Kota Baghdad begitu mempesonakan. Sejak kecil lagi saya begitu berminat dengan kota yang terbabit dengan kisah 1,001 malam ini.
Hari ini Baghdad sekali lagi menjadi tumpuan. Pada 2003, selepas hampir sebulan diserang, tentera penceroboh Amerika Syarikat, Britain dan sekutu mereka dilaporkan berjaya menawan ibu kota Iraq dengan lima juta penduduk ini.
Kejatuhan Baghdad adalah detik hitam sejarah umat Islam, terutama orang Arab. Ini kerana buat pertama kalinya, sebuah ibu kota negara Arab diduduki 'penjajah' Amerika.
Dengan jatuhnya Baghdad, bermakna impian Israel untuk membentuk 'Israel Raya' di sebuah kawasan subur terbentang luas antara Laut Meditterranen dan Sungai Furat (Euphrates) dan Dajlah (Tigris) semakin menjadi kenyataan.
Ketika ini pun sudah ada ura-ura untuk membuka Kedutaan Israel di Baghdad. Perkara ini mudah diuruskan kerana Presiden (kini bekas) George W Bush yang kini bergelar 'Bush The Destroyer' menyamai Alexander The Great (Iskandar Zulkarnain) dan Hulagu Khan (anak cucu Genghiz Khan) yang semuanya memusnahkan tamadun besar di bumi Iraq.
Jika kemaraan anak cucu Genghiz Khan memusnahkan dunia Islam pada abad ke-13 dapat disekat oleh seorang pemerintah Mesir, siapakah agaknya yang dapat diharapkan untuk menyekat kemaraan 'Bush The Destroyer' selepas dia memusnahkan Afghanistan dan Iraq?
Jika anak cucu Genghiz Khan akhirnya memeluk Islam dan melahirkan dinasti agung seperti Moghul di India atau pemerintah Islam di Asia Tengah seperti Timurlane, apakah kesudahan nasib Bush dan anak cucunya (Amerika)?
Mungkinkah empayar Amerika akan tumbang seperti mana tumbangnya Soviet Union pada tahun 1991 dulu selepas melakukan pelbagai kezaliman ke atas umat Islam Soviet seperti orang Tartar, Chechen dan Tajik?
Penguasaan Amerika ke atas Afghanistan dan Iraq bukan bermakna 'sudah tamat kisah 1,001 malam'. Amerika dilaporkan akan meneruskan 'fantasi'nya, kali ini menghalakan 'mucung meriam'nya ke arah Syria dan Iran.
Tetapi satu hal yang perlu diingat oleh 'Bush The Destroyer' dan pewarisnya ialah hakikat bahawa Asia Barat bukanlah medan mudah bagi bala tenteranya.
Catatan sejarah membuktikan rantau ini sentiasa bergolak dengan kuasa bertukar tangan dengan cepat sekali.
Asia Barat adalah rantau yang paling banyak menyaksikan pergolakan dalam sejarah manusia. Kehancuran bala tentera Saddam Hussein yang dianggap kemenangan besar kepada Amerika dan sekutunya, hanyalah satu nota kecil dalam lipatan sejarah rantau itu yang sering dilanda peperangan sejak 5,000 tahun lalu.
Banyak empayar dan tamadun pernah bangun dan hancur. Penakluk dari Asia dan Eropah datang silih berganti untuk mengaut kekayaannya, yang mutakhirnya minyak.
Raja Nebukadnezar dari Babylon, bangsa Rom, Iskandar Zulkarnain, bangsa Mongol, Napoleon Bonaparte, bangsa Turki (Uthmaniyah) - semuanya pernah membasahkan padang pasir rantau itu dengan darah.
Timur Tengah menjadi medan pertempuran bagi kedua-dua Perang Dunia. Sejak 1945, hampir seluruh pelosok rantau itu terbabit dalam konflik: Israel, Mesir, Syria, Lubnan, Iraq, Iran, Cyprus, Sudan, Chad, Libya, padang pasir Sahara, Algeria, Yaman, Oman dan Jordan.
Peperangan besar juga berlaku pada setiap dekad, bersama-sama konflik sempadan yang terkira banyaknya, revolusi dan rampasan kuasa. Jika hal ini diambil kira, Bush dan pewarisnya sengaja menempah padah dalam usahanya melanjutkan kisah 1,001 malam!
No comments:
Post a Comment