Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Salam dan salawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Bersyukur ke hadrat-Nya kita dapat menyambut ulang tahun keputeraan baginda pada 12 Rabiulawal bersamaan 9 Mac lalu.
Berdasarkan tahun demi tahun kita menyambut Maulidur Rasul, kita mengambil kesempatan mengingatkan diri kita dan sekalian Muslimin bahawa umat semakin lama semakin jauh daripada penghayatan dan pengamalan Islam; yang terbaik adalah pada ketika zaman Nabi, diikuti sahabat, tabiin dan kemudian tabik tabiin sehinggalah ke sekarang ini.
Hari ini kita menyambut keputeraan baginda Rasul s.a.w. yang tidak disuruh pun oleh baginda, tetapi dari banyak segi kita tidak mengamalkan perintahnya. Ertinya kita tidak menjadikan baginda sebagai suri teladan, sebaliknya bertindak berdasarkan hawa nafsu termasuk memuaskan kehendak sang penguasa.
Sebagai contoh, pihak berkuasa tidak menangani Perhimpunan 100,000 Rakyat Membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada 7 Mac lalu (dua hari menjelang sambutan Maulidur Rasul) berpandukan sirah Rasulullah s.a.w. Pembantaian (semburan gas pemedih mata dan air berkimia), dilakukan dengan sewenang-wenangnya ke atas orang awam, amat berlawanan sekali jika kita rujuk pendekatan Rasulullah s.a.w. dalam peristiwa pembukaan kota Makkah.
Pada malam sebelum pembukaan kota suci ini, ketua Qurasiy Makkah, Abu Suffian dibawa berjumpa Nabi dan diberi layanan paling baik dan pada keesokannya apabila ratusan ribu umat Islam memasuki kota Makkah, Nabi s.a.w. antara lain memberi penghargaan tertinggi kepada Abu Sufian dengan memberitahu orang ramai bahawa sesiapa yang berlindung di rumah Abu Sufian akan selamat selain mereka yang memasuki Masjidilharam.
Demikianlah betapa penghargaan seorang ketua (Rasulullah s.a.w.) kepada seorang ketua (Abu Sufian) sehingga akhirnya Abu Sufian dan isterinya Hindon (pembedah dada dan pemakan jantung Sayidina Hamzah dalam Perang Uhud) akhirnya memeluk Islam. Pertentangan antara ratusan ribu pengikut Nabi Muhammad s.a.w. dan orang Quraisy Makkah dapat ditangani dengan indah dan secara bijaksana tanpa menumpahkan sedikit darah pun tetapi apa yang dapat dikatakan tindakan tidak berperikemanusiaan pasukan FRU yang dikerah sang penguasa ke atas orang awam yang membantah PPSMI semata-mata kerana sayangkan bahasa mereka dan generasi akan datang.
Demikianlah apabila ajaran Rasul diambil sebahagian manakala sebahagian lagi dicampakkan, akan lahirlah masyarakat tempang. Ambil contoh anggota FRU yang melepaskan tembakan gas pemedih mata ke atas orang awam. Tidakkah mereka tahu melalui hukum qisas, setiap apa yang mereka lakukan akan mendapat balasan yang sama. Jika seseorang itu buta akibat ditembak gas pemedih mata, penembak juga akan menjalani hukuman dibutakan mata. Jika seseorang itu terbunuh, orang yang membunuh juga dihukum bunuh.
Tetapi apabila hukum-hakam Islam (hudud, qisas dan takzir) dipandang lekeh malah dipermain-mainkan oleh parti sang penguasa, maka masyarakat semakin kronik dari sehari ke sehari. Istilah hukum hudud, qisas dan takzir hanya dibicarakan oleh golongan cendekiawan di universiti dan ustaz di sesetengah masjid tetapi tidak diamalkan dalam masyarakat. Hukum-hakam ini hanya tercatat dalam buku-buku teks dan kitab tetapi tidak mendapat tempat di mahkamah-mahkamah kita.
Apabila hukum Allah yang dijanjikan-Nya ada kehidupan dalamnya (barakah) ditolak umat yang mengaku Islam, kehidupan masyarakat makin parah. Jenayah semakin membarah, hampir setiap hari berlaku pembunuhan, perompakan, rogol dan sebagainya. Perzinaan, minum arak, perjudian, rasuah semakin menjadi-jadi; manusia bukan saja tidak takut kepada Allah SWT yang tidak dilihatnya tetapi tidak rasa apa-apa melakukan jenayah dan maksiat di tempat awam.
Sehubungan itu, sempena bulan Maulud, marilah kita bersama-sama mengkoreksi diri, agar perbuatan kita sejajar kehendak Allah dan Rasul-Nya dan kepada-Nya kita berserah diri agar semua termasuk pemimpin kita diberi taufik dan hidayah-Nya. Amin.
No comments:
Post a Comment