Mereka bukan atlet negara ini. Mereka pun bukan pemenang sebarang pingat dalam Sukan Olimpik. Tetapi wanita-wanita ini mendapat liputan besar-besaran dalam akhbar arus perdana negara ini, termasuk akhbar harian berbahasa Melayu. Gambar-gambar mereka terpampang besar dalam akhbar.
Sebabnya? Ini adalah kerana ahli sukan ini seperti pemain bola tampar pantai dari beberapa negara Barat, hanya memakai coli dan seluar dalam sehingga ada yang ternampak alur bontotnya. Gimnasnya pula hebat dengan aksi 'kangkang dan terkoyak'nya.
Nampaknya gambar-gambar inilah yang gemar 'dimainkan' dan selalu ditonjolkan oleh karyawan meja sukan (editor sukan dan pembantu-pembantunya) yang saya percaya kebanyakannya beragama Islam. Ertinya, nilai gambar itu bukan kerana atletnya dapat emas, perak atau gangsa, tetapi keberanian mereka dedah alur bontot atau lipatan punggung atau besar kangkangannya!
Kita berasa amat hairan sekali kerana karyawan meja sukan ini tidak langsung mempunyai rasa sensitiviti terhadap agama. Kita tertanya-tanya sama ada karyawan ini solat atau tidak. Jika mereka menunaikan solat dalam erti kata sebenar-benarnya, tentu hati mereka akan berontak. Mereka akan lawan habis-habisan jika pihak yang lebih berkuasa mahukan gambar itu disiarkan.
Dengan tersiarnya gambar-gambar tidak senonoh ini berulang kali, apakah ia bermakna kebanyakan karyawan (pekerja) dalam media massa termasuk persuratkhabaran sebenarnya sudah mati cahaya keIslaman mereka? Apakah mereka tidak peduli akan perasaan pembaca? Mungkinkah yang penting bagi mereka asal surat khabar laris sudahlah, lebih banyak surat khabar laku, lebih besar peluang mereka untuk mendapatkan bonus besar pada hujung tahun.
Hal yang sama juga berlaku karyawan akhbar di meja lain terutama hiburan dan wanita. Mereka tidak takut untuk menyiarkan gambar-gambar artis dengan pakaian keterlaluan. Mereka tidak ada rasa malu langsung menyiarkan gambar artis wanita Melayu/Islam yang sengaja menunjukkan alur payu dara, menayangkan paha gebu atau yang lebih daripada itu. Gambar wanita sengaja dibesarkan sehingga kadang-kadang muat semuka akhbar bersaiz besar (broadsheet).
Di sini penulis hanya memperkatakan senario yang berlaku kepada akhbar harian arus perdana kerana akhbar ini dilanggani dan dibaca oleh hampir setiap lapisan dan peringkat umur masyarakat - daripada kanak-kanak sampailah golongan veteran.
Penulis tidak akan membincangkan akhbar tabloid mingguan dan majalah picisan kerana senarionya lagi teruk dengan pihak penerbit, pengarang dan penulis seolah-olah tidak peduli bahan disiarkan - daripada gambar separuh lucah kepada cerita tahyul dan 'rencana agama' menyesatkan semata-mata untuk melariskan jualan dan mengaut keuntungan.
Berbalik kepada akhbar arus perdana tadi, apakah sebenarnya yang menyebabkan karyawan akhbar kita semakin terhakis tanggungjawab mereka sebagai seorang Muslim sejati. Bagi kebanyakan karyawan yang bekerja di syarikat-syarikat akhbar besar, mereka berkelulusan tinggi, sebahagian besar daripada mereka memiliki sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda daripada institusi pengajian tinggi. Jadi setakat mana nilai kehidupan mereka ini sehingga sanggup mengetepikan hukum-hakam agama, ataupun mereka sendiri tidak tahu perbuatan mereka itu salah di sisi agama?
