Friday, October 12, 2018

Jangan lari... (11): Tidur berbumbungkan langit, bintang...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)
PADA keluaran lalu dicelotehkan sebahagian pengalaman hari pertama saya berbasikal dari kediaman saya di pinggir bandar raya Melaka ke Alor Gajah dan kemudian bermalam di pekan Simpang Ampat, berhampiran sempadan Melaka/Negeri Sembilan.
Malam itu saya tidak jadi menumpang di Masjid Dato' Dol Said. Saya menunggang basikal kembali ke pekan Simpang Ampat. Selepas mencari-mencari lokasi untuk 'landing', akhirnya saya memutuskan untuk tidur di sisi bangunan stesen minyak Petronas.
Saya menghamparkan sejadah dan merebahkan diri. Malangnya malam itu saya gagal melelapkan mata sepincing pun. Mata terkebil-kebil memandang langit dan bintang yang bertaburan di ketinggian sana. Pusing kanan, pusing kiri penuh keresahan...saya mula terfikirkan 'akan kebodohan diri' yang sanggup meninggalkan kelembutan, kenyamaan dan 'kehangatan' tilam empok dan katil rumah sendiri untuk bermusafir; berkelana dengan basikal pula.
Saya baru mengalami secebis kepayahan mengembara tetapi sudah terasa begitu berat beban digalas...jadi bagaimana agaknya mereka yang bermusafir begitu jauh seperti ke Makkah dengan berbasikal seperti dilakukan lima sekeluarga dari Indonesia.
Ketika merenung-merenung ke langit, saya teringat kisah ini yang dipaparkan oleh seorang sahabat. Semoga ia menjadi sumber inspirasi dan kekuatan untuk saya meneruskan perjalanan ini. Begini coretan sahabat itu.
Ketika di Makkah tidak lama dulu, hati saya tersentuh mendengar kisah luar biasa sekumpulan jemaah haji dari Pakistan yang berjalan kaki ke Tanah Suci. Kisah yang dibawa oleh isteri saya itu membuatkan saya teruja membantu mereka.

Isteri saya menerima khabar itu daripada teman sebiliknya, seorang jemaah berketurunan Pakistan yang pernah tinggal di Malaysia.

Menurut isteri saya, pada suatu petang temannya itu menikmati makanan yang dibelinya di tepi tembok kawasan luar Masjidilharam.

Selepas agak kenyang, dia bangun untuk membuang keratan roti capati yang tidak habis dimakannya ke dalam tong sampah.

Tidak semena-mena dia ditegur dan diminta menyerahkan saki baki makanan tadi oleh seorang wanita jemaah Pakistan yang sedang baring-baring di belakangnya.

Wanita itu merayu biar dia simpan makanan tadi untuk dia dan keluarganya berbuka puasa petang nanti.

Maka dengan rasa hairan teman isteri saya bertanya khabar kepada jemaah itu. Wanita itu memberitahu dia dan rombongannya datang dari Pakistan dan mereka berjalan kaki ke Makkah untuk menunaikan haji.

Mereka berjalan kaki selama tiga bulan dalam perjalanan ribuan kilometer itu yang amat berbahaya itu.

Ada kalanya mereka menumpang lori dan kenderaan lain untuk membolehkan mereka ke Makkah.

Beliau mendakwa duit mereka sudah habis dan sudah beberapa hari tidak menjamah makanan kecuali minum air zamzam.

Oleh kerana tidak sampai hati, teman isteri saya menghulurkan sedikit wang untuk mereka membeli makanan untuk berbuka puasa nanti. 

Selepas isteri saya menceritakan kejadian ini, saya terpanggil membantu mereka. Saya kumpulkan makanan berlebihan seperti bungkusan mi segera dan buah-buahan untuk diberikan kepada kumpulan jemaah Pakistan itu.

Suatu hari ketika kami sampai untuk memberikan makanan kepada mereka, saya lihat seorang anak dalam kumpulan itu sedang menangis dan meriba ibunya yang turut menangis.

Apabila kami menyerahkan makanan itu, mereka mengucapkan terima kasih dan bersyukur ke hadrat Ilahi. Si ibu yang sedang meriba anak tadi, turut bingkas bangun menyambut pemberian kami.

Dalam keadaan letih, mereka memberikan senyuman dan membahagi-bahagikan makanan tadi. Teman isteri saya menterjemah apa yang mereka kata.

Dalam hati saya berdetik, kasihan mereka, nampak si ibu tadi kegembiraan dan dengan linangan air mata mereka menjamah makanan yang kami beri.

Mereka nampaknya benar-benar bersyukur kerana ada insan yang bersimpati dengan nasib mereka.

Saya benar-benar tersentuh dan berasa sebak, rupa-rupanya ada jemaah kelaparan kerana tiada wang lagi untuk membeli makanan.

Oohh bayangkanlah, selepas musim haji, mereka akan berjalan kaki pulang ke Pakistan.

Bagaimanakah perjalanan itu nanti sedangkan mereka tidak berduit dan mempunyai makanan. Tetapi keyakinan kepada Allah menguatkan semangat mereka untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Saya berdoa; "Ya Allah Ya Tuhanku, hanya Engkau sahaja yang memberi rahmat kepada kumpulan jemaah Pakistan ini."

Pada keesokan harinya kami berkunjung di tepi tembok itu dengan harapan untuk terus menolong mereka tetapi hampa kerana mereka sudah tiada di situ. Mungkin mereka sudah memulakan perjalanan pulang ke tanah air.

Dalam perjalanan ribuan kilometer itu, jemaah berkenaan terpaksa merentas padang pasir Arab Saudi, kemudian ke Iraq, Iran dan Afghanistan sebelum memasuki negara sendiri.

Bagaimana agaknya keadaan mereka dalam menghadapi situasi tidak menentu di Iraq yang kini dilanda kekacauan akibat pencabulan Amerika Syarikat ke atas bumi anbia itu.

Saya juga terfikir-fikir mengapa jemaah haji itu bersusah payah untuk ke Makkah sedangkan antara syarat untuk menunaikan haji adalah berkemampuan.

Lama kemudian baru saya teringat, dalam mahzab Hanafi yang menjadi pegangan ramai penduduk Pakistan, kewajipan untuk menunaikan haji menjadi keutamaan dan perlu disegerakan.

Mungkin sebab itu agaknya yang mendorong jemaah berkenaan bermati-matian, termasuk berjalan kaki untuk menunaikan rukun Islam kelima

Wednesday, October 10, 2018

'First Lady' bantulah suami ke jalan benar...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
***************
Renungan
"...Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba'), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalam masjid itu ada orag-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih." (Maksud Ayat 108 Surah At-Taubah)

ADA bijak pandai mengatakan di sebalik kejayaan seorang lelaki, ada wanita di belakang atau sisinya. Wanita itu kemungkinan besar ibu, isteri atau kedua-duanya sekali.

Cendekiawan juga ada mengungkapkan kehancuran sesetengah lelaki adalah disebabkan wanita di sisinya - namun hampir tidak mungkin seorang ibu 'melingkupkan' anaknya tetapi jika hal itu disebabkan isterinya, ia ada kebenarannya.

Jika kita meneliti kisah Nabi Adam a.s. iaitu bapa kepada semua manusia, baginda 'terpelanting' dari syurga disebabkan memakan buah kuldi (larangan) hasil rayuan isteri tercinta Hawa...jadi sepanjang sejarah manusia betapa ramai suami termasuk tokoh-tokoh dunia kecundang kerana mengikut pesona rayuan sang isteri.

Negara kita turut menyaksikan pemimpin hanyut dan rebah ke lembah kehinaan gara-gara faktor antara lain terlalu mengikut kehendak nafsu buas keduniaan sang isteri...ya sang suami berwaspadalah dan wahai isteri jangan 'disesakkan'  suami anda dengan meminta itu dan ini yang akhirnya bukan saja menyebabkan sang suami meringkuk dalam penjara tetapi anda juga  tak senang duduk antara lain 'disiasat dari pagi sampai malam' dan mungkin juga turut ke penjara.

Menurut ulama, adalah amat penting untuk isteri mendoakan suami berada di jalan lurus termasuk membawa pulang rezeki halal lagi baik...ya bantulah dia ke jalan lurus; di sini adalah bermanfaat kita 'mengorek' kisah daripada lembayung sejarah wanita-wanita salihah ini yang insya-Allah, kalau boleh kita adaptasi dalam kehidupan kita.

Berdasarkan ini, kita mengharapkan sesiapa pun termasuk yang mendakwa sebagai wanita pertama, supaya menjenguk kisah-kisah teladan wanita pertama masa lampau untuk dijadikan iktibar dalam mengharungi hidup sebagai suri ketua negara atau kerajaan.

Kita akan membawakan dua watak saja iaitu Siti Zubaidah binti Jaafar iaitu permaisuri kepada Khalifah Bani Abasiyah paling hebat, Harun Al-Rashid (memerintah 786-803 Masihi) dan Siti Zubaidah permaisuri kepada Sultan Zainal Abidin dari kerajaan Kembayat Negara bagi menjadi contoh mithali wanita pertama di Alam Melayu.

Siti Zubaidah Jaafar sekalipun begitu kaya raya, telah membelanjakan sebahagian besar wang beliau sendiri untuk membiayai projek-projek berkepentingan rakyat, yang paling masyhur adalah ‘Ain Zubaidah, sebuah terusan paling hebat pada zamannya.

Ia bagi mengalirkan air ratusan kilometer jauhnya dari gunung-gunung yang mempunyai mata air di Makkah (ada mencatatkannya dari Taif) bagi kemudahan jemaah haji di Mina dan Arafah. Ahli sejarah mencatatkan kos pembinaan terusan itu adalah 1,700,000 dinar. Sekalipun dibina 1,400 tahun lalu, terusan itu masih boleh dilihat.

Selain itu Siti Zubaidah juga telah mengeluarkan belanja yang sangat besar bagi memperbaiki jalan di antara Baghdad ke Makkah. Di sepanjang jalan dibina perigi-perigi dan rumah-rumah persinggahan untuk memudahkan orang ramai terutama jemaah haji dan ahli peniagaan. Di Baghdad sendiri terdapat sebuah masjid terkenal dan dinamakan Masjid Siti Zubaidah kerana dialah yang bertanggungjawab membinanya.

Tentunya dunia Islam tidak mengingati Siti Zubaidah sebagai wanita pertama kerana dia permaisuri khalifah tetapi jasa-jasa besar yang ditinggalkannya kepada rakyat. Ahli sejarah mengungkapkan walaupun hidupnya dilimpahi kekayaan, wanita ini sentiasa memastikan dia tidak termakan dengan pujukan syaitan. 

Siti Zubaidah beranggapan kekayaan di dunia cuma sementara dan sekiranya dilaburkan mengikut cara yang betul akan mendapat keberkatan di akhirat kelak, manakala kehidupan akhirat adalah kehidupan yang kekal, indah dan terlalu manis. Keindahan dan kemanisan itulah yang dicarinya, bukan mengejar glamor dan kemasyhuran dunia.

Sementara itu Siti Zubaidah alam Melayu melalui Syiar Siti Zubaidah pula memaparkan perjuangan permaisuri seorang raja (tentunya dia wanita pertama) untuk membebaskan suaminya daripada penjara dan cengkaman musuh. Siti Zubaidah sanggup menyamar sebagai pahlawan lelaki dan dalam perjuangannya menghadapi pelbagai penderitaan tetapi berkat kesabaran akhirnya suaminya dapat dibebaskan.

Alhamdulillah, pada hari ini ada sejumlah 'Siti Zubaidah' di kalangan wanita-wanita kita. Hanya 'jauhari yang mengenal menikam' - sewajarnya wanita-wanita ini diangkat untuk dijadikan suri teladan. Bagi yang tidak mengerti, berusahalah membersihkan hati, insya-Allah lambat-laun anda akan kenal juga mereka itu!

Bagi mereka yang 'terang hatinya', kedua-dua Siti Zubaidah adalah ikon yang sewajarnya menjadi teladan bukan saja kepada ‘First Lady’ tetapi juga semua wanita terutama yang berstatus isteri. Kedua-duanya bersemangat kental bagi meraih bahagia dunia dan akhirat. 

Tuesday, October 9, 2018

Jangan lari... (10): Tunai umrah / haji tunggang basikal...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

DALAM salah satu kelas pengajian di masjid yang saya ikuti baru-baru ini, sang ustaz mengingatkan umat Islam yang mampu dan cukup syarat, jangan lari daripada menunaikan Rukun Islam kelima iaitu haji.

Balasannya sangat dahsyat kata sang ustaz, orang yang mampu berangkat haji tetapi dia enggan, maka dia melakukan dosa besar. Allah SWT berfirman melalui ayat 97 Surah Ali Imran bermaksud: "Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa mengengkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) daripada semesta alam." 

Ibnu Katsir membawakan keterangan daripada Sayidina Umar al-Khatab r.a. yang menyatakan; "siapa yang mampu haji tetapi dia tidak berangkat haji, sama saja, dia mahu mati Yahudi atau mati Nasrani." Jadi jangan lari daripada menunaikan Rukun Islam kelima - haji!
Jika ada segelintir umat Islam amat keberatan menunaikan haji dan umrah, sejumlah lagi sebaliknya; mereka sanggup bersusah payah seperti bergolak gadai bagi mendapatkan biaya manakala ada yang sanggup menaiki kenderaan awam di darat seperti bas dan lori serta kenderaan persendirian seperti kereta, motosikal, basikal malah ada yang berjalan kaki ke Tanah Suci.
Baru-baru ini saya terbaca kisah lima sekeluarga dari Indonesia -  Muchlis Abdillah, 47, isterinya Juiianti Husin, 47, serta tiga anak mereka, Mirza Hakim, 15, Ahmad Zaki Hafiz, 11, dan Oliva Yumna, 6 - berbasikal ke Makkah untuk menunaikan umrah.

Subhanallah, sungguh menakjubkan kesungguhan keluarga ini - mereka telah dan akan menempuh perjalanan sejauh 13,000 kilometer - ketika berbasikal di Kedah pada Ogos lalu mereka diberi liputan berita oleh media massa Malaysia. Keluarga ini sudah sebulan bertolak dari kampung halaman mereka di Pulau Jawa.

Mengikut perancangan, mereka akan sampai ke Tanah Suci insya-Allah pada awal tahun depan selepas merentas sejumlah negara termasuk di rantau berkonflik seperti di India, Pakistan dan Iran.

Ya, hebat keluarga ini...saya begitu mengkagumi mereka; terfikir di benak saya mengapa saya tidak mencuba sesuatu bagi merasai sedikit sebanyak pengalaman berbasikal mereka itu. Yalah, tak penat dan tak takutkah menghadapi cabaran berkayuh ribuan kilometer...apatah lagi membawa anak isteri termasuk si anak yang berusia enam tahun? Jika anak kita dalam usia ini masih menangis di tadika, anak keluarga ini sudah benar-benar melihat dunia. Ya, hebat, hebat, hebat mereka ini!

Lantas beberapa minggu lalu, saya mencapai basikal buruk saya; selepas mengumpulkan sedikit sebanyak pakaian dan kelengkapan diri, saya pun sudah berada di jalan raya bagi 'menjelajah dan menawan' tanah Semenanjung. Takkan saya tak boleh mengembara ratusan kilometer sedangkan ada keluarga kuat azamnya hendak ke Makkah yang jauhnya 13,000 kilometer? Saya pun bertolak dari Melaka menuju Alor Gajah, Rembau, Seremban dan dalam otak saya, saya mahu mengembara sampai ke Padang Besar.

Hari pertama semuanya berjalan lancar...cuaca redup memudah dan menceriakan saya menunggang basikal itu. Saya yang bertolak dari rumah jam 11.00 pagi sampai di Alor Gajah jam 4.00 petang...hebat juga saya mengayuh ya...taklah penat sangat sebab saya banyak berehat termasuk di masjid untuk solat dan 'refill' (makan minumlah) dan 'membuang' apa yang patut. 

Saya tiba di Simpang Ampat jam 6.00 petang. Hari mulai gelap; saya memutuskan untuk 'landing' di pekan ini malam itu, tetapi di mana? Saya cuba-cuba cari 'homestay' tetapi tak jumpa yang sesuai. 

Senja itu saya solat jamak Maghrib-Isyak di Masjid Dato' Dol Said di Taboh Naning. Selepas solat Isyak, 'depa' adakan jamuan, saya diajak sama, saya pun 'malu-malu kucing' bersantap nasi bergulai masak lemak pekat ikan tenggiri...'dia orang' sogok petai kat muka aku...aku sekali lagi malu-malu kucing dibuatnya. 'Sodap' sungguh masakan orang Alor Gajah yang kuat pengaruh 'Nogori' ini...'Depa' sua mangkuk nasi tambah kat aku, aku pun 'belasahlah'...kalau malu lapar nanti!

Malam itu aku mahu 'landing' di mana ya? Mula-mula aku fikir mahu bermalam  di Masjid Dato' Dol Said itu...tetapi fikir punya fikir aku batalkan sebab senja itu ketika mandi dan mengambil wuduk di tandas bahagian bawah, aku perasan ada tanah perkuburan di sisi masjid. Ada satu kubur besar bertembok dan bercat kuning...aku agak ini mesti kubur Dato' Dol Said, beliau adalah penghulu Naning (sekitar tahun 1800) yang melawan British dan pernah menang sebelum dikalahkan. Senja itu, suasana 'di bawah tu' tiba-tiba meremangkan bulu roma aku...ya terpacak bulu romaku...petanda apakah itu?

Otak saya berfikir ligat...ada 'suara' berkata, LanH kau penakut ya...kubur pun kau dah takut... 'Suara' batin saya pula menjawab, sebenarnya aku tak takut sebab sebagai makhluk Allah kita semua akan mati...kita semua akan masuk kubur dan 'menjadi geng' orang-orang tu...kita dan orang-orang itu adalah satu geng, jadi apa mahu takut?