Tuesday, January 8, 2019

Usah dibazir wang rakyat...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

SELAMAT Tahun Baharu. Semoga diberkati Illahi dan dipanjangkan usia. Berbekalkan semangat tahun baharu, diharapkan pemimpin dan rakyat dapat bergandingan bahu membangunkan negara ke peringkat tertinggi; antara perkara terpenting memberikan keselesaan kepada rakyat terbanyak.

Kepada pemimpin, kurangkan atau lebih baik lagi meminimumkan 'politiking' apatah lagi yang bersifat kepartian atau perkauman. Menjelang tahun baharu pun, ramai tokoh termasuk Presiden KEADILAN, Saudara Anwar Ibrahim dan bekas menteri, Daim Zainuddin mengingatkan agar nasib rakyat marhaen dibela bukan asyik menyalahkan rejim lama.

Ya, ringankan bebanan rakyat. Kasihan mereka, sempena tahun baharu ini sebahagian besar daripada ketua keluarga dan pasangan mereka telah banyak berkorban termasuk dari segi kewangan seperti menyediakan peruntukan besar untuk menyekolahkan kembali anak-anak, 

Ini diikuti perbelanjaan 'besar' musim perayaan - Tahun Baharu Cina akan disambut tidak lama lagi...demikianlah banyak keperluan kewangan perlu disediakan sesebuah keluarga khasnya ketua keluarga.

Untuk membantu rakyat, kerajaan (pemimpin) perlu berwaspada dalam perbelanjaan negara. Kurangkan atau boleh hapuskan pembaziran. Berbelanja hanya pada yang benar-benar perlu saja...ya adalah perlu untuk agensi kerajaan berjimat cermat dalam membelanjakan wang rakyat.

Dulu, kita amat-amati setiap hujung tahun hampir semua institusi, agensi dan jabatan kerajaan ‘membalun’ habis-habisan peruntukan kewangan masing-masing, semuanya perlu dihabiskan sebelum permulaan tahun baharu. Akan timbul pelbagai istilah kurang menyenangkan seperti “jika wang diperuntukkan tidak dihabiskan bermakna institusi berkenaan tidak tahu berbelanja” dan “lecehlah mahu buat kira-kira bagi mengembalikan wang peruntukan itu kepada Perbendaharaan.” 

Akibat daripada kecenderungan ini, kita perhatikan wang rakyat dihamburkan tidak tentu hala, banyak projek yang tidak diperlukan dijayakan pada saat-saat akhir. Jalan raya yang baik ditar semula, longkang yang sudah baik saliran airnya dipecahkan dan dibikin baru, demikian juga dengan tandas masjid dipecahkan dan di atas runtuhannya dibikin tandas baru. 

Bagi kakitangan jabatan pula terlalu banyak program dijayakan pada hujung tahun, termasuklah lawatan sambil belajar dan seminar dan pertemuan yang dirasakan tidak perlu tetapi semata-mata untuk menghabiskan semua peruntukan kewangan yang telah diterima. Ada pegawai yang begitu sukar ditemui pada bulan Disember kerana mereka kerap mengikuti program-program dianjurkan jabatannya. 

Bagi kita menghabiskan semua wang peruntukan ini bagi menghadapi tahun baharu termasuk melaksanakan projek-projek tidak perlu dengan alasan kononnya “pandai dan bijak berbelanja” adalah kecenderungan buruk yang wajar diperhalusi dan diberhentikan. 

Berbelanja ‘sakan’ pada hujung tahun menjayakan projek tak perlu adalah bertentangan dengan konsep jimat cermat yang bukan hanya perlu diterapkan kepada diri dan keluarga (duit sendiri) tetapi juga semua pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan yang diamanahkan membelanjakan wang rakyat. 

Apakah seseorang ketua keluarga (biasanya suami) yang pada setiap hujung tahun akan berhabis-habisan menghamburkan lebihan wang peruntukan untuk keluarga untuk projek-projek tidak berfaedah semata-mata untuk mendapat gelaran ‘pandai berbelanja’ adalah seorang ‘bijaksana’ berbanding seseorang yang mengumpul wang lebihan itu melaksanakan pelbagai aktiviti berfaedah pada tahun-tahun berikutnya?

Bagi kita mereka yang mengambur-hamburkan wang ini tersasar jauh daripada konsep berjimat cermat serta amanah dalam apa-apa pemberian anugerah Allah SWT kepada mereka. 

Berhubung dengan tindakan berhati-hati dan berjimat cermat dalam mengguna serta menguruskan wang rakyat ini, kita tertarik dengan sebuah laporan bergambar dari London tidak lama dulu yang menunjukkan Ratu Elizabeth II dalam satu mesyuarat Kabinet British di No 10 Downing Street, sanggup duduk di kerusi ‘biasa’ bersebelahan Perdana Menterinya dalam sebuah bilik ‘yang biasa-biasa saja’.

