Seekor anjing adalah lebih baik daripada seorang sahabat yang jahat. Demikian saya terbaca kata-kata seorang cendekiawan dalam sebuah buku. Ini bermakna seseorang itu perlu pandai memilih kawan, jika baik kawannya, baiklah dia dan jika buruk kawannya itu buruklah dirinya.
Sebuah hadis ada menyatakan jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi, kewangiannya akan meresap ke diri kita manakala jika kita berkawan dengan tukang besi, bau yang kurang enak akan mengenai kita.
Demikianlah semasa menghadiri Kongres Pendidikan Rakyat tidak lama dulu, saya memperolehi butir-butir permata yang dikemukakan oleh dua sarjana dari sebuah universiti tempatan.
Kedua-duanya memperkatakan isu yang hangat sekarang - sekolah agama rakyat (SAR). Buah fikiran mereka amat penting kerana jarang tokoh akademik lantang bercakap mengenai isu ini. Yang kerap kita dengar pandangan tokoh politik yang kadang-kala dianggap berpihak kepada kumpulannya.
Dalam menghadapi kemelut isu SAR, cendekiawan Melayu-Islam ini melontarkan idea agar diadakan Konvensyen Pendidikan Alternatif yang diterajui oleh PAS.
Mereka melihat sumbangan SAR daripada sejak zaman sebelum merdeka dan kini boleh dilanjutkan lagi dengan mencatat sejarah dalam memenuhi keperluan kebangkitan rakyat.
Kata mereka berdasarkan sekatan ke atas pelajar SAR daripada menduduki peperiksaan awam, Konsortium Pendidikan Alternatif yang terhasil kemudiannya, boleh mengusahakan Majlis Peperiksaan sendiri yang bukan saja akhirnya diiktiraf dalam negara tetapi juga di seberang laut. Ini akan menjadi kenyataan jika peperiksaan umum yang dikendalikan konsortium ini lebih tinggi mutunya daripada yang ada sekarang.
Kata mereka semua ini boleh dibuat kerana wujudnya apa yang dinamakan pendemokrasian pendidikan di negara ini.
Berdasarkan senario pendidikan yang kucar-kacir hari ini, mereka mencadangkan agar dikembalikan persoalan pembangunan pendidikan kepada negara.
Hari ini terlalu banyak 'politiking' dalam dunia pendidikan sehinggakan bidang yang amat penting ini sudah terlalu bersifat komersial. Dengan wujudnya ratusan kolej universiti swasta, pendidikan seolah-olah bukan lagi milik negara tetapi usahawan yang mengusahakan institusi pengajian berkenaan.
Cendikiawan berkenaan juga mahu Falsafah Pendidikan Negara dijayakan manakala ilmu wahyu dijadikan teras dalam sistem pendidikan. Dengan ini diharapkan akan lahir ilmuan seimbang. Jika dia seorang doktor, dia akan menjadi doktor yang jujur dan jika dia seorang jurutera, dia seorang jurutera yang beriman.
Mereka juga mendesak agar urusan pendidikan diserahkan kepada ahli-ahli dalam bidang ini dan bukannya dirosakkan oleh segelintir ahli politik dan ekonomi yang gila kuasa.
Selain itu, mereka juga mahukan keadilan untuk rakyat dalam mendapatkan pendidikan manakala kualiti pendidikan itu sendiri perlu dipertingkatkan.
Selaras dengan pendemokrasian pendidikan dan jaminan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai bahasa ibunda, cendekiawan berkenaan juga bertanya mengapa sekarang ini ada usaha untuk menghalang orang Melayu daripada belajar Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda.
Berdasarkan halangan inilah mereka berpendapat usaha perlu dilipat-gandakan bagi menjadikan sekolah agama rakyat sebagai pusat kecemerlangan ilmu dalam bahasa Melayu pada masa depan.
Mereka percaya kegemilangan sekolah agama rakyat akan berulang. Jika dulu, ia melahirkan pahlawan kemerdekaan, kali ini ia akan melahirkan pahlawan kebangkitan rakyat.
Cendekiawan ini berpandangan alasan untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran Sains dan Matematik kebanyakannya adalah fitnah.
Misalnya alasan kononnya jika pembelajaran digunakan dalam bahasa Inggeris, pelajar akan mudah menerima perubahan terkini dalam bidang itu, tidak dapat diterima kerana hampir semua perkara asas yang dipelajari tidak berubah dari dulu sampai sekarang.
Hampir 80 peratus perkara asas dalam Matematik adalah ciptaan tamadun Islam manakala dalam bidang Sains pula adalah sebanyak 60 peratus. Yang berlaku sedikit sebanyak perubahan adalah pengajian di peringkat sarjana dan PhD. Dipercayai pelajar tidak menghadapi masalah kerana asas mereka sudah mantap melalui pengajian sehingga ke peringkat sarjana muda.
Dakwaan kononnya pelajar berpendidikan Melayu tiada daya saing juga tidak dapat diterima kerana sejak sistem pendidikan kebangsaan dilaksanakan, ribuan lulusan universiti tanah air dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara dan bersaing dengan pelajar asing. Universiti ini termasuklah di Eropah dan Amerika.
Demikian, banyak lagi alasan tidak dapat diterima menyebabkan cendekiawan ini mencadangkan agar sekolah agama rakyat diperkasa bagi menggembalikan kegemilangan keilmuan dunia Melayu-Islam.
No comments:
Post a Comment