Monday, October 15, 2018

Jangan lari... (12): Terkenang mabit berbumbungkan langit di Mudzalifah...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
PADA keluaran lalu saya mencelotehkan perihal saya bermalam di sisi bangunan stesen minyak Petronas di Simpang Ampat, Alor Gajah selepas pada siang harinya penat berbasikal dari pinggir bandar raya Melaka ke pekan di sempadan Melaka/Negeri Sembilan itu.
Ketika merenung langit dan bintang-bintang bertaburan di angkasa raya, teringat pengalaman lama saya bermabit dalam kegelapan malam di Mudzalifah ketika menunaikan haji tidak lama dulu. Terfikir di benak saya bagus juga kita 'praktis' kehidupan keras seperti tidur di luar rumah kerana nanti apabila mengerjakan haji kita akan merasai sedikit sebanyak kepayahan hidup seperti kerap berjalan kaki dan berhimpit-himpit dalam lautan manusia.
Jadi dalam merenung-renung dalam kegelapan malam itu, terasa ada kebaikan pada diri sendiri saya 'mengambil jalan susah' seperti mengembara dengan basikal...ya jika ada orang ke Tanah Suci menunggang basikal takkan saya tak boleh 'try' berbasikal di negara sendiri.
Pada diri ini, kehadiran di Arafah (Wukuf) pada 9 Zulhijah 1426, memberi kesempatan terbuka untuk muhasabah diri. Menangislah saya sepuas hati, mengenang segala dosa dan kesilapan lalu. Hari Wukuf atau Hari Arafah dikatakan saat seseorang hamba itu tersangat dekat dengan Tuhannya. Mintalah keampunan-Nya dan berdoalah, semoga selepas haji, kita menjadi hamba-Nya dalam pengertian sebenar-benarnya. 

Keberangkatan dari Arafah ke Mudzalifah bermula selepas solat Asar tetapi saya dipilih melakukannya selepas maghrib. Perjalanan Arafah-Mudzalifah menguji ketahanan diri – sama ada dari segi mental dan fizikal. Apabila ratusan ribu jemaah berhimpun, berlaku ketidak-tentuan yang menguji keimanan dan kesabaran diri.

Mudzalifah adalah tempat di mana jemaah berhenti sebentar untuk mengutip batu-batu kecil untuk dilontar di jamrah kemudiannya. Mulai tahun 2005, pihak berkuasa Arab Saudi memperkenalkan sistem baru yang menghendaki jemaah berada di situ selepas mereka keluar dari Arafah sehinggalah keberangkatan sekali lagi ke Mina yang bermula selepas tengah malam.
Jemaah berada di sebuah kawasan terbuka yang dipagar di Mudzalifah untuk mabit. Di situlah jemaah berehat, berbaring berlantaikan tikar dan beratapkan langit. Sambil baring-baring, sesekali sekala terbau najis binatang, mungkin pada siangnya tempat itu menjadi lokasi persinggahan kumpulan unta.

Jika mahu tidur, tidurlah berbantalkan beg atau lengan. Jika mahu bersandar, bersandarkanlah belakang isteri atau peluklah lutut sendiri, sambil itu sedarlah diri betapa banyak dosa yang sudah dilakukan.

Suasana malam begitu dingin, menggigit hingga ke tulang. Hanya kepada Allah tempat pergantungan pada malam itu, jadi perbanyakanlah solat dan doa sekalipun diri berada dalam lautan manusia.

Berusahalah untuk menjaga wuduk kerana untuk memperbaharuinya atau ke tandas, selain jaraknya yang jauh, terpaksa menempuh ribuan manusia, kemudian beratur panjang. Bersabar dan terus bersabarlah sepanjang malam itu.

Dalam keadaan sesak itu, untuk bergerak payah. Di depan orang, di belakang orang, di kedua-dua sisi pun orang. Jadi untuk ketenangan diri, berzikir dan terus berzikir sepanjang malam. Penat duduk, baring; penat baring, berdiri sambil menguakkan anggota tubuh.

Pada malam yang dingin itu, akan terasalah seseorang itu akan kekerdilan dirinya. Sedarlah, siapakah dirinya dalam lautan manusia itu. Semuanya sama, yang lelaki berihram putih manakala perempuan berbungkus, bertelekung seperti ketika bersolat.

Angin malam yang menyentuh diri dalam keadaan berihram (hanya dua kain tidak berjahit membalut diri) begitu sejuk terasa. Apabila berpakaian begitu tentulah ada anggota badan terdedah. Misalnya kepala tidak dapat ditutup. Untuk berselimut bagi menahan kesejukan, tidak boleh sebab ketika itu berada dalam ihram. Rasanya sudah tidak tahan berkeadaan begitu, tetapi keyakinan akan janji-Nya membantu memantapkan diri.
Semakin larut malam, suasana semakin dingin. Kabus sudah kelihatan di udara. Jemaah terus mabit, menunggu kedatangan bas untuk mengangkut mereka ke Mina. Sebelum berlepas, jemaah sudah siap mengumpul batu-batu kecil dalam uncang masing-masing.

Apabila berembun di Mudzalifah, ramai jemaah yang sebelum ini batuk-batuk dan selesema, semakin parah sakit mereka. Senggal-senggal dan lenguh anggota usah cerita. Demikianlah sebahagian cabaran Mudzalifah yang perlu dilalui semua jemaah haji kerana mabit di situ adalah salah satu wajib haji.

No comments: