Tuesday, August 16, 2011

Pak Samad; Hang Nadim baru yang cuba dihapuskan?


*Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Bersabda Rasulullah s.a.w.: "Sebaik-baik zikir adalah "Laa Ilaha IllAllah."
***

KETIKA menonton sebuah rancangan motivasi TV1 pada suatu pagi, saya mendengar seorang penceramah bersemangat menyatakan mengapa orang Islam (Malaysia) tidak menjadi bangsa global sehingga disanjung di peringkat antarabangsa termasuklah memenangi Hadiah Nobel.

Katanya, jika diteliti senarai penerima Hadiah Nobel, daripada 10 orang; mungkin 7 orang Yahudi dan bakinya orang Barat lain. Orang Malaysia kena berganjak pemikiran mereka, membuat sesuatu bukan bagai juara kampung saja tetapi termasyhur di peringkat internasional. Beliau menamakan Tabung Haji dan Felda sebagai contoh kejayaan orang Malaysia di peringkat global.

Jika kita amat-mati, orang Asia yang pernah menerima Hadiah Nobel, sebahagiannya kerana menjadi pengampu Barat paling hebat. Antaranya sasterawan asal Bangladesh, Taslima Nasreen yang menghina Islam; demikian juga dengan Salman Rushdie (penulis buku The Satanic Verses), asal India yang difatwakan bunuh ke atasnya oleh pemimpin Iran ketika itu, Ayatollah Ruhollah Khomeini.

Srikandi Burma (Myanmar), Aung Sann Su Kyi  mungkin satu-satunya tokoh pilitik dari rantau Asia Tenggara yang pernah menerima Hadiah Nobel Keamanan. Beliau juga adalah tokoh pro-Barat yang tersangat hebat, jadi tidak hairanlah beliau dianugerahi hadiah itu.

Jadi bagi menjawab pertanyaan penceramah itu mengapa orang kita (orang Islam, Asia) hanya sesekali dianugerahkan hadiah itu, salah satu faktornya tokoh rantau ini adalah pengkritik lantang Barat dan cara hidupnya tetapi jika seseorang pemimpin itu tunduk kepada kehendak Barat, sebaliknya menjadi dalang di negaranya seperti dibuktikan oleh Su Kyi, ada kemungkinan untuk dia menerima Hadiah Nobel.

Pertanyaan seterusnya mengapa pakar motivasi itu merujuk kepada penerima Hadiah Nobel sebagai lambang kejayaan dan kegigihan perjuangan? Di rantau dan negara kita tidak kurang kisah dan tokoh untuk direnungi dalam kita memajukan anak bangsa. Bagi saya salah satu watak bangsa Melayu yang wajar selalu direnung-renung adalah Hang Nadim dengan kisah Singapura dilanggar todak.

Watak Hang Nadim sebagai penyelamat berubah-ubah mengikut masa, dan hari ini pada pada pandangan saya Dato’ A Samad Said (Pak Samad) menepati ciri kebijaksanaan Hang Nadim sebagai seorang daripada sejumlah tokoh yang berusaha keras bagi menyelamatkan bangsanya  daripada kebobrokan yang teramat sangat. Ya, sama seperti Hang Nadim, Pak Samad dibenci sehingga ada yang menuduhnya khianat dan mahu beliau diusir daripada negara ini.

Perjuangan Pak Samad sewajarnya dihormati tetapi sama seperti nasib Hang Nadim, ramai orang berpangkat dan berpengaruh, mahu dia mati. Namun selepas dia tiada nanti, dikhuatiri barulah masyarakat sedar akan perjuangannya, barulah pangkat dan pujian dilonggokkan kepadanya.

Kita ambil P Ramlee sebagai contoh. Ketika hidupnya tidak ramai yang peduli; gelaran Seniman Agung dan pangkat Tan Sri hanya menghiasai namanya sedangkan jasadnya sudah lama terbaring dalam tanah. Sesudah mati dia menjadi legenda. Masyarakat mempunyai lambang untuk dibanggakan dan berpegang.

Jadi masyarakat Melayu ada P Ramlee untuk dibanggakan. Demikian juga dengan Hang Tuah. Masyarakat menjadikan Hang Tuah sebagai lambang untuk berpegang. Lambangnya, kononnya Melayu tidak kalah dengan bangsa lain. Melayu perkasa dan contohnya adalah Hang Tuah.

Namun masyarakat gagal memahami bahawa ketika mereka mengagung-agungkan tokoh yang sudah mati, akan muncul lagi orang yang mempunyai kewibawaan dalam bidang masing-masing. Mereka juga diabaikan dan hanya diingati selepas mati.

Kini muncul Pak Samad sebagai ikon baru perjuangan rakyat marhaen sekalipun dia sudah uzur benar. Namun kenapa Pak Samad dihina begitu teruk sekali termasuk oleh orang-orang dalam lingkungan dunia kesusasteraaan?

Mungkinkah orang kita tidak mahu Pak Samad menjadi Hang Nadim baru? Otak sebahagian besar daripada kita masih sama seperti pembesar Singapura pada masa Hang Nadim dulu. Kerana pandainya Hang Nadim mempertahankan Singapura daripada serangan todak dengan berkubukan batang pisang, maka dia dia difitnah dan bunuh.

Pak Samad sudah berapa kali kena ‘gas’. Beliau sudah tahu betapa deritanya rakyat dalam menuntut sebuah kehidupan yang lebih baik. Sama seperti pembesar Singapura, pembesar sekarang juga tidak senang dengan kehadiran Hang Nadim baru ini. Sebab itulah dia disembur gas. Mungkin dengan tindakan ini, akan matilah perjuangan Hang Nadim, atau lebih baik lagi dengan matinya Hang Nadim ini dan Hang Nadim-Hang Nadim lain, bolehlah mereka bersorak gembira kerana dapat berkuasa dulu, kini dan selamanya!

No comments: