu petanda penyakit jantung; diminta jauhkannya oleh Allah SWT, saya benar-benar ngeri melihat gambar paru-paru dijangkiti kanser itu.
Dulu apabila disebut merokok, orang ramai pandai-pandai menghukumkannya sebagai MAKRUH tetapi kini sudah terang lagi bersuluh, Majlis Fatwa sudah menghukumkannya sebagai HARAM; oleh itu apa lagi; jadikanlah Ramadan ini bulan melahirkan kita kepada fitrah - bebas daripada rokok.
Ya, mana ada bayi lahir dengan pontong rokok terjepit di tangannya!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment