Monday, December 14, 2015

Safar: Menangisi nasib anak bangsa...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

CELOTEH ini ditulis pada Ahad, 29 November bersamaan 17 Safar 1437 Hijrah. Ya, kita kini berada dalam bulan Safar yang mana puluhan tahun lalu, ada pesta terhebat di Melaka dinamakan 'Temasya Mandi Safar'.

Perayaan ini menyebabkan Melaka terkenal seantero dunia - Wikipedia, ensiklopedia bebas, mencatatkan: "Temasya Mandi Safar merupakan satu perayaan orang Melayu khususnya orang Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak yang diwarisi sejak zaman berzaman. 

"Di Kelantan dan Terengganu, perayaan ini dikenali sebagai Pesta Puja Pantai. Temasya ini diadakan setiap tahun apabila tiba bulan Safar iaitu bulan kedua di dalam kalendar Islam. 

"Mandi Safar adalah temasya mandi-manda yang diadakan pada hari Rabu yang terakhir dalam bulan Safar dengan tujuan menolak bala. Pada pagi hari tersebut, orang ramai mandi di pantai atau sekurang-kurangnya minum air yang telah direndam kertas safar atau papan kecil yang bertulis dengan kalimat suci. Air ini dikenal sebagai air safar."

Syukurlah, berikutan perjuangan penuh gigih ulama, 'Temasya Mandi Safar' sudah lama tiada di Melaka. Namun satu hal 'kurang menggembirakan' sekalipun 'mandi Safar' itu tidak diamalkan lagi, 'temasya'nya masih ada atau 'mahu terus dihidupkan'.

Buktinya, pada 14 November lalu, kerajaan negeri Melaka dengan kerjasama pelbagai pihak seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mengadakan 'Joget 1Malaysia' manakala pada 5-6 Disember ini pihak yang sama akan menganjurkan Karnival Budaya dengan tema 'Di Sini Semaraknya Seni Budaya'. Pesta pada hari Sabtu dan Ahad itu bersamaan 23 dan 24 Safar diadakan di Perkampungan Hang Tuah, Kampung Duyong, Melaka. Pelbagai acara termasuk dondang sayang dan persembahan artis diadakan.

Saya yang dilahirkan selepas tarikh kemerdekaan negara (31 Ogos 1957), kurang mengetahui 'cara hidup' orang dulu-dulu. Sedikit pengetahuan mengenainya diperolehi melalui pembacaan; kali ini bersyukurlah, seorang pembaca di kalangan 'orang lama' sedia berkongsi pengalaman mengenai 'Temasya Mandi Safar'. Berikut adalah tulisan beliau:

"Saya tertarik berbaca artikel Saudara bertajuk 'Berselawat boleh, cak kun cak pun boleh' (Harakah 20-22 November 2015). Ini mengembalikan ingatan saya pada Rabu akhir bulan Safar tahun 1959. Saya pergi ke 'Temasya Mandi Safar' dengan seorang kawan, budak Melaka di pantai Tanjung Kling, Melaka.

"Saya bertolak dari Pontian pagi Rabu itu naik bas ke Jasin. Dari Jasin naik 'skuter' dengan rakan itu pergi ke Tanjung Kling. Petang sampai ke sana.
Saya lihat kereta lembu dihias cantik-cantik. Ada jogek lambak, dondang sayang. Orang terlalu ramai memenuhi pantai Tanjung Kling yang masyhur itu.

"Saya sewa hotel di tepi pantai. Simpan beg di situ. Ingin melihat Temasya Safar pada waktu malam. Sungguh ramai orang, entah orang dari mana agaknya. Semalaman itu saya tidak tidur. 'Ngeluyur' sepanjang pantai, bercampur gaul entah dengan siapa. Masa itu saya masih bujang, umur 23 tahun.

"Kawan saya itu terpisah daripada saya apabila dia berjumpa kawan-kawan senegerinya. Saya cuba cari dia di celah-celah orang yang begitu ramai di pantai itu. Saya seolah-olah mencari seulas antah yang jatuh di tengah-tengah padang rumput. Tentulah tak jumpa. Dinihari saya balik ke hotel sendirian.

"Pagi besoknya saya meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Tanpa menemui kawan itu. Bukankah dulu tiada telefon bimbut. Sampai sekarang saya tak ketemui kawan saya itu atau berhubung surat dengannya.

"Apabila membaca artikel Saudara itu, nostalgia temasya itu datang 'cerak' dalam kepala. Sempat saya ketawa sendirian, mengimbau kembali kenangan 'bersafar' 50 tahun dulu di Tanjung Kling, Melaka.

"Oh, sekarang ini masih dihidupkan demi pelancongan dan dijadikan acara tahunan oleh kerajaan negeri. Mungkin akan terus diadakan selagi ada matahari terbit dari timur.

"Apakah hendak dikembalikan 'orang Melayu Islam' ke zaman 'kurafat'. Dulu saya melihat di pantai Tanjung Kling, orang merendam kertas yang ada 'gambar rajah' dalam bekas air. Katanya, 'air tolak bala'. Setelah mandi 'air tolak bala' masing-masing terjun ke laut untuk 'membasuh dosa' seperti kepercayaan orang Hindu membersihkan dosa mandi di Sungai Ganges.

"Sekarang ini kita hebat dengan 'Jom Heboh', 'Akademi Fantasia' dan sebagainya. Malangnya menjadi 'orang Melayu Islam separuh-paruh'. Ramai pendakwah tapi ramai yang tersasar dan mendedahkan aurat. Semakin digalakkan pula pelbagai pesta. Akan lahirlah Melayu juara dadah dan masuk Seranti. Mereka juga juara dedah dan buang anak. Pengangguran dan jenayah tinggi.

"Saya tidak melihat diri saya, tapi saya melihat apa yang berlaku kepada cucu cicit saya 50 atau 100 tahun akan datang. Saya menangis mengenang nasib mereka." - KAS, Pontian, Johor

Friday, December 11, 2015

Keganasan: Apa disemai itulah dituai...

********************** Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *********************** Renungan **************************** "Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain daripada Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku." (Surah Yaasin, ayat 23) **************************

KUNJUNGAN pemimpin-pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak Asean dan Sidang Berkaitan berlangsung ketika dunia digegar dan diselubungi keganasan - dari Paris, Perancis hinggalah ke Bamako, Mali.

Semua pemimpin dunia berikrar memerangi keganasan namun satu hal menggusarkan, kebanyakannya menuding jari atau meletakkan kesalahan kepada pihak lain sedangkan apabila satu jari dihalakan ke depan, tiga jari lagi akan menunjuk ke belakang iaitu ke arah si penuding.

Mereka bercakap mengenai keganasan di Paris dan Bamako yang mengorbankan beratus-ratus orang tetapi tidak pula menyentuh mengenai perang yang dipaksakan (kezaliman) oleh kuasa-kuasa besar dan kecil yang menghancur dan memusnahkan negara dan rantau seperti Iraq, Afghanistan, Palestin, Syria, Yaman, Chechnya, Kashmir, Arakan (negeri orang Rohingya) dan selatan Filipina.

Berjuta-juta penduduk awam terbunuh - menyebabkan berjuta-juta anak-anak menjadi yatim, suami menjadi duda manakala isteri menjadi janda manakala kediaman, punca pendapatan dan harta benda mereka punah. Anak-anak yang ditinggalkan membesarkan dalam persekitaran sukar menyebabkan ramai terdedah kepada kehidupan keras termasuklah menyimpan dendam kesumbat kepada kuasa-kuasa Barat yang telah memusnahkan masa depan mereka.

Hakikatnya kuasa-kuasa besar pemusnah inilah yang telah menanam bibit-bibit keganasan dan sekarang mereka 'menikmati buah'nya - tetapi mereka seperti tidak mengerti atau buat-buat tidak tahu bahawa apa yang berlaku di dunia adalah mengikut sunnah-Nya.

Jelas sekali pemikiran manusia sekali pun diutarakan Obama, Putin, Jokowi dan Najib Razak secara sendiri-sendiri tidak mampu menyelamatkan dunia ini termasuklah perkara tumpuan utama sekarang ini - keganasan.

Islam mempunyai jawapan kepada permasalahan sejagat ini dan salah seorang cendekiawan Muslim yang mengupasnya adalah Abul A'Ala Maududi.

