Dulu penulis seorang perokok. Sekarang, alhamdulillah tidak lagi. Sudah tujuh tahun 'pencen'.
Ketika rakyat kecoh dengan isu pemberhentian kerja, kenaikan barang-barang dan perkhidmatan sekarang ini, penulis terpanggil untuk menulis mengenai bahana merokok dan faedah diperolehi jika tabiat itu dikikis.
Sebagai langkah menyahut seruan kerajaan untuk berjimat-cermat, rakyat boleh mengunjungi klinik kerajaan dan mengurangkan lawatan ke klinik swasta. Baru-baru ini penulis turut 'mengubah selera' untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik komuniti.
Sebenarnya sudah lama penulis tidak mengunjungi klinik kerajaan. Ini kerana pengalaman mengingatkan untuk mendapatkan perkhidmatan di situ memerlukan kesabaran tinggi - seseorang itu perlu menunggu untuk mendaftar, mendapatkan nombor giliran, berjumpa doktor dan mendapatkan ubat.
Penulis akur menjalani pemeriksaan di klinik komuniti (kerajaan) itu kerana kesakitan penulis agak serius. Berlainan daripada sangkaan, perkhidmatan di klinik kerajaan sekarang memuaskan dan penulis dapat menyelesaikan urusan dalam masa dua jam.
Selain layanan baik, penulis juga gembira kerana caj yang dikenakan hanya RM1.00! Seperti harapan rakyat kebanyakan, penulis berdoa agar kadar ini dapat diteruskan pada ketika orang ramai mengeluh dengan kenaikan harga barangan, sekali gus membawa kepada peningkatkan kos sara hidup.
Ketika kunjungan itu, penulis sempat 'meronda-ronda' dan membaca poster di papan kenyataan bagi mengisi masa menunggu.
Poster-poster kempen anti merokok menarik perhatian penulis. Sebuah poster menyatakan: "Seorang perokok selama 20 tahun, jika menghisap 20 batang sehari, telah membelanjakan tidak kurang AS$10,000 (kira-kira RM38,000) untuk menampung tabiatnya selama itu."
Sambil membaca fakta-fakta lain dalam poster itu, penulis rasakan 'pendedahan' itu seolah-olah 'menyindir' diri sendiri - kerana penulis juga telah menghisap rokok selama 20 tahun sehinggalah berusia 40 tahun, tujuh tahun lalu.
Penulis berhenti merokok kerana 'terpaksa' selepas mengalami batuk dan demam dan sakit kepala teruk, beberapa bulan sebelum menunaikan haji pada tahun 2002.
Di Tanah Suci, hidup penulis 'bebas rokok' selama lebih sebulan, dan alhamdulillah, selepas kembali ke tanah air, berjaya pula melepaskan diri daripada 'cengkaman tabiat buruk' itu sampai sekarang.
Kini, ketika 'menghadap' poster itu, ia seolah-olah 'menelanjangi' diri sendiri akibat daripada amalan tidak baik dulu. Antara lain tertulis: "Terdapat lebih 4,000 bahan kimia dalam rokok. Ia memberi kesan kepada anggota tubuh, antaranya, rambut, otak, kulit dan gigi.
Kesan pada rambut, ia cepat beruban, kesan pada otak boleh menyebabkan angin ahmar, kesan pada kulit ia cepat berkedut dan gigi pula akan menjadi kuning dan busuk.
Waduh, waduh, penulis menjadi takut dan tidak meneruskan pembacaan mengenai kesan merokok ke atas jantung, perut dan organ penting lain tetapi melirik kepada satu lagi poster yang menyatakan terdapat lapan jenis racun dalam asap rokok.
Racun itu adalah aceton (digunakan sebagai penanggal cat), toluidine (pelarut industri), ammonia (pencuci lantai), methanol (bahan api roket), naphthalene (ubat gegat), DDT (ubat pembunuh serangga), butane (minyak pemetik api) dan hydrogen cyanide (gas yang digunakan untuk hukuman bunuh).