Berdasarkan situasi ini, dapat kita simpulkan betapa orang Barat (termasuk pemimpinnya) amat berhati-hati dalam segala hal berkaitan dengan wang rakyat. Mereka dipertanggungjawabkan di atas setiap sen wang rakyat yang mereka gunakan untuk perbelanjaan kerajaan. Mereka tidak menghamburkan wang rakyat untuk melaksanakan projek mengikut suka hati masing-masing kerana semuanya akan direkodkan dan ada kira-kiranya. 

Kita berpendapat adalah mustahil Ratu Elizabeth dan anggota Kabinet British tidak mampu untuk mendapatkan kerusi dan bilik yang gah dan mewah tetapi itulah kelebihan mereka – mereka kelihatan bersederhana sekali walaupun berada di kedudukan tinggi; wang rakyat tidak akan sesekali mereka persia-siakan! 

Saturday, January 5, 2019

Jangan lari... (24): Berjaya, kecundang adalah cerita biasa manusia...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)
SELAMAT menyambut tahun baharu 2019. Pada hari-hari terawal tahun baharu ini, adalah bermanfaat kita merenung dan bermuhasabah prestasi kita sepanjang tahun lalu, terutama usaha kita untuk mendekati Yang Maha Kuasa.
Sebagai makhluk-Nya yang lemah, ada kehendak dan impian kita tercapai dan ada yang tidak. Ya, pada tahun lalu betapa banyak azam kita tidak tercapai-capai jua. Kita merancang, yang menentukannya Allah SWT.
Tidak lama dulu, ketika tertonton 'highlight' (babak menarik) sebuah drama Cina di televisyen, tersentak hati saya sebentar ketika mendengar perbualan dua gadis. Seorang daripadanya merungut-rungut kerana banyak kehendaknya tidak tercapai. Jawapan si temannya mengejut dan menyentak jiwa saya. Antara lain katanya, "kalau kamu mahu semua kehendak kamu dipenuhi kamu jadilah tuhan!"
Ya, Allah-lah Yang Berkuasa, kita tidak ada (punya) apa-apa. Tidak semena-mena saya menjadi insaf...sekalipun kata-kata ini diucapkan oleh seorang gadis Cina tanpa tauhid, terasa terpukul diri ini bahawa kita ini hanya HAMBANYA; Namun kita 'berlagak', berperasan kita boleh buat itu dan ini, berperasan kita berjaya kerana usaha kita.
Kita terlupa Allah SWT-lah penentu segala-galanya. Dia boleh memberi kita berjaya atau tidak, Dia juga penentu sama ada kita boleh mendapatkan sesuatu atau tidak. Semuanya terletak pada-Nya...namun kita selalu terlupa. Kita nakkan berjaya saja, tak dapat terima gagal atau segala perkara yang dianggap negatif lain seperti jatuh sakit, dibuang kerja dan hilang pangkat dan jawatan.
Adakah dalam hidup ini kita mahu terima yang 'best' (baik-baik saja)?Benarkah kehidupan di dunia ini ada bahagia selama-lamanya? Semakin tuanya diri ini, semakin sedarlah saya bahawa kehidupan ini sebenarnya dilalui secara pergiliran - ada kehendak kita dipenuhi ada yang tidak; ada bahagia ada derita, ada senang ada susah, ada masa gembira dan ada masa berduka - semuanya berlangsung silih berganti ibarat siang dan malam; gelap dan terang. 
Pemikir Melayu-Islam yang tersohor di Nusantara, Allahyarham Buya Hamka dalam salah sebuah buku yang pernah saya baca (tak ingat lagi tajuknya) ada mengungkapkan bahawa jika kita melihat istana yang tersergam indah; janganlah ingat di dalamnya penghuninya sentiasa hidup berbahagia dan bersukaria - di sana juga ada derita dan air mata! Jadi janganlah kita tertipu dengan apa yang kita lihat. 
Hidup adalah satu perjalanan menuju noktahnya, kematian. Masalahnya kita tidak tahu bila dan bagaimanakah noktah itu. Apa saja boleh berlaku dalam perjalanannya;ada ulama mengkategorikan kehidupan seperti berikut: kita bermula dengan baik tetapi bertukar buruk dan akhirnya mati dalam kejelekan (su'ul khatimah); kita bermula dengan buruk tetapi hujung hayat menjadi baik dan mati dalam kebaikan (husnul khatimah); kita bermula dengan baik dan mati dalam baik (inilah yang terbaik) dan kita bermula dengan buruk dan mati pun dalam keadaan buruk (ini paling teruk). 
Kemudian ada sebuah hadis menyebut: Daripada Abu Abdurrahman Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata: beliau diberitahukan Rasulullah s.a.w. bersabda: "...Sesungguhnya salah seorang antara kamu beramal amalan ahli syurga sampai antara dia dengan syurga tinggal sejengkal, kemudian didahului ketentuan sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka dan masuklah ia ke dalam neraka; dan salah seorang kamu melakukan amalan ahli neraka sampai antara dia dan neraka tinggal sejengkal, kemudian didahului ketetapan, sehingga dia melakukan amalan ahli syurga sehingga dia masuk ke dalam syurga.“ - Imam Bukhari
Ya, wahai pembaca, kita tidak tahu nasib kita pada masa depan; jadi pada kesempatan ini inginlah saya yang daif ini mengingatkan diri sendiri dan pembaca usahlah kita berlagak sombong mengecop seseorang itu banyak dosalah; dia, hatta bekas mayat dia pun tidak layak dibawa pulang dan sebagainya kerana sebagai insan serba lemah kita tidak tahu hakikat seseorang termasuk dia sudah beriman atau tidak; yang tahu hanya dia dan Allah SWT saja. 
Bukankah kita sudah biasa mendengar taubat seorang penjahat yang telah membunuh 99 orang; kemudian melengkapkannya menjadi 100 orang; tetapi taubatnya diterima Allah SWT dan dia dimasukkan ke dalam syurga; jadi apakah kelayakan kita untuk berkata itu dan ini mengenai seseorang itu sedangkan dosa kita sendiri bertimbun; sekarang ini Allah SWT 'sembunyikannya' jika Dia 'mendedahkannya' habislah kita! Kemudian kita juga tahu ada 'ahli syahid' yang dihumbankan ke neraka! 
Kita perlu sedar dunia dan segala isinya sentiasa berubah. Ada pasangan yang bahagia pada awal perkahwinan, kemudian kerap berlaku 'perang Teluk' yang membawa kepada perceraian. Pasangan yang kekal ke akhir hayat pun bukan sentiasa 'happy' saja; ada masa bahagia ada masa derita - bukanlah peribahasa Melayu ada menyebut "sedangkan lidah lagi tergigit ini pula suami isteri..." 
Ya, dunia sentiasa berubah dan sejarah (dunia) biasanya dirakamkan oleh pihak yang menang (berkuasa). Ada sebuah peribahasa Afrika berbunyi: “Until lions have their historians, tales of the hunt shall always glorify the hunters” (sehinggalah sang singa mempunyai penulis sejarah, kisah perburuan akan hanya menggambarkan kehebatan si pemburu). 
Kini kita digembar-gemburkan segala yang muluk-muluk mengenai si pemburu; singa di hutan siapa peduli? Pemburu berlagak 'hero' sedangkan di hutan tadi, dia lari lintang pukang menyematkan diri hanya selepas mendengar bunyi 'deheman' raja rimba. Tetapi di kampung, dia berlagak, bercerita dia telah menikam sang singa!  

