Biasanya setiap pagi saya membeli akhbar di gerai Ah Soo (gelaran seakan-akan makcik atau auntie). Saya suka membelinya di sini kerana cara Ah Soo melayan saya seolah-olah saya 'bos'.
Dia akan berkejar mendapatkan saya, segera memberikan akhbar yang saya mahu dan tidak lupa mengucapkan 'THANK YOU BOSS'.
Namun demikian sepanjang dua minggu menjelang Tahun Baru Cina, Ah Soo mungkin tertanya-tanya mengapa saya tidak lagi datang ke gerainya. Dia tidak melakukan apa-apa kesalahan tetapi ada satu perkara yang kurang menyenangkan saya berlaku dekat gerai Ah Soo.
Menjelang Tahun Baru, gerai-gerai menjual pelbagai barangan untuk sambutan itu tumbuh macam cendawan selepas hujan. Antaranya menjual daging salai. Saya tidak tahu daging apa yang disalai di tempat terbuka itu, tetapi ada yang berkata daging babi.
Bau dan asap daging salai tersebar jauh. Disebabkan gerai-gerai ini terletak betul-betul di tepi jalan, asapnya mengenai orang yang lalu-lalang, terutama pejalan kaki dan penunggang motosikal.
Kewujudan gerai inilah yang mematikan semangat saya untuk ke gerai Ah Soo. Saya mungkin menyanjungi Ah Soo sebagai seorang peniaga yang bijak (yang pandai menambat hati pelanggan) tetapi saya tidak 'merelakan' baju saya melekat dengan bau dan asap daging salai dari gerai berhampiran .
Saya tidak tahu pendekatan pihak berkuasa tempatan dalam isu ini tetapi saya bawakan kisah ini untuk menunjukkan bahawa toleransi sebenarnya membabitkan semua pihak, tidak kira orang Melayu-Islam, Cina, India, Iban, Kadazan dan sebagainya.
Sebagai sebuah negara yang berusia hampir setengah abad, masyarakat Malaysia sewajarnya sudah memahami budaya dan agama sesuatu kaum itu bagi membolehkan mereka saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Namun akhir-akhir ini (sejak Peristiwa 11 September 2001), telunjuk dihalakan kepada orang Melayu-Islam yang dikatakan semakin tidak bertoleransi berbanding kaum-kaum lain.
Seorang pengarang kanan sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris dalam kolum mingguannya menulis bahawa toleransi orang Melayu-Islam semakin terhakis.
Sebagai contoh berdasarkan pengalaman peribadinya beliau berkata semakin kurang perempuan Melayu-Islam yang sedia bersalaman dengannya.
Beliau juga memetik beberapa laporan lain bagi menunjukkan kononnya semakin ramai orang Melayu-Islam mempunyai fahaman sempit perkauman yang akhirnya akan memusnahkan masa depan masyarakat dan negara.
Antara laporan itu: Seorang ustazah menasihatkan anak muridnya tidak menghantar kad ucap selamat perayaan yang disambut oleh orang bukan Islam, seorang pelajar mendakwa guru kelab catur mengarahkan dia membuang 'tanda salib' di kepala raja catur dan seorang budak perempuan berkata seorang ustazah mengarahkan dia berhenti bermain-main dengan anak patung Barbie kerana sebutannya seakan-akan 'babi'.
Pengarang berkenaan begitu ghairah menulis demikian selepas membaca tulisan/pandangan seorang penganalisis politik, sebagai berkata: "I find the Malay community not as open as it used to be and that there is greater intolerance among Malays." (Saya dapati masyarakat Melayu tidak lagi terbuka seperti diamalkannya dan di kalangan orang Melayu sikap toleransinya semakin terhakis).
Apabila membaca dakwaan kononnya orang Melayu-Islam menjadi semakin tidak bertoleransi saya menjadi begitu terperanjat dan sedih sekali. Sepanjang hampir separuh abad tahun usia saya, berdasarkan pengalaman dan apa yang dilihat di bumi Malaysia tercinta ini, sikap toleransi orang Melayu-Islam adalah amat tinggi sekali.
Saya dibesarkan di sebuah kampung yang hampir 90 peratus penduduknya (tahun 1960-an dulu) adalah orang Melayu. Di kampung kami ada sebuah kedai Cina. Di sinilah orang kampung membeli barang-barang runcit, secara hutang atau tunai. Pendeknya, pekedai Cina boleh hidup aman sentosa dalam sebuah kampung pedalaman yang penduduknya hampir semuanya orang Melayu.
Demikian juga ada penjual ikan Cina yang bergerak dengan vannya serata ceruk kampung. Tiada orang mempersoalkan sama ada dia Cina atau bukan. Mereka tetap membeli ikan yang dijajanya.
Seorang penjahit Cina juga menjadi tumpuan orang Melayu kampung. Menjelang Aidilfitri, berbondong-bondonglah orang kampung mengupahnya membuat baju Melayu, baju kurung, kebaya dan sebagainya. Tidak ada penduduk yang mengganggunya semata-mata kerana dia orang Cina.
Kemudian apabila melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah yang 100 peratus pelajarnya orang Melayu-Islam, kami dapati separuh daripada guru-guru kami adalah bukan Melayu.
Guru Cina, India dan sebagainya mengajar kami bersungguh-sungguh, malah ada yang kerajinan dan kesungguhannya melebihi guru-guru Melayu-Islam.
Di sinilah kami belajar menghormati mereka. Ada yang memanggil mereka SIR, MASTER, UNCLE dan sebagainya. Ada antara mereka yang sama-sama makan dengan kami ketika 'lunch' atau 'dinner'. Malah ada yang memeriksa bilik tidur, kelas dan tandas kami!
Saya teringat jika ada perayaan, ada antara mereka menjemput kami ke rumah mereka. Di rumah guru Cina, biasalah mereka mereka akan jamu kami dengan limau, kacang Menglembu dan air botol. Mereka tahu makanan lain yang ada di rumah mereka, tidak halal dimakan. Ertinya mereka amat menghormati cara hidup orang Islam. Inilah salah satu aspek toleransi itu.
Kemudian semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri, satu perkara yang saya saksikan saban tahun bagaimana bapa saya melayan tetamu-tetamu Cinanya. Tetamu ini mahu menikmati ketupat dan kuih-muih Melayu yang lain.
Disebabkan kebanyakan orang Cina tidak makan daging lembu, bapa saya akan bersusah payah memastikan tetamu Cinanya dihidangkan rendang ayam. Kalau tetamu Cinanya, 'mengidam' rendang ayam kampung, bapa saya akan pastikan mereka tidak hampa.
Demikianlah betapa 'bertoleransi'nya orang Melayu-Islam terhadap kaum-kaum lain. Sehingga saya diberitahu, ada surau dan masjid yang sengaja 'merendahkan' bacaan al-Quran dan azan solat subuh semata-mata bagi menghormati orang bukan Islam.
Ada pula orang Melayu bercakap 'gaya Cina' apabila bercakap dengan orang Cina, dan bercakap 'gaya India' apabila bercakap dengan orang India. Demikian betapa 'fleksibel'nya orang Melayu.
Tetapi hari ini mengapa kebanyakan dakwaan tidak bertoleransi itu dilemparkan kepada orang Melayu-Islam. Dan orang Islam seperti penganalisis bukan saja membenarkannya tetapi mendahului orang lain dalam menyatakan pandangannya yang bersifat perkauman itu.
Hari ini sudah terlalu banyak fitnah tersebar di kalangan masyarakat (termasuk laporan akhbar kononnya ada ustazah desak anak murid jangan hantar kad perayaan kepada orang bukan Islam) menyebabkan sebahagian orang Islam dan bukan Islam tidak mendapat gambaran sebenar apa yang sedang berlaku bukan saja di tanah air kita tetapi di seluruh dunia.
Istilah-istilah dahsyat terhadap orang Islam seperti militan, pengganas, ekstremis dan pelampau sudah digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa sekali gus menyebabkan orang Melayu-Islam di tanah air tertuding sama.
Benarkah semakin ramai orang Melayu-Islam memenuhi istilah yang disebut sehingga mereka semakin tidak bertoleransi seperti didakwa?
Atau orang Melayu 'yang pelembut' itu semakin lama semakin 'panjang rajuk'nya sehingga membawa diri lebih jauh ke pedalaman.
Buktinya semakin banyak kawasan yang dulunya didiami orang Melayu, sudah tergadai ditelan arus pembangunan atau digadaikan segelintir Melayu yang rakus membolot harta dan kuasa tetapi mereka pula menuduh orang Melayu-Islam lain sebagai semakin tidak bertoleransi.
Demikian juga dengan tindakan 'menutup' sekolah agama rakyat (SAR), menghina agama dan sebagainya. Jadi siapa yang sebenarnya yang semakin tidak bertoleransi?
1 comment:
good old days.. but now we are facing the new generation of non-malay which born and grown-up in this lucky land, and been pissed-off when a malay telling them that they origin are not this land..
too many hatred, as everybody is protecting their own interest..
Post a Comment