Apakah karyawan-karyawan akhbar ini tidak sedar, hasil pendapatan mereka daripada 'memperagakan gambar-gambar tidak senonoh' itulah yang akan dijadikan modal untuk diberi makan kepada anak isteri. Tidakkah mereka tahu setitik darah yang dihasilkan daripada sumber pendapatan haram, mereka telah mendedahkan anak isteri ke jurang neraka yang bahan bakarnya adalah batu-batan dan manusia sendiri.
Seorang rakan selalu mengulangi ungkapan ini yang katanya adalah petikan kata-kata hikmah Sayidina Ali: "Kalau manusia itu memikirkan untuk memuaskan apa yang ada antara mulut dan perutnya, nilai orang itu sama dengan apa yang keluar daripada perutnya."
Kita juga berasa hairan kerana akhbar-akhbar kita tidak sekata dalam mempamerkan bahan untuk bacaan umum. Jika dalam ruangan agama dalam sesebuah akhbar itu, dikatakan dengan penuh semangat supaya wanita-wanita menutup aurat tetapi dalam akhbar yang sama dalam ruangan sukan disiarkan gambar wanita menutup 'anu'nya saja.
Demikian juga dalam ruangan artis dan hiburan, yang kerap disiarkan adalah 'wanita yang sudah patah tulang belakangnya' (asyik membongkok saja untuk mempamerkan 'aset'nya).
Sekali-sekala dalam ruangan agama, penulis begitu hebat memperkatakan bahana judi, tetapi dalam akhbar yang sama juga disiarkan keputusan 'empat nombor ekor'. Kita berasa amat hairan dengan perkembangan ini - adakah ruangan agama itu sebagai medan berdakwah kepada orang luar sedangkan karyawan akhbar berkenaan sendiri tidak dapat didakwah. Atau adakah pengarang-pengarang kita yang hebat-hebat itu bagaikan ketam cuba mengajar anaknya berjalan betul?
Sebagai akhbar yang ditatap sekalian ahli keluarga, karyawan akhbar sewajarnya memahami bahawa bahan yang disiarkan perlu sesuai untuk semua. Akhir-akhir ini, akhbar-akhbar kita terlalu mementingkan nilai komersial sehingga tidak mempedulikan sensitiviti pembacanya.
Akhbar-akhbar semakin berani melaporkan aksi sulit di atas ranjang, membicarakan perlakuan seks secara terbuka dan menyiarkan gambar-gambar keterlaluan. Nampaknya editor-editor akhbar semakin tidak mempedulikan 'taboo' (pantang larang) dalam masyarakat apatah lagi yang menyalahi agama. Seolah-solah yang dipentingkan adalah jualan (sale) sehingga perhitungan lain diketepikan sama sekali.
Tahukah tuan puan editor, apa yang dibuat oleh remaja (mungkin anak-anak tuan puan sendiri) jika mereka terangsang dengan apa yang akhbar tuan puan siarkan? Jika mereka melakukan maksiat, tidakkah tuan puan rasa berdosa? Tidak takutkah tuan puan apa yang menunggu tuan puan dalam kubur nanti?
Kepada pengarang-pengarang akhbar, di sini ingin saya menyatakan bahawa kadang-kadang saya terpaksa mengoyakkan muka surat tertentu dalam akhbar tuan puan sebelum saya membawa pulang akhbar berkenaan untuk tatapan anggota keluarga.
Insaflah wahai diri sendiri dan tuan puan kerana 'masa penentuan' itu tersangat dekat - lebih-lebih ramai sahabat kita dalam dunia persuratkhabaran meninggal dunia dalam usia 40-an. Jadi tunggu apa lagi? Bertaubatlah!
1 comment:
tolong tulis berkaitan derhaka.
bagaimana manusia kalau derhaka kepada ALLAH? yang tak mengikut/taat kepada suruhanNYA dan meninggalkan laranganNYA.
Post a Comment