Tuesday, October 9, 2018

Jangan lari... (10): Tunai umrah / haji tunggang basikal...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

DALAM salah satu kelas pengajian di masjid yang saya ikuti baru-baru ini, sang ustaz mengingatkan umat Islam yang mampu dan cukup syarat, jangan lari daripada menunaikan Rukun Islam kelima iaitu haji.

Balasannya sangat dahsyat kata sang ustaz, orang yang mampu berangkat haji tetapi dia enggan, maka dia melakukan dosa besar. Allah SWT berfirman melalui ayat 97 Surah Ali Imran bermaksud: "Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa mengengkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) daripada semesta alam." 

Ibnu Katsir membawakan keterangan daripada Sayidina Umar al-Khatab r.a. yang menyatakan; "siapa yang mampu haji tetapi dia tidak berangkat haji, sama saja, dia mahu mati Yahudi atau mati Nasrani." Jadi jangan lari daripada menunaikan Rukun Islam kelima - haji!
Jika ada segelintir umat Islam amat keberatan menunaikan haji dan umrah, sejumlah lagi sebaliknya; mereka sanggup bersusah payah seperti bergolak gadai bagi mendapatkan biaya manakala ada yang sanggup menaiki kenderaan awam di darat seperti bas dan lori serta kenderaan persendirian seperti kereta, motosikal, basikal malah ada yang berjalan kaki ke Tanah Suci.
Baru-baru ini saya terbaca kisah lima sekeluarga dari Indonesia -  Muchlis Abdillah, 47, isterinya Juiianti Husin, 47, serta tiga anak mereka, Mirza Hakim, 15, Ahmad Zaki Hafiz, 11, dan Oliva Yumna, 6 - berbasikal ke Makkah untuk menunaikan umrah.

Subhanallah, sungguh menakjubkan kesungguhan keluarga ini - mereka telah dan akan menempuh perjalanan sejauh 13,000 kilometer - ketika berbasikal di Kedah pada Ogos lalu mereka diberi liputan berita oleh media massa Malaysia. Keluarga ini sudah sebulan bertolak dari kampung halaman mereka di Pulau Jawa.

Mengikut perancangan, mereka akan sampai ke Tanah Suci insya-Allah pada awal tahun depan selepas merentas sejumlah negara termasuk di rantau berkonflik seperti di India, Pakistan dan Iran.

Ya, hebat keluarga ini...saya begitu mengkagumi mereka; terfikir di benak saya mengapa saya tidak mencuba sesuatu bagi merasai sedikit sebanyak pengalaman berbasikal mereka itu. Yalah, tak penat dan tak takutkah menghadapi cabaran berkayuh ribuan kilometer...apatah lagi membawa anak isteri termasuk si anak yang berusia enam tahun? Jika anak kita dalam usia ini masih menangis di tadika, anak keluarga ini sudah benar-benar melihat dunia. Ya, hebat, hebat, hebat mereka ini!

Lantas beberapa minggu lalu, saya mencapai basikal buruk saya; selepas mengumpulkan sedikit sebanyak pakaian dan kelengkapan diri, saya pun sudah berada di jalan raya bagi 'menjelajah dan menawan' tanah Semenanjung. Takkan saya tak boleh mengembara ratusan kilometer sedangkan ada keluarga kuat azamnya hendak ke Makkah yang jauhnya 13,000 kilometer? Saya pun bertolak dari Melaka menuju Alor Gajah, Rembau, Seremban dan dalam otak saya, saya mahu mengembara sampai ke Padang Besar.

Hari pertama semuanya berjalan lancar...cuaca redup memudah dan menceriakan saya menunggang basikal itu. Saya yang bertolak dari rumah jam 11.00 pagi sampai di Alor Gajah jam 4.00 petang...hebat juga saya mengayuh ya...taklah penat sangat sebab saya banyak berehat termasuk di masjid untuk solat dan 'refill' (makan minumlah) dan 'membuang' apa yang patut. 

Saya tiba di Simpang Ampat jam 6.00 petang. Hari mulai gelap; saya memutuskan untuk 'landing' di pekan ini malam itu, tetapi di mana? Saya cuba-cuba cari 'homestay' tetapi tak jumpa yang sesuai. 

Senja itu saya solat jamak Maghrib-Isyak di Masjid Dato' Dol Said di Taboh Naning. Selepas solat Isyak, 'depa' adakan jamuan, saya diajak sama, saya pun 'malu-malu kucing' bersantap nasi bergulai masak lemak pekat ikan tenggiri...'dia orang' sogok petai kat muka aku...aku sekali lagi malu-malu kucing dibuatnya. 'Sodap' sungguh masakan orang Alor Gajah yang kuat pengaruh 'Nogori' ini...'Depa' sua mangkuk nasi tambah kat aku, aku pun 'belasahlah'...kalau malu lapar nanti!

Malam itu aku mahu 'landing' di mana ya? Mula-mula aku fikir mahu bermalam  di Masjid Dato' Dol Said itu...tetapi fikir punya fikir aku batalkan sebab senja itu ketika mandi dan mengambil wuduk di tandas bahagian bawah, aku perasan ada tanah perkuburan di sisi masjid. Ada satu kubur besar bertembok dan bercat kuning...aku agak ini mesti kubur Dato' Dol Said, beliau adalah penghulu Naning (sekitar tahun 1800) yang melawan British dan pernah menang sebelum dikalahkan. Senja itu, suasana 'di bawah tu' tiba-tiba meremangkan bulu roma aku...ya terpacak bulu romaku...petanda apakah itu?

Otak saya berfikir ligat...ada 'suara' berkata, LanH kau penakut ya...kubur pun kau dah takut... 'Suara' batin saya pula menjawab, sebenarnya aku tak takut sebab sebagai makhluk Allah kita semua akan mati...kita semua akan masuk kubur dan 'menjadi geng' orang-orang tu...kita dan orang-orang itu adalah satu geng, jadi apa mahu takut?

No comments: