Monday, August 29, 2011

Ramadan yang kita tinggalkan...

*** Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *********************************************** Renungan ********************************************** Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada 1,000 bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhahnya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar." (Al-Qadar, Kemuliaan, Ayat 1-5)********************************* RAMADAN pergi jua. Aidilfitri juga akan datang dan pergi. Bulan dan musim silih berganti. Manusia pun begitu. Seorang sepupu saya meninggal Ahad, 21 Ogos bersamaan 21 Ramadan lalu. Sama tarikh dengan pemergian penulis terkenal Azizi Abdullah. Buku Azizi, 'Senja Belum Berakhir' sudah saya 'khatam' di bangku sekolah rendah lagi. Ertinya nama Azizi sebagai penulis sudah terpahat di hati saya sejak puluhan tahun lalu. Terpesona saya dengan kisah dalam buku Azizi itu yang berkisar masalah kehidupan petani di negeri Jelapang Padi.********************************************** Sepupu saya itu dan Azizi sudah kembali ke pangkuan Ilahi, kita juga akan menyusul. Mungkinkah ini Ramadan kita yang terakhir? Pertanyaan inilah yang mengusarkan hati. Bayangan hari kematian diri sendiri sudah bermain-main di mata. Bagaimana diri ini terkapar di ruang tamu rumah, kemudian dimandi, kafan seterusnya dipikul ke masjid untuk disembahyangkan dan kemudian ke kubur untuk disemadikan. Dalamnya kubur, enam kaki diri ini dimasukkan ke dalam bumi. Kemudian diri ini dikambus, orang di atas memijak dan menginjak tanah; maka gelap, pekat dan hitamlah suasana menyelubungi diri ini.***************************** Siapa yang dapat menyelamatkan diri ini? Tiada siapa. Hanya Yang Maha Kuasa. Jadi cahayakanlah pekat kegelapan kubur itu dengan memohon kepada-Nya.Bertahajud, bertaubat, bertasbihlah, menangis dan merintih pada-Nya ketika kegelapan malam terutama 10 hari terakhir Ramadan ini, moga-moga ada belas kasihan-Nya, adalah cahaya untuk diri ini di alam abadi nanti. Bunyinya mudah, tetapi hakikatnya tidak begitu. Mengapa diri ini tidak mudah untuk mengalirkan air mata apatah lagi merintih teresak-esak memohon keampunan-Nya?********************************************** Mungkin seorang anak saya ketika berusia enam tahun dan dalam tadika Pasti (kini dia sudah berusia sembilan tahun), mempunyai sebahagian jawapannya apabila berulang-ulang kali memberitahu saya dan anggota keluarga yang lain: "Ayah, banyak makan dan tidur hati menjadi keras." Itulah modal yang kerap diucapkannya ketika saya atau anggota keluarga lain tidur pada siang hari atau makan dengan banyak ketika berada di meja makan. Mungkin cikgu di Pastinya sering mengingatkan begitu, jadi dilakonkannya semula sketsa itu di rumah.***************************************************** Betulkah hati ini sudah jadi keras? Usah cari alasan, mengakulah saja. Ya,. benar hati ini sudah keras kerana terlalu mementingkan hal ehwal keduniaan dan keseronokannya seperti makan dan tidur itu. Mengaku lebih baik kerana ia jalan mudah bagi memuhasabah diri. Apabila sudah sedar diri ini tidak betul maka carilah ubatnya. Ubatnya bukan di tangan doktor tetapi mulakan langkah 'mewakafkan' diri di masjid. Renung dan tenunglah diri di dewan solat masjid yang luas tanpa perabot dan TV yang menyesak dada dan memekakkan telinga seperti di rumah itu. Malah TV mengundang panahan syaitan ke biji mata, lantas 'mana bisa' kita boleh mengkoreksi diri dalam suasana begitu jika kita mahu berterusan 'enak-enak' di rumah.