Terkejut saya tatkala membaca kisah/gaya hidup isteri seorang bekas ahli sukan negara tidak lama dulu. Paparan gaya hidup mewah penulis dan penerbit filem beragama Islam itu bukanlah sesuatu yang luar biasa tetapi apabila membaca secara mendalam laporan akhbar berbahasa Inggeris itu, saya ketemu pandangan memeranjatkan.
Antara lain si isteri itu ditulis sebagai berkata: "My grandmother (who lived in Kuala Kangsar) used to keep a lot of tempayan filled with water in the house," she says of her fascination for them.
"According to my grandma, the evil spirits are afraid of water. They will not dare to enter a house that has water-filled tempayan."
Si isteri itu masih percaya apa yang dicakap oleh neneknya malahan sekarang ini meletakkan sekeping cermin muka besar di bilik makan.
"My grandmothr also told me that evil spirits are afraid of their own reflections," she said. "Therefore, there will be no evil spirits dining with us," she adds with a smile.
Perkara syirik yang diluahkan kepada penulis bukan Islam dikhuatiri akan menyebabkan masyarakat bukan Islam tidak mendapat gambaran yang benar mengenai Islam.
Jika orang Islam masih percaya kepada perkara tahyul dan kemudian menyampaikan pandangan itu untuk dibaca oleh sebegitu ramai pembaca bukan Islam, akibatnya orang bukan Islam akan melihat Islam tidak jauh daripada apa yang mereka amalkan.
Hari ini padangan songsang sebegini terus menjadi pegangan sesetengah orang Melayu/Islam.
Berhubung perkara ini saya tertarik benar dengan pandangan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkifli Ahmad yang disampaikannya kepada kakitangan Harakah dalam program rehlah Bakkah di Port Dickson tidak lama dulu.
Menurut Dr Dzul menjadi kecenderungan sesetengah umat Islam untuk 'menebus dosa' dengan melakukan perkara kebajikan terutama pada akhir hayat mereka.
Katanya, dalam melakukan pekerjaan, misalnya, ada orang yang sedar dia melakukan penyelewengan atau tidak mengikut kehendak Islam, tetapi dia tetap melakukannya.
Orang berurus niaga secara riba, dia pun berurus niaga secara riba. Bintang Hollywood dan Bollywood dedah aurat, dia pun dedah aurat.
Kemudian untuk 'menebus dosa' dia akan berkenduri di rumah anak-anak yatim, menderma kepada masjid ataupun menunaikan umrah.
Kata Dr Dzul, dalam Islam tidak ada ajaran yang membolehkan kita 'bribe' (rasuah) Tuhan. Menjadi kewajipan setiap orang Islam untuk mematuhi syariat Allah sepanjang hayatnya dan tidak ada istilah menebus dosa dengan melakukan kebajikan.
Yang halal jelas halal, dan yang haram sudah jelas haramnya. Tidak boleh ditokok tambah dalam hal-hal begini.
Istilah 'menebus dosa' ini pada pandangan saya sama dengan satu lagi istilah cukup popular di kalangan orang kita.
'Nanti dan pencen, aku bertaubatlah' atau 'nanti dah pencen, aku sembahyanglah' atau 'nanti dah letak jawatan, aku banyak-banyakkan ibadat' atau 'dah pencen nanti aku sertai perjuangan tegakkan Islam'.
Kebanyakan orang tidak sedar masa mereka berkuasa dan berjawatan tinggi itulah masa terbaik untuk menegakkan hukum-hakam Islam.
Tetapi sebahagian besar daripada kita, apabila tidak berkuasa, tidak berpangkat barulah cakap berdegar-degar mengenai usaha untuk menegakkan Islam.
Sekalipun belum terlambat kerana pintu taubat sentiasa terbuka selagi hayat masih dikandung badan, alangkah baik usaha-usaha kebajikan dilakukan pada masa muda.
Ini sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Pergunakan lima perkara sebelum datang lima perkara. Hidupmu sebelum matimu, sihatmu sebelum sakitmu, lapangmu sebelum sibukmu, zaman mudamu sebelum tuamu, dan masa kayamu sebelum papamu." - Hadis riwayat Al-Baikahi daripada Ibnu Abbas.
Apabila tidak lagi berkuasa dan tenaga sudah kurang, tentulah kekuatan untuk menegakkan hukum-hakam Islam tidak sehebat semasa muda dan ketika puncak kerjaya.
Seorang ustaz yang sering saya ikuti kelas pengajiannya sering kali mengingat-ingatkan jemaah mengenai hadis ini.
Sebagai contohnya, beliau berkata seseorang itu apabila jatuh sakit barulah dia teringat untuk beribadat kepada Tuhan. Si pesakit itu mungkin mengeluh: "Ya, Allah, kau sembuhkanlah aku, nanti kalau aku sihat aku akan beribadat pada-Mu."
Tetapi, kata ustaz itu, sebaik saja sihat, orang yang sakit tadi tidak lagi ingat akan janji-janjinya.
Demikian juga seseorang yang ditimpa gelombang yang dahsyat di laut. Dia mungkin berkata: "Ya Allah, kau selamatkan aku. Kalau aku selamat nanti, aku akan mengabdikan diriku pada-Mu."
Tetapi, kata ustaz itu, sebaik-baik saja kakinya menjejaki pantai, orang tadi tidak pedulikan apa yang diikrarkannya tadi.
Demikian juga apabila diseru kepada seseorang Melayu generasi lama supaya bersama-sama beribadat, kata ustaz itu dia akan menjawab begini: "Allah saja yang tahu hati aku. Kau pergilah dulu."
Demikian betapa pemikiran sesetengah orang Melayu masih terbelenggu dalam anggapan bahawa agama itu hanya membabitkan soal-soal budaya.
Oleh itu tidak hairanlah dalam masyarakat kita, Islam itu ditekankan dalam soal-soal membabitkan kelahiran, perkahwinan dan kematian. Selain daripada itu, Islam ibarat dagang saja.
Dalam soal kelahiran, sibuklah seseorang bapa atau ibu mencari nama berciri Islam untuk anaknya dan kemudian apabila kanak-kanak itu meningkat usia, sibuk pula ibu bapa mahu mengkhatankannya.
Dalam soal perkahwinan, sibuklah waris mencari imam untuk menikahkan anak manakala bakal pengantin sibuk pula menghafaz bacaan tertentu kerana takut tidak dapat jawab soalan kadi ketika nikah nanti.
Kemudian dalam soal kematian, sibuk pula mencari orang berilmu untuk memandi, mengkafan, menyembahyang dan mengkebumikan jenazah. Sibuklah dengan kenduri, tahlil dan seumpamanya.
Selain tiga peristiwa ini, bagi sesetengah kita, Islam agak asing daripada kehidupan.
Kita sendiri sedar betapa ramai daripada kalangan kita yang tidak sembahyang, tidak berzakat, tidak berpuasa tetapi berhari raya. Ramai juga daripada kita yang gemar 'menikam ekor'.
Orang itu tidak jauh daripada kita, mereka mungkin diri kita sendiri, anak-anak kita, saudara-mara dan sahabat-handai kita sendiri.
Akuilah kita sendiri sebenarnya yang jahil dan banyak dosa! Kitalah sebenarnya Melayu yang tidak berubah itu! Sempena bulan Ramadan yang mulia, marilah kita sama-sama mengumpul pahala sebanyak mungkin untuk menampung dosa kita yang banyak itu.
1 comment:
Kepercayaan macam itu setahu saya kepercayaan orang cina. Nenek dia cina dan buddha agaknya, munasabahlah kalau percaya begitu. Cucunya ini Islam, sepatutnya kepercayaan itu hanya jadi bahan lucuan saja.
Post a Comment