Hanya pagar memisahkan bangunan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) itu dengan sebuah rumah penduduk kampung yang dijadikan markas sementara Umno untuk berceramah.
Malam itu sekali lagi penceramah Umno mengekori penceramah PAS dalam program 'taqarrub' (hampir)nya. Di mana ada ceramah PAS, di situ ada ceramah Umno. Ia dilangsungkan pada tarikh dan masa yang sama. Cuma tempatnya adalah sebelah-menyebelah.
Di tepi pagar Pasti itu, ada sebatang pohon kelapa tumbang. Di situlah saya 'bertenggek' mendengar ceramah kedua-dua pihak. PAS diwakili dua penceramah luar manakala Umno diwakili sekurang-kurangnya lima orang - daripada pemimpin negeri, majlis agama negeri, jabatan hal ehwal khas, ustaz dan ahli politik tempatan.
Sungguh terperanjat dan tersentuh hati saya mendengar penceramah-penceramah ini menyampaikan hujah mereka.
Tuduhan seperti penyeleweng akidah, anak cucu Dajal, pembohong, siang dia tidur malam dia keluar berceramah untuk membohongi rakyat, bangsat, dia peluk kafir, ini kafir sebenar, dialah kafir, penyangak, penyamun wang..., kau ulama dalam semak, tuhan kau ialah...'mencemari' malam itu.
Ada lagi kata-kata yang lebih teruk yang tidak tergamak untuk saya nyatakan di ruangan ini.
Di sini juga saya tidak akan menyatakan pihak mana yang mengeluarkan kata-kata ini. Untuk berlaku adil, pembaca yang mahu tahu pihak mana yang mengutarakan kata-kata ini, datanglah sendiri pada majlis-majlis ini untuk menghakiminya.
Mendengar lemparan tuduhan dan kata-kata kesat yang diselang-seli dengan ayat-ayat al-Quran membuatkan hati saya begitu sedih sekali. Apa sudah jadi dengan bangsaku, hati saya menjerit. Apakah tidak ada usaha untuk menyelamatkan bangsaku yang semakin parah ini?
Tanggal 9 Mac, jam 5.00 pagi saya berada di sebuah markas PAS, menyertai munajat orang ramai bagi mendoakan keselamatan umat Islam termasuk dalam isu sekolah agama rakyat. Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dijadualkan hadir pada majlis yang bermula jam 4.30 pagi itu. Kehadiran Ustaz Hadi dimaklumkan kepada orang ramai, antaranya dengan menampal maklumat berkenaan di pokok-pokok sepanjang jalan tempat berhampiran.
Selepas munajat, diadakan solat hajat dan selesai jemaah bersolat, Ustaz Hadi pun sampai. Selepas azan dan solat sunat, Ustaz Hadi pun mengimani solat Subuh.
Selepas itu, Ustaz Hadi menyampaikan kuliah subuh. Kuliah beliau berkenaan Hijrah. Antara lain Ustaz Hadi menjelaskan bahawa manusia itu kerap membuat kesilapan.
Katanya, manusia pertama iaitu Adam turut membuat kesilapan, tetapi dia cepat-cepat minta ampun. Tetapi lain halnya dengan Iblis. Iblis sedar dia juga membuat kesilapan tetapi dia enggan minta ampun pada Allah. Dia sombong dan takbur.
Jadi manusia yang enggan bertaubat selepas menyedari kesilapannya, dia menurutkan kehendak Iblis. Insan soleh adalah orang yang menyedari kesalahannya dan selalu bertaubat.
Kisah Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Ismail a.s. juga menunjukkan betapa manusia soleh patuh pada Tuhannya. Nabi Ibrahim a.s. patuh kepada Allah sekalipun perlu menyembelih anaknya.
Tetapi manusia hari ini enggan patuh kepada perintah Allah. Perintah Allah seperti hukum-hakam-Nya dibantah manusia. Jika perintah Allah supaya menutup aurat dibantah manusia, bagaimana mereka mahu menunaikan perintah yang lebih berat?
Kupasan Ustaz Hadi begitu terperinci, terpesona saya mendengarnya. Tanpa sedar, air mata hampir mengalir dan pada penghujung kuliah, saya sempat meneriakkan nama Tuan Guru dan mencium tangannya.
Selepas menyampaikan kuliah (kira-kira jam 7.00 pagi), Ustaz Hadi menyampaikan bantuan untuk pelajar dan kemudian merasmikan sebuah sekolah menengah agama rakyat di situ.
Esoknya, hebohlah dalam akhbar, pihak berkuasa bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas Ustaz Hadi kerana merasmikan sekolah itu tanpa kebenaran majlis agama.
Ada laporan membayangkan Ustaz Hadi 'orang bersalah dan mencuri-curi datang' kerana kononnya beliau merasmikan sekolah itu sebelum waktu subuh sedangkan menurut penulis berkenaan sekolah itu dijadual dirasmikan jam 9.00 pagi.
Ada penulis membayang Ustaz Hadi tidak jujur kerana 'bersembunyi-sembunyi' (sedangkan majlis mulai jam 4.30 pagi itu sudah dihebahkan) merasmikan sekolah itu, seterusnya membayangkan perjuangannya ada muslihat dan untuk kepentingan diri dan puaknya saja.
Namun ada satu perkara yang tidak nyatakan - majlis munajat, solat dan kuliah subuh itu gagal disaingi Umno yang mengadakan majlis 'taqarrub' dan ceramah Maal Hijrahnya pada jam 8.30 pagi hari yang sama dan di tempat yang 'hampir sama'.
Namun pada malam sebelumnya, Ustaz Hadi dan pemimpin Umno negeri berceramah pada masa yang sama di tempat 'yang hampir sama'.
Rakyat perlu bersikap terbuka dengan mendengar dan melihat gelagat serta perwatakan kedua-dua pihak dan kemudian bersedia untuk insaf dan berhijrah selepas menyedari pihak mana yang benar dan batil.
No comments:
Post a Comment