Wednesday, October 31, 2018

Malaysia Baharu dambakan kerajaan, rakyat penjimat...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

RENUNGAN

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)

ALHAMDULILLAH, baru-baru ini ketika ke sebuah masjid saya diberi akhbar MelakaKini keluaran 12-18 Oktober 2018. Akhbar suara kerajaan negeri Hang Tuah kini diterbitkan secara mingguan dan bukan harian seperti sebelum ini.

Jelas tercatat di muka depan akhbar itu perkataan PERCUMA. Dulu ketika rejim lama (Umno-BN) akhbar ini dengan nama Melaka Hari ini (MHI) juga diberikan percuma di premis awam seperti masjid dan sekolah tetapi diletakkan tanda harga RM1.50. Persoalannya siapa yang membayar kos akhbar ini untuk diletakkan secara percuma di premis awam?

Sumber memberitahu pembelian akhbar ini dibiayai daripada duit awam. Bermula Isnin hingga Jumaat akhbar ini dicetak sebanyak 3,000 naskhah setiap hari. Ini bermakna RM4,500 boleh dikutip sehari jika akhbar ini laku semuanya di pasaran. Malangnya akhbar propaganda ini tidak mendapat sambutan di pasaran bebas; jadi banyak naskhah dihantar secara percuma ke premis awam dan amat malang sekali jika duit awam digunakan untuk tujuan itu.

Demikianlah sungguh menyedihkan jika duit awam digunakan sewenang-wenangnya oleh pemimpin dan kerajaan untuk 'berlagak' - mempamerkan apa didakwa kekayaan dan meraih kemasyhuran. Menurut Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari kerajaan Umno-BN mewariskan hutang RM1.8 bilion.

Pemimpin rejim lama hidup berlagak - rumah macam istana, hinggakan bil elektrik kediaman KM lama mencecah RM47,000 sebulan. Adly berkata Hutang Awam Melaka RM850 juta, Hutang Defisit RM600 juta dan Hutang Pendahuluan RM350 juta menjadikannya RM1.8 bilion.

Kini Kerajaan Malaysia Baharu (di sini kerajaan Pakatan Harapan Melaka) dalam usaha menjimatkan wang awam mengambil pendekatan menerbitan akhbar MelakaKini secara mingguan. Menurut sumber akhbar ini cetak 30,000 naskhah pada setiap minggu dan tidak lagi berselindung kononnya menyatakan ia berharga sekian dan sekian sebaliknya menyatakan terus terang bahawa ia akhbar PERCUMA sama seperti akhbar Selangor Kini.

Selain bertindak menjimatkan wang awam, usaha ini satu pendekatan mempamerkan ketelusan. Dua elemen ini tersangat penting yang perlu menjadi amalan kerajaan Harapan yang insya-Allah akan diikuti rakyat. Pemborosan dan pembaziran sudah sinonim dengan kerajaan lama; rakyat sudah muak lantas menolak komponen Umno BN ke jurang kehinaan.

Dulu laporan demi laporan Ketua Audit Negara saban tahun yang mendedahkan pelbagai kelemahan termasuk pemborosan dan pembaziran wang rakyat oleh pemimpin (kerajaan) tak diambil 'pot'; natijahnya berlakulah kehancuran pemimpin dan rejim lama itu.

Misalnya, dulu sesetengah pemimpin setakat ketawa apabila didedahkan sebuah jam dinding RM100 dibeli dengan harga RM3,810 manakala sebuah teropong visi malam pada harga pasaran RM1,940 dibeli dengan harga RM56,350! 

Hanya segelintir pihak dan individu yang peduli; yang lain berkata "apa hendak dirisaukan, itu bukan duit saya dan saya tidak ada kena mengena dengannya." Demikianlah manusia, jika tiada petunjuk dan undang-undang daripada Yang Maha Berkuasa, mereka pula 'berlagak bagaikan Tuhan.' Mereka beramal 'ikut suka aku' (nafsu). Segala serakah nafsu itu hanya boleh ditundukkan dengan undang-undang-Nya. Namun itu tiada di negara ini kerana majoriti pemimpinnya bertuhankan nafsu! 

Selagi pemimpin berciri ini berkuasa, usah bermimpilah kita untuk menemui 'seorang Umar Abdul Aziz' (perkara ini kerap disebut Lim Guan Eng yang kini menjadi Menteri Kewangan). Umar cukup takut menggunakan harta kerajaan tidak pada tempatnya sehinggakan pelita dinyalakan anaknya untuk suatu urusan peribadi dipadamkannya kerana takut menyalahgunakan harta awam.

Tetapi, majoriti pemimpin hari ini tiada kualiti itu iaitu ciri orang beriman yang apabila melakukan sesuatu kesalahan kecil melihatnya bagaikan gunung yang mahu menghempap mereka. Mereka bukan saja tidak melihat ancaman itu bahkan tidak berasa bersalah pun! 

Jadi apa yang boleh mengajar manusia termasuk pemimpin? Cendekiawan Islam seperti Sayyid Abul A'la Maududi menegaskan tidak ada sistem pemerintahan pun yang akan berjaya jika pemimpinnya tidak mempunyai akhlak yang tinggi dan masyarakatnya (rakyat) tidak bertakwa dan amanah. 

Namun hari ini kita dapat saksikan betapa longgarnya pemimpin dari segi akhlak. Amalan rasuah, salah guna kuasa, boros, cakap tak serupa bikin, aneka jenayah dan maksiat semakin menjadi-jadi. Perilaku buruk ini menjadi ikutan rakyat; peribahasa Melayu ada menyebutkan bagaimana acuan begitulah kuihnya ataupun bapa borek anak rintik. 

Ya kita sekarang ini mahu memberhentikan salah laku penyelewengan dan ketidaktelusan seperti  didedahkan saban tahun oleh Laporan Ketua Audit Negara. Kita percaya kerajaan HARAPAN dan pemimpinnya mampu melakukannya; insya-Allah jika pemimpin dan kerajaan menunjukkan teladan, insya-Allah rakyat akan mengikutinya. Inilah yang didambakan Malaysia Baharu!

No comments: