Kusangka panas hingga ke petang rupanya hujan pada tengah hari. Demikian harapan sesetengah orang Islam terhadap presiden baru Amerika Syarikat, Barack Hussein Obama dalam menangani isu membabitkan dunia Islam.
Amerika di bawah anak Hussein ini (berketurunan Kenya), berterusan membedil apa didakwa sasaran Taliban di sempadan Afghanistan-Pakistan yang mengakibatkan puluhan orang awam terkorban. Laporan terbaru menyatakan presiden yang terkenal dengan ungkapan 'change' (perubahan) ini, mengerahkan 17,000 askar Amerika ke Afghanistan.
Jelaslah 'imej Islam mengganas' masih menghantui Amerika, sehingga mereka tidak ada kerja lain kecuali memburu aktivis Islam sampai ke lubang cacing. Obama, Bush Sr, Bush Jr, Nixon, Clinton, Reagan; semuanya sama saja.
Sejak Tragedi 11 September 2001 (rempuhan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan Pentagon, tekanan kuasa besar dunia dan media yang dikuasai mereka ke atas negara dan umat Islam semakin hebat.
Selepas 'berjaya' dalam misi mereka di Afghanistan, mereka menjarah bumi Iraq kononnya bagi menggulingkan Presiden Saddam Hussein.
Walaupun tekanan yang dikenakan ke atas negara dan umat Islam akhir-akhir ini amat hebat, terutama selepas tragedi 11 September 2001, pihak berkuasa dan media Barat sudah melancarkan 'perang' ke atas umat Islam sejak sekian lama, terutama selepas berakhirnya Perang Dingin.
Adalah biasa untuk masyarakat dan agensi berita Barat menggunakan istilah seperti 'Moslem bandits', 'Islamic militants', 'Moslem fundamentalist' dan 'Moslem extremists' dalam menggambarkan betapa bahayanya umat Islam.
Sekalipun wujud kesedaran masyarakat dunia Barat mengenai kesucian Islam, hakikatnya sudah terlalu banyak tanggapan negatif dipropagandakan kepada ummah.
Jika diamati sesetengah sumber maklumat masyarakat Barat, didapati dunia mereka tidak menerima secukupnya maklumat mengenai Islam atau mereka disogokkan dengan fakta-fakta bohong mengenai Islam. Ada juga di kalangan mereka disekat daripada mendapatkan perkhabaran sebenar oleh media di sekeliling mereka.
Mereka mendakwa media mereka bebas tetapi sebenarnya media inilah yang menyediakan laporan separuh bohong mengenai dunia di sekitar mereka. Masyarakat mereka disogokkan apa yang mereka dakwa kebenaran tetapi hakikatnya kebenaran itu hanya untuk sesetengah golongan di kalangan mereka dan bukannya bersifat universal.
Ramai 'saudara baru' dari Barat yang sebelum ini beragama Kristian mengakui prejudis pihak Barat terhadap Islam dalam media massa dan buku-buku sejarah mereka.
Sebagai contoh, Ibrahim Hewitt dalam 'The Call to Islam', menulis: "Imej Islam yang berada dalam kotak fikiran orang Barat terlalu jauh terpesong. Terlalu banyak prejudis berlaku kerana kejahilan.
"Kami diberitahu terlalu sedikit mengenai Islam di sekolah dan sistem pendidikan sedaya upaya dijauhkan daripada Islam.
"Kami berasa wujud mentaliti benci dan berkobar-kobar mahu memerangi Islam - Islam dilihat sebagai satu ancaman."
Ibrahim Hewiit berkata, melalui sistem pendidikan Barat, gambaran mengenai Islam terlalu jauh terpesong.
Sebagai contoh Islam kerap dipanggil 'Mohammadenism' dan umat Islam dipanggil 'Mohammadens'. Ini seolah -olah memberi gambaran bahawa umat Islam 'menyembah' Nabi Muhammad s.a.w. sama seperti orang Kristian menyembah Jesus Christ.
Seorang lagi saudara baru, Abdel Rashid Sinner menulis: "Salah satu daripada banyak masalah dihadapi umat Islam di Britain ialah ia mempunyai imej yang begitu negatif.
Ini sebahagiannya disebabkan oleh sejarah. Islam sentiasa menjadi ancaman kepada Eropah Barat selama 1,000 tahun dan ini membentuk satu pemahaman yang sudah terpahat di hati penduduk.
"Saya teringat ketika masih kanak-kanak, saya membaca sebuah buku sejarah yang dalamnya ada satu ilustrasi yang menggambarkan Islam sebagai seorang lelaki Arab bengis dengan janggut panjang dan pedang terhunus
"Andaiannya ialah Islam disebarkan dengan pedang. Ia suatu agama yang ganas dan bersifat militan."
Zainab Sebai dalam 'The Call to Islam' menulis: "Orang ramai kerap bercakap mengenai 'fundamentalis Islam'. Setahu saya seorang 'fundamentalis Islam', secara amnya bermaksud seseorang yang mengamalkan apa yang diasuh oleh agama. Dan dari segi agama Kristian seorang 'fundamentalis Kristian' sewajarnya seorang Kristian yang percayakan Tuhan. Istilah ini begitu negatif dan digunakan untuk menghina sesuatu pihak.
"Hakikatnya istilah 'fundamentalis Islam' tidak wujud. Sama ada anda amalkan ajaran Islam atau mengingkarinya. Dalam bentuk yang sama istilah ekstremis tidak digunakan untuk merujuk kepada suatu tingkah-laku yang kurang disenangi tetapi untuk menggambarkan Islam secara keseluruhan.
"Islam bermakna tunduk (penyerahan). Anda tunduk kepada kehendak Allah. Jika anda menyerahkan diri anda kepada Allah, anda seorang Islam. Tiada 'fundamentalis' mengenainya. Sama ada anda tunduk atau tidak. Dan setiap orang bebas untuk menyerahkan dirinya atau tidak. Masing-masing bebas memilih.
"Sehubungan itu istilah fundamentalis amat menggelirukan, terlalu terpesong dan digunakan dengan tujuan untuk merosakkan. Anda tidak akan menuduh seorang Kristian yang menyambut Krismas sebagai seorang 'fundamentalis Kristian'. Ia adalah sebahagian agama mereka dan mengamalkan ajaran Islam adalah sebahagian syarat menjadi seorang Muslim.
Yusuf Islam (Cat Stevens) pula menulis: "Islam hari ini adalah fenomena yang paling disalah faham. Lebih malang masyarakat melihat kepada orang Islam (menjadi rujukan) bagi mengaitkan peristiwa yang berlaku di dunia sekarang dan beranggapan ia gambaran Islam.
"Sebenarnya ia bukan gambaran Islam. Ia gambaran umat Islam yang berperangai buruk. Inilah masalah yang membelenggu masyarakat Islam.
'Sudah pasti ada umat Islam yang baik tetapi ia jarang dilihat. Hanya yang buruk dan sensasi kerap dipertontonkan di televisyen dan media lain. Satu cara untuk menyelesaikan masalah ini ialah seseorang itu tidak melihat kepada cara hidup orang Islam tetapi kepada Islam itu sendiri.
"Adalah salah bagi seseorang itu untuk menghakimi sesebuah kereta itu 'sebagai tidak berguna' jika pemandu kereta itu mabuk dan merempuh tembok."
Bagi menangkis kejahilan atau kesombogan Barat dalam laporan mereka, seseorang Muslim itu memerlukan petunjuk Allah. Dan petunjuk itu ialah al-Quran. Amaran al-Quran mengenai perlara ini jelas sekali.
Sepotong ayat al-Quran ini dapat dijadikan panduan. Ia bermaksud: "Wahai orang beriman, apabila datang kepada kamu seorang fasik membawa berita hendaklah kami selidiki kebenarannya; supaya kamu tidak menimpakan sesuatu (kaum yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan." - Ayat 6, Surah Al-Hujurat.
Orang Islam dituduh pengganas; hakikatnya orang Islam diganasi. Mereka akan terus diperlekeh sehinggalah mereka kembali kepada al-Quran dan sunnah sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment