Friday, October 19, 2018

Suu Kyi kini tak lagi 'suci'...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)

MYANMAR (Burma) adalah anggota Asean ke-10 (terakhir). Sekarang ini jika kita teliti gambar-gambar pemimpin negara Asean, terlihatlah  Aung San Suu Kyi yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan mereka. Suu Kyi (dibunyikan Suci) kini tokoh paling berkuasa di Myanmar tetapi perlu diketahui beliau bukan presiden atau perdana menteri negara itu!

Sekalipun parti pimpinannya, Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD) menang besar pada pilihan raya umum lalu, mengikut perlembagaan Myanmar, Suu Kyi iaitu anak tokoh kemerdekaan, Aung San, tidak layak menjadi presiden kerana dia berkahwin dengan seorang warga Inggeris, Michael Aris (kini mendiang) malah pernah lama tinggal di luar negara dengan anak-anaknya adalah warga British.

Selepas pilihan raya, Suu Kyi di ambang menjadi Presiden baru Myanmar tetapi pihak tentera pimpinan Jeneral (ketika itu Presiden) Thein Sein dengan keras merujuk satu fasal dalam perlembagaan (Bab 3, nombor 59 (f) yang menghalang beliau berbuat demikian.

Sekalipun terhalang, Suu Kyi tetap menjadi tokoh paling berkuasa di Myanmar dengan dirinya dilihat sebaris dengan pemimpin-pemimpin Asean yang lain. Sekalipun partinya (NLD) melantik Htin Kyaw, 69, sebagai Presiden, Suu Kyi menyatakan: "Hal ini tidak menghalang saya daripada membuat semua keputusan sebagai ketua parti yang memperolehi kemenangan!" Hakikatnya dia adalah pemimpin tertinggi (paling berkuasa) dengan gelaran 'State Counsellor' (Konselor Negara).

Sekalipun muncul pemimpin paling berkuasa di Myanmar, Suu Kyi kini dipandang 'sinis' oleh masyarakat antarabangsa. Dulu sebelum berkuasa, beliau terkenal  pejuang kemanusiaan dan keadilan sehingga dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan tetapi hari ini dunia mengecam beliau kerana sikap tidak pedulinya berhubung kezaliman ke atas golongan minoriti Rohingya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad lantang menyatakan Malaysia tidak lagi menyokong Suu Kyi. Beliau mendakwa Suu Kyi sudah menjadi 'a changed person' (seseorang yang sudah berubah; tidak 'suci' lagi) kerana sejak menjadi pemimpin Myanmar, beliau membisu seribu bahasa berhubung kezaliman rejim negaranya ke atas orang Rohingya.

Benar Suu Kyi kini selepas berkuasa 'tak semurni lagi' berbanding semasa beliau 'merempat' tiada kuasa. Sejumlah negara luar menyedari hal ini, beberapa hari lalu Kanada melucutkan kewarganegaraan kehormat kepada beliau. Suu Kyi yang dulunya bercakap berapi-api mengenai keadilan sekarang ini apabila sudah berkuasa 'cakapnya tidak serupa bikin'.

Akibat dizalimi di tanah air sendiri (Rakhine, dulunya Arakan) jumlah pelarian Rohingya sentiasa meningkat, sehingga lebih 1.3 juta orang keluar dari kampung halaman yang diporak-perandakan tentera rejim Myanmar malah oleh penduduk bukan Muslim.  Mereka terpaksa mendapatkan perlindungan di negara lain terutama jiran terdekat Bangladesh malah ada yang 'ditolak' ke laut sehingga hanyut ke Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Perkembangan ini langsung tidak memberi kesan kepada kerajaan Myanmar diterajui Suu Kyi walaupun hampir seluruh dunia mengecam krisis kemanusiaan paling teruk itu.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) memaklumkan situasi di Rakhine masih teruk bagi orang Rohingya menyebabkan ribuan pelarian terus memasuki Bangladesh bagi mendapatkan perlindungan dan keselamatan.

Ya, Suu Kyi tidak lagi 'suci' selepas mendapat kuasa, di tanah air kita berdoa dan berharap tidak ada pemimpin seperti ini - mereka bagaikan kacang lupakan kulit atau lebih teruk lagi menepati peribahasa 'harapkan pegar, pegar makan padi'!

No comments: