Monday, February 9, 2009

Dulu mahu jadi 'hamba rakyat', kini...

Ketika kempen pilihan raya dulu, ramai pemimpin mahu menjadi 'hamba rakyat'. Maka dicanangkanlah di seluruh negara, pemimpin akan bekerja keras untuk kebajikan rakyat. Pemimpin akan bekerja kuat untuk rakyat, hatta 24 jam sehari pun sanggup.

Di sana sini dihebohkan, ada pemimpin kerja 20 jam sehari, ada pemimpin jam 12.00 tengah malam baru balik rumah, ada pemimpin pula dakwa sudah berhari-hari dia tak jumpa kaum keluarganya. Ramai pemimpin kelihatan ke sana sini menemui dan bersalaman dengan rakyat. Hatta tangan peniaga ikan dan ayam yang berlumuran kotoran pun sanggup mereka salami.

Tidak lama dulu selepas menang besar dengan janji untuk jadi 'hamba rakyat', ada pemimpin termasuk seorang menteri kanan yang menjaga hal ehwal air (kini bekas), mengeluh, 'tolonglah rakyat jangan banyak mengadu, kepala saya dah pening dah!'

Demikianlah bertapa ramai manusia pandai berjanji tetapi tidak berdaya mengotakannya. Janji-janji yang dibuat sesuailah dengan apa yang dihajatinya.

Kalau pasangan belum kahwin dan sedang dalam alam percintaan, akan keluarlah janji-janji seperti: 'Lautan api pun sanggup kurenangi, hanya kau di hatiku atau kalau dinda jadi bunga kanda jadi kumbangnya'. Cakap dan janji bukan main, tetapi apabila dah kahwin, tangan itu-lah yang selalu 'pelepuk' bini, kaki itu-lah yang selalu terajang bini.

Bagi si wanita pula, sebelum kahwin, waduh, dijanjikannya ungkapan seperti: "Nanti dah kahwin, abang tak payahlah senduk nasi, basuh baju, biarlah saya yang buat." Tetapi apabila sudah kahwin bukan saja tak disenduk, nasi pun tak ditanak, manakala ramai lelaki yang kena jadi 'lakirumah'.

Dalam politik, selepas sesuatu pihak itu menang besar dalam pilihan raya, kebanyakan janji tinggal janji. Ramai yang berjanji mahu beri kesenangan pada rakyat, rupanya rakyat makin sengsara. Bukan saja rakyat sudah jadi hamba tetapi 'disodok'nya ke tepi.

Dulu cakap mahu bagi rakyat senang, sekarang bukan rakyat senang tetapi pemimpin yang senang lenang. Rakyat biasa mendapati harga barang melambung, kos hidup makin tinggi. Masuk tahun baru lalu, pelbagai tekanan dikenakan ke atas rakyat. Tol naik, tarif air naik, yuran sekolah anak-anak mahal manakala harga barang usah cakaplah - mahal betul.

Ketika rakyat kebingungan kerana 'kekeringan' pada bulan Februari ini, mereka mendapat pula 'surat saman' daripada Jabatan Hasil Dalam Negeri (JHDN). Mereka dikehendaki mengisi dan mengira sendiri cukai yang perlu dibayar. Rakyat akan mengeluh, nak bayar cukai (keluarkan duit) pun mereka kena kira sendiri?

Rakyat (pemandu) yang kena saman ekor, juga mengeluh. Bagi yang mempunyai beberapa kesalahan trafik, terpaksalah mengeluarkan ratusan malah ribuan ringgit. Dalam masa mereka menghitung-hitung baki duit masing-masing, cukai jalan kereta mati, kena pula mereka 'sedekahkan' kepada JPJ ratusan ringgit lagi.

Penyeksaan itu belum 'berakhir' kerana apabila hendak memperbaharui 'road tax' mesti bayar 'insurans' dulu. Lagi sekali rakyat akan 'kopak' sekurang-kurangnya ratusan ringgit manakala ribuan ringgit adalah perkara biasa.

Bagi rakyat yang 'berharta sikit' pada ketika ini pelbagai surat cukai datang - ada cukai pintu, ada cukai tanah dan pelbagai macam cukai lagi. Sekarang ini nampaknya 'semua barang; kena cukai', Cuma rakyat saja tak perasaan. Misalnya apabila kita 'isi petrol', kita kena bayar cukai, beli rokok kena bayar cukai'. Kalau makan di KFC, McDonald's memang sah, dalam resit ditulis cukai yang kita kena bayar.

Bagi yang 'beranak' pula, anak-anak yang bersekolah akan membawa bermacam-macam 'surat cukai' daripada pihak sekolah. Ada yuran itu, ada yuran ini. Kemudian ada borang untuk beli buku itu dan buku ini.

Tidak lama lagi tambang pengangkutan awam (terutama bas) akan naik lagi. Dengar khabar tambang baru yang akan naik sebanyak 30 peratus akan berkuat kuasa April 2009.

Pendeknya pening rakyat memikirkan betapa banyak bil, cukai dan yuran yang kena mereka bayar. Kalau yang berpendapatan RM2,000.00 apabila dihitung pembayaran bil dan semua perbelanjaan, tahu-tahu jumlahnya melebih RM2,000. Inilah dikatakan lebih keluar daripada masuk. Apabila ini berlaku tentulah hidup seseorang itu tidak aman.

Itulah sebabnya dunia ini pun tidak aman lagi. Kalau seseorang itu reda dengan keadaan dirinya (imannya kuat), bolehlah dia bertahan. Tetapi bagi orang yang nafsunya lebih hebat daripada iman, tentulah berlaku kes-kes tidak diingini. Ditambah dengan hasutan si isteri yang mahu ini, mahu itu, kemungkinan besar si suami akan terperangkap dengan rasuah dan pelbagai penyelewengan lain.

Bagi rakyat yang sudah terlalu dibebani oleh masalah, tidaklah menjadi kehairanan jika mereka merujuk kepada pemimpin termasuk menteri yang selama ini mengaku jadi 'hamba rakyat'. Tetapi malangnya, pemimpin pun tidak tahan dengan aduan-aduan ini. Bagi mengelak ditimbuni masalah rakyat, mereka mendakwa sudah pening kepala pula.

Kalau pemimpin sudah pening dan tak boleh bekerja lagi, buat apa duduk di kerusi empuk itu. Berhentilah saja dan bagi peluang orang lain yang nak jadi pemimpin. Hakikatnya ramai orang gilakan jawatan dan kedudukan pemimpin tetapi tidak ramai yang sanggup menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin.

Buktinya ramai yang masih 'melekat' di kerusi empuk masing-masing walaupun sudah tersebar pelbagai kisah seperti rasuah yang membabitkan nama masing-masing. Bagi mereka untuk berhenti, tidak sekali-kali.

Hari ini mungkin tidak ada pemimpin yang sanggup hidup miskin dan takutkan kuasa seperti Umar Abdul Aziz. Sebaliknya, ramai yang suka dan gilakan kuasa. Kebanyakan pemimpin adalah daripada jenis yang pandai berjanji dengan slogan seperti mahu jadi 'hamba rakyat' tetapi janji tetap tinggal janji.

2 comments:

usoPkuChai said...

kebanyakannya hanya suka menjadi 'hamba rakyat' yg dapat menghambakan rakyat.. tunjukkan aku pemimpin, selain TG niz aziz dan dato azizan, yg nak dapat rugi sebab jadi pemimpin?

Unknown said...

begitulah resam dunia, sebab itu kita tidak boleh terlalu mengharap kpd pimpinan/ YB untuk menyelesaikan masalah kita.