Tuesday, February 3, 2009

Ilmu tanpa amal umpama pokok tanpa buah

Tanpa dirancang, saya 'tertengok' drama bertajuk 'Hidayah' di TV3 tidak lama dulu. Kisahnya mengenai keperitan hidup seorang gadis Cina memeluk Islam dan kemudian berkahwin dengan seorang pemuda Melayu.

Apa yang hendak diutarakan di sini ialah kelemahan (mungkin tidak disedari) oleh penulis skrip atau pengarah yang terlepas pandang perkara-perkara yang boleh menjejaskan akidah seseorang pelakon.

Misalnya dalam adegan ibu pemuda Melayu menentang anaknya yang mahu mengahwini gadis Cina itu, beliau antara lain berkata: "Apa aku peduli, dia masuk Islam ke, cium Islam ke..." manakala dalam satu dialog ketika si ibu mengatur rancangan untuk menggagalkan ikatan perkahwinan si anak, dia berkata: "Aku jamin besok semua beres."

Perkataan 'jamin' menunjukkan kejahilan wanita itu, kerana tiada siapa yang dapat menjamin apa yang berlaku esok, hatta sesaat, seminit atau sejam selepas ini.

Mungkinkah penulis skrip sengaja mahu menunjukkan kejahilan watak atau mungkinkah beliau tidak sedar dialog yang direkanya, boleh memberi kesan amat negatif kepada penonton?

Kekhuatiran kita adalah berpaksi kepada pengakuan seorang artis yang ditangkap dalam serbuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ke atas sebuah pub di Jalan Ampang tidak lama dulu.

Antara lain beliau dilaporkan sebagai berkata: "Itu dosa saya dengan Tuhan bukan dengan Jawi." Kes serbuan Jawi ini mendapat reaksi panas daripada orang Islam dan bukan Islam yang sebahagian besar daripada mereka bercakap dan menulis berdasarkan logik akal.

Kita tidak terperanjat dengan pendapat orang bukan Islam yang disiarkan dalam ruangan surat pembaca akhbar bahasa Inggeris dan akhbar 'online' tetapi kita tersangat sedih dengan pandangan orang Islam mengenai agama mereka sendiri.

Apabila seseorang Islam itu mengemukakan pendapatnya dengan memulakan ayat seperti: "As a Muslim" (Sebagai seorang Islam) beliau telah 'mengheret' bersamanya nama baik Islam, tetapi apabila dalam kupasan selanjutnya, beliau menghentam Islam, ia seolah-olah mendedahkan kedangkalan beliau terhadap Islam itu sendiri.

Mengaku seorang Muslim perlu kepada pembuktian. Mengucapkan sesuatu di bibir adalah mudah, tetapi untuk merasakan kemanisannya di hati amatlah payah.

Semuanya memerlukan ilmu, tanpa ilmu segala-galanya tertolak. Dan jika sudah memiliki sedikit sebanyak ilmu, ia perlu diamalkan. Ini kerana ilmu tanpa amal, adalah ibarat pokok rendang yang tidak berbuah.

Menjadi kewajipan orang berilmu untuk membimbing mereka yang tidak berilmu. Menjadi kewajipan pula bagi yang tidak berilmu untuk mencari ilmu, tidak kira di mana saja, hatta ke negara China. Juga menjadi kewajipan orang yang tahu, memberitahu orang yang tidak tahu.

Dalam kes pertama tadi, adalah penting untuk karyawan (penulis skrip, pengarah filem dan sebagainya) memiliki kefahaman agama. Jika kefahamanan agama sudah ada, sudah tentu golongan ini akan tahu batas halal haram dan takut untuk melakukan apa-apa yang bertentangan dengan kehendak Yang Maha Kuasa.

Selain karyawan filem, golongan lain juga mempunyai tanggungjawab masing-masing. Golongan penulis dan wartawan, berperanan untuk menyatakan kebenaran dan tidak menyorokkan perkara batil.

Dalam kes terbaru membabitkan jabatan agama yang menunjukkan betapa Islam dan umatnya semakin dimomokkan, adalah menjadi tanggungjawab penulis Islam untuk menangkis serangan menggila terhadap agama suci ini.

Jika penulis yang mempunyai kefahaman Islam tidak 'terjun ke gelanggang' menjelaskan fitnah beracun yang dilemparkan, amat malang sekali kerana hampir tiada lagi pihak yang berani menegakkan kebenaran.

Kepada tok-tok guru, ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah, marilah kita bersama-sama 'turun gelanggang', menyatakan mana yang hak dan mana yang batil.

Selain daripada di mimbar-mimbar masjid, marilah sama-sama kita turun gelanggang, menggunakan ilmu yang ada bagi menegakkan yang makruf dan menentang kemungkaran.

Sesetengah pengkritik berkata, ucapan berapi-api di masjid hanya didengari oleh orang yang sudah dekat hatinya dengan rumah Allah itu, sedangkan di luar sana (mungkin di pusat dangdut, kelab malam, pub dan 'sewaktu dengannya'), insan yang leka itu perlu dikembalikan hatinya untuk mengenal Allah.

Seorang pendakwah yang membuka gelanggang di lorong belakang mati Chow Kit (melarang anak-anak muda daripada melanggani pelacur), insya-Allah akan lebih berkesan dakwahnya daripada seorang ustaz yang bercakap berapi-api di masjid yang dingin ber'air-cond'.

Dengan beramal demikian, insya-Allah ilmu yang dimiliki sudah digunakan pada jalan yang diredai-Nya, sekali gus tidak tergolong dalam 'pokok rendang (rimbun) tanpa buah'.

2 comments:

Anonymous said...

Dakwah perlu dilakukan dengan lebih sistematik & berkesan. Dengan cara ceramah di masjid, agak kurang berkesan. Mungkin cara tabligh perlu di gunakan, tapi diperbaiki dahulu.
View Profile: Rantong

smallprincess said...

tahniah buat lanh14..setiap muslim perlu peka dan bersensitiviti..yang penting, kita buat apa yang di ucap..