***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Keutamaan beriktikaf di dalam masjid
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kerahiban umatku adalah duduk-duduk dalam masjid."
Keterangan
Fahamilah bahawa duduk-duduk itu boleh dimaksudkan sebagai iktikaf. Bagi orang mukmin, tempat paling utama untuk beruzlah ialah di dalam masjid. Bukannya beruzlah di gua-gua batu atau di pondok-pondok di tengah hutan dan sebagainya. - Hidayah
***
KETIKA menunggu waktu berbuka puasa, saya menekuni rancangan Jejak Rasul terbitan sebuah stesen televisyen swasta. Ramadan kali ini penonton diajak mengikuti perkembangan Islam di Rusia yang mendakwa dirinya sebagai pewaris Kesatuan Soviet (Soviet Union, USSR).
Sungguh menarik melihat dan mendengar perkembangan pantas Islam di bumi bekas empayar komunis itu. Dilaporkan ada sekurang-kurangnya 23 juta orang Islam di Rusia, sebahagiannya adalah orang Tatar yang kebanyakannya mendiami sebuah negeri bernama Tatarstan dalam Persekutuan Rusia. Ibu kota Tatarstan adalah Kazan, sebuah bandar raya yang jelas ciri-ciri keislamannya.
Kira-kira 20 tahun lalu (1992), sebagai wartawan saya telah menjejakkan kaki di Moscow; ketika itu Soviet Union yang dipimpin Mikhail Gorbachev baru saja terlerai dan berpecah menjadi 15 republik merdeka; salah satunya Rusia yang dipimpin Boris Yeltsin (sudah meninggal dunia).
Ketika berada di Moscow, saya beratur panjang, menyertai ribuan orang berjalan di sisi mayat Vladimir Lenin yang diawet dan diletakkan dalam bekas kaca di sebuah bangunan di Red Square. Lenin adalah salah seorang pengasas dan diktator Soviet Union, ‘memenjarakan’ ratusan juta rakyatnya dalam sebuah empayar komunis. Sekalipun Lenin dan pemimpin Soviet kemudiannya berjaya memasung rakyat selama 70 tahun, ternyata minda rakyat tidak dapat dipenjarakan.
Ternyata yang ‘terpasung’ sekarang adalah Lenin dalam sebuah kotak kaca cantik di Red Square sedangkan rakyat bekas empayar Soviet Union sudah menikmati kebebasan, sebahagian besar daripadanya menjalani kehidupan ‘lebih barat’ daripada rakyat di negara Eropah Barat dan Amerika Syarikat.
Bagi orang Islam, mereka kini digambarkan sebagai lebih bebas beragama,dengan masjid-masjid besar dan cantik semakin banyak dibina. Itulah yang digambarkan melalui rancangan televisyen berkenaan, dulu ketika saya berada di Moscow dan rantau lain di bekas negara Soviet Union, hanya beberapa masjid baru dikembalikan kepada masyarakat Islam selepas berdekad-dekad lamanya ditutup termasuk dijadikan setor.
Bercakap mengenai kuasa; jika Soviet Union yang perkasa itu akhirnya tumbang, di tanah air kita, apalah sangat dengan Umno-BN yang dianggap sesetengah pihak terlalu kebal untuk terlerai daripada kuasa.
Komunis Soviet yang melakukan penindasan paling dahsyat ke atas rakyat pun hanya mampu bertahan 70 tahun; tidakkah ia menunjukkan bahawa Umno yang mendominasi kuasa lebih 50 tahun juga berada dalam kedudukan sangat genting? Kata orang jika Tembok Berlin di Jerman pun boleh runtuh, apalah sangat ‘tembok perkauman’ Umno-BN?
Kebangkitan rakyat di Soviet Union sebahagiannya disebabkan dasar pembaharuan diperkenalkan Presiden terakhirnya, Mikhail Gorbachev yang dinamai ‘perestroika’ dan ‘glasnost’ pada akhir 1980-an. Apakah rancangan pembaharuan Gorbachev itu? Antaranya ialah membuka pintu Soviet kepada dunia Barat.
Kesatuan Soviet akhirnya terdedah kepada ketidak-tentuan yang membawa kepada kemerdekaan republik-repubik dalamnya dan akhirnya jawatan Gorbachev sendiri tercabar dan beliau terpaksa menyerahkan kuasa kepada Yeltsin.
Pembaharuan tidak dapat dielakkan Gorbachev selepas kejatuhan satu demi satu negara blok komunis di Eropah Timur dan kini Umno-BN juga tidak dapat mengelakkan pembaharuan yang pantas melanda negara terutama dengan kemajuan dunia teknologi informasi dan komunikasi (ICT) yang menyaksikan satu demi satu ‘sandiwara’ dan ‘kebobrokan’nya termasuk dalam isu Bersih 2.0 terdedah.
Sebagai kesimpulan, yang benar pasti naik walaupun ditindas hebat sebagaimana Islam yang cuba dipadamkan oleh komunis Soviet; maka kini bolehlah penyiar stesen TV swasta berkenaan melaporkan kebangkitan semula Islam di sana; persoalannya tidak teringinkah pihak yang sama melaporkan kebangkitan Islam di bumi tercinta apabila kuasa diberikan kepada jemaah yang mahu menegakkan hukum-hakam Allah di bumi-Nya?
No comments:
Post a Comment