Waduh, waduh, waduh, penulis menjadi seram sejuk, lantas melirik ke arah sebuah lagi poster yang menyatakan bahawa merokok itu hukumnya HARAM.
Antara lain poster itu memetik maksud ayat al-Quran dan diberi keterangan di bawahnya. Maksud ayat 195 surah Al-Baqarah berbunyi: "Dan belanjalah pada jalan Allah, dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah, sesungguhnya Allah sangat suka kepada mereka yang melakukan kebaikan."
Keterangan di bawahnya berbunyi: "Kajian saintifik di seluruh dunia membuktikan bahawa merokok menyebabkan sekurang-kurangnya 25 jenis penyakit yang teruk yang boleh membawa maut. Asap rokok juga boleh mendatangkan kesan buruk kepada ahli keluarga, terutamanya kanak-kanak."
Kemudian dipetik lagi ayat al-Quran yang bermaksud: "Dan berilah jiran kamu haknya dan orang miskin dan orang yang berjuang di jalan Allah, dan janganlah kamu melakukan pembaziran. Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan." (Al-Isra' 26-27).
Satu lagi petikan ayat al-Quran disertakan. Maksudnya; "Mereka menyuruh dengan kebaikan dan menegah daripada kemungkaran, dan Dia (Allah) telah menghalalkan bagi kamu segala yang baik-baik dan mengharamkan ke atas kamu segala yang jijik dan kotor." (Al-A'araf: 157).
Ketika penulis sibuk membaca dan menyalin fakta poster berkenaan, seorang lelaki Tionghua menegur dan bertanya sama ada penulis seorang guru. Katanya, dia sudah lama memerhatikan gelagat penulis dan percaya penulis menyalin fakta berkenaan untuk disampaikan kepada anak-anak murid.
C K Loh, seorang pengusaha tadika dan pusat tuisyen berpendapat bahan-bahan berkenaan amat sesuai untuk disampaikan kepada pelajar sekolah bagi mencegah mereka daripada tabiat buruk itu.
Apabila penulis memberitahunya saya seorang penulis yang dapat menyampaikan mesej kepada khalayak lebih besar, dia kelihatan begitu tertarik dan menyanjung usaha berkenaan.
Katanya, sebagai guru dia mempunyai cara dan kaedah untuk menyampaikan sesuatu maklumat itu kepada pelajar-pelajarnya. Mungkin ada persamaan antara tugas seorang guru dan seorang penulis - kedua-duanya mendidik manusia tetapi melalui cara masing-masing.
Ketika pulang dari klinik, penulis teringat beberapa artikel mengenai kaedah berhenti merokok. Antaranya seseorang perokok itu perlu mempunyai keazaman kuat.
Bagi orang Islam mereka wajar merenung-renung mengapa mereka boleh tidak merokok sepanjang waktu berpuasa pada bulan Ramadan dan ketika menunaikan ibadat haji, ramai perokok boleh menahan keinginan itu di Tanah Suci.
Beberapa teman haji penulis di Tanah Suci berjaya mengawal tabiat itu. Kebanyakannya berazam untuk terus tidak merokok sekembali ke tanah air. Penulis berpendapat, adalah wajar untuk seseorang bergelar haji bebas daripada cengkaman rokok.
Selain menjaga kesihatan diri, seseorang insan bergelar haji itu akan menjadi contoh dan ikutan kaum kerabat serta anggota masyarakat.
Kepada rakyat umum, sedarilah betapa besar faedah untuk anda berhenti merokok mulai sekarang. Mungkin dengan langkah itu, siapa tahu 20 tahun lagi anda mampu membeli sebuah banglo hasil daripada penjimatan anda tidak merokok selama tempoh itu!
1 comment:
Kenapa ya? Rokok tidak termasuk dalam barangan boikot mengutuk israel? Agaknya penganjur boikot inipun merokok. Pada saya rokok adalah produk paling ampuh yang dimiliki yahudi? untuk mengaut untung dan melemahkan umat Islam.
Post a Comment