"Masa ayah kahwin dengan ibu dulu, ayah 'handsome' tak?" tanya anak saya yang berusia lapan tahun, membuatkan saya dan isteri tergelak besar.
Dulu lain, sekarang lain. Sebagai makhluk bersifat baru, banyaklah perkara berubah. Dulu badan kuat, sekarang selalu sengal-sengal (sakit). Dulu rambut lebat, sekarang sudah kurang. Dulu gigi penuh, sekarang sudah ada yang rompong. Ringkasnya banyak perubahan berlaku - sama ada dari segi fizikal atau mental.
Dalam keluaran kali ini, saya akan membawa pembaca meneliti empat kemudahan asas yang berubah dan tidak berubah. Bagi memudahkan huraian, saya akan menjadikan pengalaman saya sebagai asas perbincangan. Skopnya adalah berkaitan pengangkutan awam sesuai dengan isu pemimpin kita yang keberatan membayar saman kesalahan lalu lintas.
1. Jalan raya
Antara kemudahan awam paling awal saya kenal ialah jalan raya. Pertama kali saya terbabit dalam perjalanan jauh adalah dari Melaka ke Kuala Lumpur kira-kira 30 tahun lalu. Jalan raya pada masa itu tidaklah sebaik hari ini. Ketika itu mana ada lebuh raya. Perjalanan ke Kuala Lumpur mengambil masa lebih empat jam.
Jalan rayanya bengkang-bengkok, mendaki bukit, melalui cerun, melalui kawasan ladang getah dan kampung-kampung. Tandas awam pun tak ada masa itu. Terpaksalah buang air dalam semak.
Hari ini sudah ada lebuh raya. Perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur tidak sampai dua jam. Kini ada tandas awam yang serba bersih di hentian rehat. Selain itu ada surau yang cantik. Yang tak sedapnya, apabila tamat perjalanan, kita kena bayar tol yang tinggi. Bagi kemudahan ini, diucapkan syabas kepada pihak berkaitan.
2. Stesen bas
Apabila sudah bersekolah, saya mula menaiki bas awam dan mengenal stesen bas. Di Kuala Lumpur, Hentian Puduraya dan 'Bas Stand Klang' pula tidak berubah-rubah sejak saya remaja sampailah sekarang. Sudah banyak laporan/rungutan ditulis mengenai kedaifan hentian ini, tetapi rakyat awam terus terpaksa menanggung ketidak-selesaan. Apabila Hari Raya bermakna sekali lagi ratusan ribu rakyat miskin yang terpaksa menaiki kenderaan awam akan menanggung bahananya. Entah-entah 20 tahun dari sekarang, Hentian Puduraya masih sama macam sekarang!
3. Pejabat Imigresen
Selepas bertahun-tahun bekerja, majikan pun 'rekomen' bertugas di luar negara. Untuk tujuan ini, pasport diperlukan. Kali pertama saya membuat pasport antarabangsa adalah pada tahun 1990 dulu. Permohonan dibuat di pejabat Imigresen, Pusat Bandar Damansara. Pada hari pertama saya ke sana, saya diminta datang pada hari berikutnya kerana 'nombor sudah habis'. Keesokan harinya, jam 7.00 pagi saya sudah menunggu di pintu masuk. Pemohon terlalu ramai. Sebaik saja pintu dibuka, saya pun menyerbu masuk macam orang lain, berebut mendapatkan nombor giliran.
Baru-baru ini saya memperbaharui pasport itu. Pejabatnya cantik manakala pembahagian nombor giliran tersusun. Yang tidak sedapnya kos pembaharuan pasport amat tinggi - RM300.00 Sedih juga saya perhatikan 90 peratus pemohon pasport adalah daripada satu kaum saja iaitu bangsa Cina. Apakah ini bermakna kaum lain kebanyakannya miskin dan tidak mampu ke luar negara luar?
4. Lapangan terbang
Untuk ke luar negara, kita perlu ke lapangan terbang. Dulu, Subang dan kapal terbang tidak dapat dipisahkan. Sebut saja kapal terbang, orang akan terbayang Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang. Itu dulu sekarang lain. Sekarang kita ada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang. Bangunan KLIA ini tersangatlah gah. Berbanding beberapa lapangan terbang antarabangsa lain yang pernah saya singgah, KLIA memang hebat. Lapangan terbang Soekarno-Hatta di Jakarta misalnya, begitu 'simple' sekali. Pendeknya dari segi kehebatan, sukarlah lapangan terbang lain untuk tanding. Di KLIA kita ada 'aero-train', ada KLIA Express dan sebagainya. Syabas KLIA!
Berdasarkan empat perkara disenaraikan, nampaknya yang terabai adalah kemudahan stesen bas awam. Sebab-sebabnya saya serahkan kepada pembaca untuk membuat penilaian.
2 comments:
oooo
xpa
ibu nk beli kete baru
Stesen bas tidak berubah kepada yang lebih baik, sedangkan kerajaan beria mahukan rakyat menggunakan pengangkutan awam. Bagaimana itu? Bila pelancong masuk malaysia mereka kagum dengan kecanggihan KLIA, sedangkan selepas itu stesen baslah paling banyak mereka kunjungi.Kita mencantikkan sesuatu yang sekejap saja orang tengok, sedangkan yang paling banyak orang tengok dan guna kita biarkan. Bagaimana itu?
Post a Comment