****************************************** Apabila ada majlis ilmu, dengar baik-baik apa yang ustaz-ustaz itu cakapkan. Ikutilah juga majlis 'bayan' budak-budak tabligh. Mereka mungkin mengulang-ulang pengajian ini. Dalam diri manusia itu ada segumpal daging, jika baik anggota itu baiklah manusia itu. Ketahuilah, itulah hati. Kenapa hati kebanyakan orang sudah jadi gelap dan hitam? Ini adalah kerana dosa-dosa yang dilakukan. Dosa-dosa ini akan menumpuk, membentuk titik-titik hitam di hati, lama kelamaan keseluruhan hati akan menjadi hitam, tiada cahaya.********************************************** Jadi sedarlah diri kita sendiri bahawa hati kita sudah hitam legam. Dengan adanya kesedaran, ia sudah cukup bagus, tetapi bagaimana mahu membersihkan kembali hati itu yang asalnya memang suci kerana seseorang itu lahir (bayi) dengan keadaan fitrah? Ada ustaz mengumpamakan hati hitam itu sebagai periuk yang sudah hitam keterlaluan yang memerlukan berus khas. Lagi hitam lagilah 'power' berus yang diperlukan. Barulah dapat dihilangkan jelaga dan kekotorannya. Itu pun secara beransur-ansur dan memerlukan tenaga yang banyak.****************************************** Demikian juga dengan hati. Hati perlu diberus supaya bersih. Bukan sekali, tetapi secara berkekalan (istiqamah). Masa terbaik melakukannya adalah pada Ramadan. Inilah masanya Allah turunkan rahmat, pengampunan dan menyediakan kesempatan terbaik untuk seseorang bebas daripada api neraka. Iblis syaitan juga diikat, jadi terbukalah peluang terbaik untuk membersihkan atau menyental (bagi hati yang sudah terlalu hitam) bagi mengembalikannya kepada fitrah.************************************** Namun apa hendak dikata, Ramadan kali ini sudah beransur pergi, meratap air mata sekalipun ia tak akan kembali. Jika kita sudah bermanfaatkan sepenuhnya Ramadan kali ini bersyukurlah, tetapi percayalah manusia tetap menyesal di atas perlakuan masa lalu mereka sehingga orang yang gugur syahid pun ingin kembali ke dunia untuk mati syahid sekali lagi.******************************************* Ramadan saya, dan Ramadan pembaca juga sudah pergi, tiada siapa tahu mungkin Ramadan ini adalah yang terakhir, kita menangisi pemergiannya, berdoalah kita agar sampai ke Ramadan berikutnya. Akhir kalam, SELAMAT MENYAMBUT AIDILFITRI, HARAP DIMAAF dan DIAMPUNI SEGALA KESILAPAN dan KESALAHAN, Amin Ya Rabbalalamin.

Friday, August 26, 2011

Pasang atau kibar bendera sudah patriotik?

*** Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.**************************Renungan***********************"Ya, Tuhan kami, janganlah Engkau sesatkan hati kami, sesudah Engkau tunjuki dan berikanlah rahmat kepada kami, dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Banyak Pemberian (Pemberi). - Surah Ali Imran, Ayat 8************************************* HUJUNG Ogos ini berlaku suatu 'keunikan' kerana Hari Raya Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan jatuh pada tarikh hampir sama. Jadi kepada pembaca diucapkanlah Selamat Menyambut Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan negara yang ke-54. Tanggal 31 Ogos datang lagi, dan sekali lagi pemimpin negara berbuih mulut mendesak rakyat mengibar Jalur Gemilang termasuklah di kenderaan. Namun sambutan pemilik kenderaan (setakat artikel ini ditulis pada 22 Ogos) terlalu hambar. Semalam (21 Ogos) ketika saya 'berkereta' hampir sehari suntuk termasuk menempuh perjalanan di lebuh raya Utara-Selatan, saya hanya nampak sebuah teksi dengan sebuah bendera kecil di bumbungnya. Pemilik kenderaan nampaknya tidak peduli untuk memasang bendera. Kenapa?******************************************* Dulu, seorang menteri berkata, tidak kibar bendera bermakna tidak patriotik, tidak sayang dan cintakan negara. Jadi adakah ini bermakna semakin ramai rakyat tidak patriotik kepada negara ini?***************************************************** Memang betul, mengibarkan bendera pada hari kebangsaan adalah antara petanda bersifat patriotik. Bagi saya mereka yang bertindak begitu (memasang bendera) sudah berada di landasan yang betul namun saya kurang senang dengan sikap sesetengah orang atau pihak yang mengada-ngada, menunjuk-nunjuk dan membazir dalam perlakuan mereka seperti memasang sehingga 40 bendera di bumbung kereta, membuat bendera Malaysia paling panjang atau terbesar di dunia dan membuat kolam berlambangkan bendera Malaysia yang terbesar.************************************************************ Saya tidak tahulah kecenderungan ini diajar oleh siapa, tetapi bagi saya cukuplah wahai pemimpin dan petugas media massa, janganlah lagi 'memberi muka' sangat kepada orang yang gilakan publisiti murahan ini. Cukuplah, janganlah nak memperbanyak lagi usaha memecah rekod tidak berfaedah seperti membuat ketupat paling besar di dunia, membakar lemang terpanjang di dunia dan menjahit bendera Malaysia yang terpanjang di dunia dan kemudian memasangnya di Tembok Besar China!*************************************** Bagi saya cukuplah memasang bendera kecil, tetapi seseorang itu tahu menjalankan peranannya sebagai rakyat yang bertanggungjawab kepada agama, negara, bangsa dan keluarga, setiap orang yang telus dan ikhlas dalam menjalankan tugas masing-masing sudah memenuhi kehendak itu. ******************************************************* Seorang guru bersikap patriotik jika dia menjalankan tugasnya sebaik mungkin. Tetapi jika kerap ponteng, tidak menjalankan amanah, menyemai benih kebencian di sekolah, dia bukan saja tidak patriotik, tetapi dia seorang pengkhianat. Dia tetap seorang pengkhianat sekali pun dia mengibar sebuah bendera besar di depan rumahnya sempena Hari Kebangsaan. ************************************************************ Seorang pemimpin bersikap patriotik jika dia menjalankan tugasnya dengan penuh amanah. Pemimpin adil yang takut balasan Allah SWT yang disegerakan di dunia dan akhirat adalah mereka yang patriotik.Pemimpin perasuah, kaki kroni, kaki temberang, kaki 'jail'kan orang tidak bersalah, kaki maksiat dan pelbagai kaki lagi, tidak juga bersikap patriotik sekali pun mereka dengan 'muka munafik' mengibarkan bendera, menyanyikan lagu kebangsaan atau terpekik terlolong, menjerit 'merdeka! merdeka! merdeka!' Dia sebenarnya adalah pengkhianat bangsa, munafik agama dan kemungkinan besar syaitan bertopengkan manusia kerana merompak khazanah negara (perasuah), membeli atau menipu undi dalam pilihan raya sekalipun di depan rumahnya berkibar bendera Jalur Gemilang gergasi.************************************************************ Seorang tukang sapu sampah bersikap patriotik jika dia tekun dalam pekerjaannya. Dia tahu tugasnya membersihkan kota dan bandar besar manfaatnya bukan saja dari segi keduniaan tetapi juga akhirat. Bukankah Nabi Muhammad s.a.w. bersabda antara cabang iman ialah membuang duri di jalanan. ************************************************ Jadi seorang tukang sapu atau pencuci tandas adalah seorang yang patriotik jika dia menjalankan tugasnya penuh amanah. Seorang tukang sapu atau pembersih adalah pengkhianat kepada agama dan bangsa jika dia gemar mencuri tulang, tidak amanah dan sebagainya sekali pun dia mengibar Jalur Gemilang dengan megah di motosikalnya.****************************************************************** Seorang ayah atau ibu bersikap patriotik jika menghabiskan usianya untuk mendidik anak-anaknya agar jadi insan berguna yang patuh kepada Allah SWT. Seorang ibu tidak dikelaskan sebagai patriotik jika dia mencampakkan anaknya ke dalam tong sampah atau membiarkan anak yang baru dilahirkan di tangga masjid. Sekali pun si ibu tadi mengibar bendera pada Hari Kebangsaan, berarak penuh gaya dan menari penuh lincah di pentas hiburan pada hari tersebut atau pun muncul di TV melaungkan 'merdeka, merdeka, merdeka', dia sebenarnya adalah pengkhianat bangsa dan negara. *************************************************** Seorang wartawan dan penulis juga bersikap patriotik jika dia menjalankan tugasnya penuh amanah. Semuanya dilakukan berpandukan hukum-hakam yang ditetapkan agama. Dia takut untuk menulis dengan tujuan mengampu, mengejar pangkat atau mencari nama seperti yang sering dititipkan orang - 'aku menulis bukan kerana nama'.************************************** Seorang penulis tidak ada nilainya, tidak ada langsung sifat patriotiknya, jika dia menerbitkan tulisan yang menghina agama dan bangsanya. Dia sebenarnya adalah pengkhianat sekali pun dia menguar-uarkan betapa besar jasanya dengan mengibar Jalur Gemilang di pejabat akhbarnya. ****************************************************** Seorang ustaz bersikap patriotik jika dia mengamalkan apa yang diajarkannya. Dia mengajar bukan untuk mengejar ringgit tetapi keredaan Allah SWT. Dia takut terjatuh dalam kategori golongan munafik apabila berceramah dan bercakap tidak sama perbuatan.********************************************************* Dia takut termasuk dalam golongan 'cakap tak serupa bikin'. Dia takut termasuk golongan ulama jahat yang mengejar dunia dengan segala keindahannya - pangkat, kemasyhuran, nama dan sebagainya. Ustaz jenis ini tiada sikap patriotiknya jika dia menyuruh 1,000 anak muridnya mengibarkan Jalur Gemilang.************************************* Kesimpulannya, semua orang tidak patriotik jika lupakan Penciptanya - Allah SWT. Hanya orang yang taat perintah Tuhannya adalah orang patriotik kerana dia tahu Allah SWT sentiasa mengawasinya.*************************************************** Apabila seseorang itu 'dikawal' oleh hukum-hakam yang ditetapkan Allah, tidak menjadi masalah baginya, sama ada seorang sultan, raja, perdana menteri, menteri, pegawai, ustaz, wartawan, tukang sapu, penggiat budaya atau anak wayang untuk taat dan cinta pada negara, bangsa, keluarga dan dirinya sendiri. ***************************************** Akhirnya, semua orang tidak patriotik dan hidup sia-sia kecuali orang yang berpegang kepada firman Allah SWT melalui Surah Asr yang bermaksud - demi masa, sesungguhnya semua manusia dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman, beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Wednesday, August 24, 2011

Krisis Somalia dedah kepincangan ummah

***********Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Renungan "Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) ******************** KIRA-KIRA 20 tahun lalu, dunia Islam menangisi tragedi berdarah di Bosnia Herzegovina. Dilaporkan puluhan ribu orang Islam menjadi mangsa kerakusan gerila Serb termasuk pemimpin Serbia-Montenegro seperti Slobodan Milosevic yang gila mahu menghidupkan negara Yugoslavia.**************** Penderitaan ummah di negara Balkan itu seolah-olah tidak didengari oleh kebanyakan negara dan umat Islam lain. Hal ini difahami kerana Bosnia dan jirannya yang mempunyai majoriti umat Islam - Albania - terletak di tengah-tengah benua Eropah. Nama Bosnia pun begitu asing kepada kebanyakan umat Islam sehingga tercetusnya peristiwa pahit itu yang menyedarkan ummah bahawa ada saudara mereka hidup tersepit di kalangan bangsa Eropah lain.************** Sekalipun tragedi Bosnia adalah antara peristiwa hitam paling pahit dialami umat Islam, pembabitan orang Islam dan pertubuhan yang memayungi ummah - Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) adalah pada tahap minimum.*************** Kumpulan Penghubung OIC yang turut dianggotai oleh Malaysia ketika itu, sekalipun bekerja keras membantu memulihkan keadaan di Bosnia terutama pada peringkat akhir konflik, pembabitannya terhalang antara lain disebabkan pengaruh kuasa besar dunia Amerika Syarikat dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dalam isu berkenaan. Amerika dan Nato terbabit dalam percaturan politik Eropah yang ketika itu masih merasai kesan kehancuran Soviet Union dan blok komunis Eropah Timur. Sebarang campur tangan dalam krisis Bosnia dilihat sebagai terbabit dalam konflik era pasca keruntuhan Soviet Union yang memungkinkan Amerika menjadi kuasa tunggal dunia. ***************Berdasarkan situasai berkenaan, kita tidak hairan jika OIC 'tidak habis-habis dengan agenda pertemuan pemimpinnya di meja bulat' untuk membincangkan isu Balkan tetapi tanpa melakukan tindakan yang boleh dibanggakan. Sejak beberapa tahun lalu pula, OIC juga difahami tidak berupaya menangani isu keganasan antarabangsa yang akhirnya membawa kepada pencerobohan negara Afghanistan dan Iraq oleh Amerika kerana ia dianggap konflik politik. Dalam percaturan politik 'yang berkuasa itulah yang benar', oleh itu pihak lain langsung tidak berani bersuara.************** Malangnya dalam tragedi tidak membabitkan konflik politik seperti tsunami yang menghancurkan beberapa kawasan di Asia Selatan dan Asia Tenggara pada tahun 2004 dulu, OIC dan sesetengah negara umat Islam terus dengan 'sikap lama'nya iaitu tidak bertindak proaktif bagi meringankan penderitaan saudara seagama mereka. Hampir 200,000 orang dilaporkan sudah mati di Aceh, sebuah wilayah yang dikenali 'Serambi Makkah', tetapi bantuan daripada OIC dan negara Islam tidak kunjung tiba.Apakah alasan yang hendak diberi?************* Adakah ini disebabkan keterbatasan atau ketidakupayaan dari segi politik? Adakah bencana alam ini juga membabitkan percaturan politik sehingga OIC dan negara dan umat Islam lain tidak berani campur tangan? Bumi terbabit (Aceh/Indonesia) juga negara Islam, jadi apakah yang menghalang mereka daripada menghulur atau menyegerakan bantuan? Terbaru sebuah lagi negara Islam Somalia dan negara-negara di Tanduk Afrika dilanda kemarau panjang yang menyebabkan jutaan penduduknya dilanda kebuluran.***************** Sama seperti bencana tsunami yang melanda Aceh, penderitaan di Somalia bukanlah konfil politik yang mungkin mengehadkan OIC, negara dan umat Islam untuk menghulurkan bantuan, tetapi nampaknya tragedi Aceh kembali berulang.****************** Orang Islam, terutama yang menghuni negara kaya raya tidak ambil peduli, penderitaan sesama Muslim di Tanduk Afrika mungkin dianggap terlalu jauh dari mereka. Kini umat Islam berada dalam bulan Ramadan yang mulia, sungguh kontras kehidupan mereka dengan orang-orang kaya di negara seperti Kuwait dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) berbelanja dengan begitu mewah sekali sehingga ada laporan menyatakan di UAE sebanyak 50 tan makanan dibuang ke dalam tong sampah sepanjang Ramadan, di Somalia, penduduknya "bukan berpuasa pada bulan Ramadan saja tetapi sudah melakukannya sejak berbulan-bulan lalu." Mereka tiada makanan, tetapi makanan daripada negara dan umat Islam yang kaya-raya tidak jua kunjung tiba. ****************** Jika dikaji bantuan bagi mangsa tsunami dulu, daripada AS$2 bilion (RM7.6 bilion) disumbangkan, pemberi utama adalah di kalangan negara bukan majoriti umat Islam seperti Jepun (AS$500 juta), diikuti Amerika Syarikat (AS$350 juta) dan Britain (AS96 juta) dan sebagai perbandingan negara Islam/Arab yang kaya seperti Arab Saudi menyumbangkan AS$10 juta, Kuwait juga AS$10 juta dan UAE (AS$2 juta). ****************Oleh itu adalah wajar perubahan drastik dilakukan bagi menyedarkan umat Islam akan penderitaan saudara seagama kerana ummah bagaikan satu tubuh, jika satu anggota sakit seluruh badan akan menanggung penderitaan!