Seorang guru saya semasa bersekolah dulu amat marah jika pelajar memulakan karangan dengan menulis: 'Memang tidak dapat dinafikan...' atau 'Sebagaimana yang kita ketahui...'.
Katanya, apa yang kita mahu nafikan atau apa yang sudah kita ketahui sedangkan kita belum pun memulakan perbincangan melalui karangan kita itu.
Hari ini selepas hampir 30 tahun menerima teguran itu, ungkapan dan slogan yang hampir sama kerap kita lihat dan dengar. Misalnya, 'Hanya Umno yang mampu...', 'Hanya PAS yang boleh...' atau pun 'Umno, dulu, kini dan selamanya'.
Bagi orang yang berfikir, ungkapan dan slogan ini amat membosankan kerana tidak dapat mencerminkan diri kita sebagai insan yang berubah-ubah.
Ambil contoh ungkapan "Umno, dulu, kini dan selamanya. Kita mungkin boleh mentafsirkannya begini - dulu seseorang itu mungkin ahli Umno, sekarang dia ahli Umno juga tetapi mustahil dia boleh jadi ahli Umno selama-lamanya. Sebagai makhluk baru, dia sudah pasti akan rosak (mati), sekali gus tidak memungkinkan dia atau Umno hidup selama-lamanya. Jadi ungkapan ini, jika difikirkan secara mendalam adalah 'cakap-cakap saja yang tidak dapat diterima oleh akal yang waras'.
Saya bawakan contoh ini bagi membincangkan isu amat serius iaitu berkaitan sekolah agama rakyat (SAR). Di sini kita dapat lihat bagaimana akibat 'cakap-cakap yang tidak bersandarkan fikiran mendalam' menyebabkan sebuah institusi yang amat penting kepada ummah menuju zaman kegelapan.
Amat dikhuatiri jika institusi ini malap, nasib ummah juga akan kelam.
Jika kita membaca akhbar berhubung isu ini secara sepintas lalu, kita akan menyimpulkan yang menjadi sasaran ialah semua sekolah agama rakyat.
Termasuklah dalam kategori ini sekolah agama swasta dan sekolah agama kerajaan negeri. Semuanya 'ditangkap borong' sebagai sekolah agama rakyat. Malah ada yang berpendapat SAR ini merangkumi semua sekolah agama.
Tuduhan yang keterlaluan kepada SAR sekali gus menyebabkan semua sekolah agama terjejas. Jika orang Islam sendiri tidak faham apa yang sedang berlaku, dikhuatiri orang bukan Islam lagi tidak faham. Tuduhan kononnya pelajar SAR terbabit dalam kegiatan militan dan sebagainya menyebabkan keyakinan masyarakat kepada insan berpendidikan agama semakin terhakis.
Apabila mengikuti perkembangan isu ini secara lebih teliti barulah saya tahu bahawa ada SAR yang akan ditutup dan ada SAR yang tidak akan ditutup. (Tutup di sini bukan bermaksud tutup dalam erti kata sebenar tetapi menghentikan bantuan perkapita, mendesak murid dan guru ke sekolah kebangsaan dan pelbagai ugutan lain).
Saya mendengar seorang pemimpin negeri berkata SAR di negerinya tidak akan ditutup tetapi SAR yang akan ditutup ialah yang ada di Kelantan dan Terengganu.
Bagaimanapun tegasnya, bukan semua SAR di negerinya akan dibenarkan beroperasi. SAR kerajaan negeri akan diteruskan seperti biasa, tetapi yang akan ditutup ialah SAR PAS.
Pemimpin itu berkata, 'masa dia kecil dulu' dia pun belajar di SAR. Belajar fardu ain dan baca al-Quran di SAR. Katanya, pagi dia ke sekolah biasa, tetapi pada sebelah petang pergi SAR. Ini bermakna dia sendiri mengakui kebaikan SAR.
Berdasarkan pengakuan pemimpin itu dalam isu SAR ini, dapat disimpulkan bahawa yang mahu ditutup ialah SAR PAS dan bukan SAR lain. Persoalannya di sini kenapa pihak berkenaan tidak mahu cakapkan perkara ini secara terus terang sejak awal-awal lagi?
Akibat tidak mahu berterus terang, banyak pihak yang tidak terbabit 'menjadi susah'.
Ringkasnya mereka teraniaya. Saya difahamkan ada beberapa sekolah agama persendirian yang yang sudah 'establish' juga terheret sama dalam isu ini. Apakah dosa mereka sehingga menerima nasib sedemikian rupa? Hakikatnya, sekolah-sekolah ini langsung tiada kaitan dengan mana-mana parti politik.
Penutupan sekolah-sekolah ini pada masa rakyat dahagakan ilmu agama amat mengharukan. Suara-suara hiba rakyat berhubung isu terus berkumandang, malangnya dipandang sebelah mata.
Misalnya, suatu hari ketika menonton rancangan 'Bicara Islam' TV1 tidak lama dulu, saya dapat mendengar rintihan seorang rakyat yang membuat panggilan dan berkata lebih kurang begini: "Kita tahu akhlak anak-anak kita sekarang ini amat teruk. Kita pula sibuk, tidak ada masa untuk mengajar anak-anak kita. Sekolah agama rakyatlah menjadi harapan kita untuk mengajar anak-anak kita fardu ain dan mengaji. Jadi mengapa pula sekolah ini mahu ditutup?"
Demikianlah betapa rakyat semakin tertekan dengan ungkapan-ungkapan yang tidak jelas sebaliknya 'membelit' mereka. Semakin lama 'belitan' itu semakin kukuh sehingga menjadi 'jerutan' pula.
Keadaan ini menyebabkan rakyat tidak dapat berfikir lagi dan selepas diasak beribu-ribu kali, menerima ungkapan 'tidak masuk akal' seperti 'Umno, dulu, kini dan selamanya' atau 'Kutunggumu di pintu syurga!' (berdasarkan sebuah lagu nyanyian Alleycats).
No comments:
Post a Comment