Monday, February 16, 2009

Berakhirnya episod 'angkat tangan' (demokrasi)

Sejak kecil lagi, amalan 'angkat tangan' (demokrasi) menjadi sebahagian cara kita memilih ketua atau memutuskan sesuatu perkara.

Di sekolah, ketika mahu memilih ketua darjah, sesetengah guru akan meminta murid-murid mengemukakan nama calon dan kemudian menjalankan pengundian bagi menentukan siapa paling disukai menjadi ketua darjah.

Siapa yang meyokong calon tertentu akan mengangkat tangan. Calon yang mendapat undi terbanyak akan menjadi ketua darjah, yang kedua terbanyak dipilih penolong ketua darjah dan seterusnya.

Amalan ini juga diamalkan di sesetengah sekolah bagi memilih pengawas, ketua dan jawatankuasa pasukan beruniform, kelab, rumah (sukan) dan sebagainya.

Demikian juga dalam memutuskan sesuatu perkara, misalnya jika kelab sekolah mahu menganjurkan lawatan ke suatu tempat, ahli kelab akan memutuskannya dengan mengadakan undian.

Apabila dewasa dan memasuki dunia pekerjaan, kita dapati pemilihan ketua dan ahli jawatankuasa kesatuan juga menggunakan kaedah pencalonan dan 'angkat tangan' atau yang lebih kemas menggunakan 'kertas undi'.

Demikian juga ketika mahu memilih pemimpin dan kerajaan, kita adakan pilihan raya. Rakyat bebas memilih siapa, tetapi sekarang ini selepas rakyat membuat pilihan, ada wakil yang 'melompat' macam katak manakala kerajaan yang dipilih rakyat juga ditumbangkan gara-gara 'katak melompat' ini.

Apabila umur meningkat, menjadi kebiasaan seseorang itu mendekatkan dirinya di surau dan masjid.

Apabila 'menjadi ahli' surau atau masjid, dapatlah disaksikan pelbagai perkara baru yang mematangkan diri kita.

Setiap tahun atau dua tahun sekali diadakan pemilihan ahli jawatankuasa (AJK) masjid atau surau.

Kaedah yang biasa kita saksikan pada pemilihan AJK ini ialah setiap jemaah berhak mencalonkan nama ahli kariah untuk jawatan pengerusi, setiausaha dan sebagainya.

Selepas beberapa nama dicalonkan, akan dibuat undian dengan cara jemaah mengangkat tangan. Calon yang mendapat undi terbanyak akan diamanahkan sesuatu jawatan itu.

Malangnya, di kebanyakan masjid dan surau hari ini, kaedah 'mengangkat tangan' sudah pun berkubur. Sebaliknya satu kumpulan orang bukan kaki masjid, secara tiba-tiba dilantik ke jawatan berkenaan.

Tidak lama dulu saya terbaca risalah penerangan garis panduan baru pelantikan AJK masjid/madrasah di sebuah negeri di selatan tanah air.

Dinyatakan dalam risalah itu penaung masjid adalah Pegawai Kemajuan Negeri, Pegawai Daerah dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri.

Mengenai pelantikan AJK masjid dinyatakan bahawa cadangan pelantikan dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kariah berkenaan.

Bagi pelantikan AJK surau/madrasah, cadangan dibuat oleh Pengerusi Lembaga Masjid dan disahkan oleh Pengerusi JKKK.

Selain itu, cadangan pelantikan disahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan dan jika Adun kawasan itu bukan beragama Islam, maka pengesahan dibuat oleh pihak lebih tinggi.

Juga dinyatakan JKKK dikehendaki mengadakan mesyuarat bersama dengan AJK Lembaga Masjid bagi membincangkan jawatankuasa baru.

Garis panduan baru ini menunjukkan betapa JKKK mempunyai kuasa yang begitu hebat sehingga boleh menentukan siapa yang layak dan tidak layak untuk dipilih menjadi AJK Masjid.

Bukankah ini bermakna mempolitikkan masjid sedangkan selama ini orang yang kerap berjemaahlah dilantik menjadi AJK masjid oleh 'orang kaki masjid' sendiri.

Apabila orang bukan kaki masjid dilantik menjadi AJK masjid dan surau, maka ada masjid dan surau yang lumpuh kegiatannya, bahkan kadang-kala solat berjemaah lima waktu pun tidak dapat didirikan. Malah ada yang dikunci dan mangga, maka jadilah rumah Allah untuk kebanggaan saja tetapi tidak diimarah dan makmurkan.

1 comment:

rantong said...

Salam ziarah. Nice blog.

View Profile: Rantong™