Maududi melalui 'Asas-asas pemerintahan Islam' menyatakan prinsip asas yang ditekankan oleh Rasulullah s.a.w. ialah bahawa kekuasaan tertinggi dan mutlak hanyalah hak Allah semata-mata. Sesungguh bumi dan alam ini adalah kepunyaan Allah (nyata ini amat bertentangan dengan pemimpin dunia sekarang ini yang berfikir 'dunia ini milik mereka' dan kebijaksanaan merekalah yang boleh menjamin keamanan termasuklah dalam memerangi keganasan).

Udara, air, cahaya dan segala-galanya yang memenuhi hidup kita ini adalah diberi oleh Allah. Tubuh badan yang kita punyai ini beserta dengan tenaga dan organ-organ yang lengkap, semuanya dikurniakan kepada kita oleh Allah SWT, kata Maududi.

Oleh itu manusia (kita) langsung tidak mempunyai hak untuk mengaku yang kekuasaan mutlak itu hak kita. Di samping itu kita juga mesti menolak sebarang pengakuan sedemikian rupa daripada sebarang individu atau kumpulan.

Antara perkara pertama Rasulullah s.a.w. mengajak manusia untuk percaya dan beriman ialah, kerajaan dan negara itu hanyalah kepunyaan Allah. Hanya Allah saja yang berkuasa untuk memerintah dan tiada siapa yang berhak untuk membuat undang-undang melainkan Dia.

Perkara kedua dalam ajaran asas baginda ialah perundangan Rabbani bukannya diturunkan terus kepada manusia tetapi melalui Rasul-Nya. Rasulullah s.a.w. bukannya dipilih oleh sesiapa untuk menjadi pemimpin.

Baginda juga tidak memilih dirinya sendiri untuk menjadi pemimpin. Baginda telah dipilih oleh Allah agar dapat mendidik dan mentarbiyah manusia dengan tarbiyah Rabbani, menukar pemikiran dan peribadi manusia, menyampaikan perintah Rabbani kepada manusia dan melaksanakan urusan Rabbani itu melalui sesiapa yang menerima dan beriman kepada perintah-perintah tersebut.

Perkara ketiga dalam ajaran Rasulullah ialah supaya manusia percaya akan konsep ini di mana setiap manusia akan bertanggungjawab di hadapan Allah atas segala yang telah dilakukan semasa hidupnya.

Selama 13 tahun Rasulullah s.a.w. menyampaikan ajaran ini dan mereka yang menerima ajaran tersebut telah disatukan dalam satu jemaah (ummah), 

Semasa tiga tahun terakhir di Makkah, sekumpulan penduduk dari Madinah telah memeluk Islam lantas menjemput Rasulullah s.a.w. bersama-sama sahabatnya ke Madinah. Benarlah kata-kata Sayidatina Aisyah di mana beliau menyatakan yang Madinah telah ditawan oleh Quran.

Setelah mengetahui isi kandungan surah-surah yang turun di Makkah, mereka bukan sahaja menerima dan memeluk Islam tetapi mereka terus menjemput Rasulullah s.a..w. dan para sahabatnya untuk tinggal di kampung halaman mereka sendiri.

Jemputan ini bukan sahaja untuk memberi perlindungan kepada baginda, tetapi ialah supaya baginda menjadi pendidik mereka, pemimpin dan juga penyatu umat Islam di antara Makkah dan Madinah sebagai satu umat lantaran menegakkan satu sistem hidup di Madinah berlandaskan keimanan Islam yang telah mereka bulatkan. Inilah cara pemerintahan Islam yang ditegakkan pada hari pertama Rasulullah s.a.w. sampai di Madinah. 

Tugas utama pemerintahan itu ialah untuk menyampaikan ajaran Islam kepada penduduk seluruhnya. Memandangkan Islam itu adalah petunjuk dan ilmu yang Rabbani, kejahilan terhadap Islam itu adalah satu halangan ke arah jalan ini.

Rasulullah s.a.w. dan para sahabat telah bekerja sepenuh tenaga dalam usaha untuk memberi kefahaman kepada penduduk Madinah ketika itu dan seterusnya beriman dengan ajaran Islam.

Apabila kefahaman itu berkembang dan penduduk Madinah berpegang kepadanya, maka lama-kelamaan Islam pun berkembang dan mula menjadi kuat.

Tugas kedua Rasulullah s.a.w. ialah memurnikan akhlak masyarakat ketika itu berdasarkan akhlak yang tinggi lagi mulia. Tidak ada sistem pemerintahan pun yang akan berjaya jika pemimpinnya tidak mempunyai akhlak yang tinggi dan masyarakatnya tidak bertakwa dan amanah.

Keadaan ini akan terus berpanjangan walaupun sistem pemerintahan itu mempunyai perundangan yang baik dan pada zahirnya kelihatan hebat dan berkaliber. Itulah sebabnya, setelah mengajak supaya beriman kepada ajaran Islam dan seterusnya mengembangkannya, Rasulullah s.a.w. sangat menekankan persoalan ketakwaan dan akhlak yang mulia.

Asas yang penting di dalam sistem yang ditegakkan oleh baginda ialah menganjurkan akhlak masyarakat supaya menepati akan kehendak dan ajaran sistem tersebut. 

Keadaan ini tidak memerlukan penggunaan kuasa kekerasan untuk manusia tunduk dan patuh kepada undang-undang tersebut. Cukuplah apabila dikatakan di sini bahawa semua telah diperintahkan oleh Allah, maka terpulanglah kepada masyarakat untuk mematuhinya.

Pada zaman Rasulullah s.a.w. tidak ada pasukan polis (apatah lagi polis dunia seperti Amerika) dan tidak terdapat penjara-penjara. Tidak terfikir langsung akan keadaan di mana masyarakat menerima arahan daripada Rasulullah s.a.w. tetapi tidak mematuhinya.

Contohnya, kita ambil kes mengenai larangan meminum arak itu sendiri. Apabila dikhabarkan di kota Madinah yang arak itu haram, maka tempat menyimpan arak semuanya dipecahkan dan masyarakat Madinah terus berhenti meminum minuman tersebut.

Di sini, sejarah gagal untuk memberi contoh akan kepatuhan kepada undang-undang secara spontan. Malah, berjuta-juta dolar dibelanjakan di Amerika Syarikat untuk menjelaskan kepada masyarakat akan kesan buruk daripada arak itu sendiri.

Satu propaganda besar-besaran telah dilancarkan untuk tujuan tersebut. Dengan sambutan masyarakat, satu pembaharuan telah dibuat di dalam undang-undang Amerika Syarikat untuk meluluskan satu undang-undang mengharamkan arak.

Tetapi keesokan harinya masyarakat meminum pula minuman lain yang beracun dan berbahaya (di negara kita perokok tegar bertukar daripada rokok kepada vape). Perbuatan ini merebak dengan cepatnya di mana akhirnya undang-undang pengharaman arak tadi terpaksa ditarik balik.

Jadi, marilah kita membuat perbandingan ke atas dua keadaan yang berlaku tadi. Pertamanya, di mana arahan yang dikeluarkan telah dipatuhi dengan serta-merta. 

Keduanya di mana satu undang-undang telah digubal setelah satu perbelanjaan dan propaganda yang besar dijalankan yang disokong oleh masyarakat tetapi akhirnya mereka juga yang melanggarnya.

Ini jelas menunjukkan bahawa asas pada satu-satunya sistem pemerintahan adalah terletak kepada keimanan dan akhlak yang mulia. Jika kedua-dua asas ini tidak ada, maka satu-satu sistem pemerintahan itu tidak akan berjaya, walaupun undang-undang itu telah digubal dengan baik.

Dunia mahu memerangi keganasan tetapi pihak yang sama menyemai benih-benih keganasan, jadi mana mungkin masalah keganasan itu dapat diatasi! 

Thursday, December 10, 2015

Media, merdekalah daripada Umno BN!

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)


PRESIDEN Amanah, Mohamad Sabu dalam ceramahnya di Bukit Katil, Melaka 26 November lalu mengingatkan bahawa salah satu kongkongan kerajaan Umno BN yang masih belum 'dimerdekakan' adalah media massa.

Mohamad berkata 'kebebasan' media massa adalah penting dalam membuat perubahan. Beliau mengambil contoh pengamalan media massa Indonesia yang bukan saja berperanan penting ke arah perubahan bagi menjatuhkan diktator Suharto pada pengakhiran abad lalu malah sehingga kini termasuklah ketika berlangsungnya pilihan raya umum (Pemilu).

Presiden Amanah itu berkata perubahan termasuk dalam bidang media perlukan komitmen semua pihak..."dulu kita bekerja kuat untuk menghapuskan sekatan terhadap perhimpunan dan ceramah, sekarang kita sudah dapat hasilnya..." katanya mengambil contoh ceramah anjuran Amanah di Bukit Katil itu yang secara 'mata kasar' tidak kelihatan pun seorang anggota polis.

Dulu pada hampir setiap majlis pihak pembangkang sentiasa diawasi sejumlah anggota polis beruniform; tidak cukup dengan itu mereka membuat sejumlah sekatan jalan raya. Sekarang senario itu hampir tiada lagi...demikianlah kata Mohamad yang meminta rakyat bekerja kuat bagi 'membebaskan' media massa daripada belenggu Umno BN.

Bagi saya permintaan Mohamad agar rakyat terus berjuang bagi mengakhiri kongkongan pemerintah Umno BN bertepatan dengan perkembangan semasa yang mana pihak ini 'memperhebatkan' kezalimannya ke atas media massa apabila membuat pengumuman akan 'mengharamkan' semua media termasuk daripada apa didakwa media arus perdana daripada membuat liputan perhimpunan agung Umno tetapi kemudian menariknya semula.

Tindakan 'mempermain-mainkan' media oleh pemimpin Umno BN adalah 'suatu penghinaan' terhadap semua pihak yang terbabit dalam media. Apabila pihak ini mengumumkan sekatan kepada semua termasuk media arus perdana yang selama ini bagaikan 'kuda tunggangan mereka', mungkinkah mereka bermaksud 'mengisytiharkan perang' terhadap media massa? Namun apabila mula mendapat reaksi negatif termasuk akar umbi, mereka menjadi takut dan membatalkan sendiri larangan yang mereka buat.

Kepada semua petugas media massa bangkitlah daripada 'tidur nyenyak dan panjang'  kerana nampakya pemimpin tertinggi Umno BN tidak mempercayai anda...mereka 'mempermain-mainkan' dan 'memperkudakan' anda untuk kepentingan nafsu serakah masing-masing...anda hanya berguna apabila diperlukan, apabila anda 'tidak berguna lagi' mereka mencampakkan anda ke dalam tong sampah.

Ya, wahai petugas media...tunggu apa lagi? Lakukanlah perubahan...marilah kita bersama-sama mengakhiri belenggu Umno BN. Jika anda mahukan contoh, media massa Indonesia boleh dijadikan teladan. Ketika zaman Suharto mereka seolah-olah 'penjilat' tetapi pada akhir pemerintahan diktator ini mereka 'berpusing 360 darjah'. 

Dulu media Indonesia tidak berani menjalankan peranan ‘check and balance’, kerja mereka banyak mengampu atau menjadi ‘yesman’ atau jurucakap pemerintah sahaja. Bagaimanapun selepas kebangkitan rakyat, media massa berubah mendadak,  daripada pro-rejim Suharto mereka menjadi pro-rakyat.

Media terutama akhbar menyuntik dan menaikkan semangat rakyat untuk menuntut keadilan bagi semua. Suharto akhirnya tumbang bagi membolehkan pilihan raya yang dianggap telus diadakan membawa kepada kepada pemilihan tokoh seperti BJ Habibie, Gus Dur, Megawati  Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) dan kini Jokowi sebagai Presiden.

Demikian juga jika dikaji perkembangan media massa tanah air sebelum negara mencapai kemerdekaan. Akhbar-akhbar awal Tanah Melayu seperti Jawi Peranakan, Majlis dan Utusan Melayu sendiri menyemarakkan semangat anak watan ke arah pembebasan daripada belenggu penjajahan.

Kini pada ketika negara-negara dunia mengorak langkah ke arah kebebasan maklumat, pemerintah Umno BN mahu 'memperbodoh' rakyat terutama media massanya dengan 'mengharamkan' mereka membuat liputan perhimpunan agung Umno. Kemudian selepas takut menanggung risikonya, barulah ditarik balik larangan itu. Nampaknya mereka tidak jujur tetapi bertindak berdasarkan kepentingan diri sendiri saja.

Kita bertanya apakah hebat sangat perkara yang hendak dibincangkan sehingga pada mulanya liputan media diharamkan? Apakah rakyat mahu dijadikan katak di bawah tempurung pada era langit terbuka ini? Seolah-olah Umno BN menyimpan bangkai gajah dan mahu menutupnya dengan nyiru...ya cuba-cubalah tutup tetapi percayalah bau busuknya tetap akan tersebar ke seantero dunia!