Tuesday, January 1, 2019

Siapa 'merana' jika liabiliti atasi aset (seperti kes TH)...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)

APABILA berlaku pendedahan bahawa aset keseluruhan Tabung Haji (TH) pada 2017 adalah sebanyak RM70.3 bilion manakala liabilitinya sebanyak RM74.4 bilion, saya mencari Kamus Dewan bagi mencari definisi aset dan liabiliti.

Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan aset sebagai wang tunai dan harta benda (seperti tanah, bangunan dan sebagainya) yang dimiliki seseorang (sesebuah syarikat, pertubuhan dan sebagainya).

Manakala liabiliti didefinisikan sebagai jumlah hutang yang perlu dijelaskan dengan wang, barang dan sebagainya. Kamus Pelajar Edisi Kedua pula mendefinsikan liabilti sebagai nilai tanggungan atau hutang seseorang atau sesebuah syarikat dan sebagainya kepada orang (syarikat) lain. 

Berdasarkan ini, adakah dapat disimpulkan bahawa harta (aset) TH adalah sebanyak RM70.3 bilion manakala hutangnya (liabiliti) RM74.4 bilion? Adakah ini bermakna kedudukan TH 'goyah' sekali gus 'mengiyakan' laporan akaun TH menunjukkan defisit sebanyak RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata dengan kedudukan kewangan sebenar TH pada tahun tersebut, pengisytiharan serta pembayaran hibah bagi tahun 2017 telah melanggar Akta Tabung Haji 1995.
Dr Mujahid berkata, akta tersebut khusus mengenai pembayaran hibah. Terdapat dua syarat yang perlu dipenuhi sebelum pembayaran hibah boleh dilakukan iaitu aset tidak boleh kurang daripada liabiliti serta perlu ada keuntungan yang boleh diagihkan.
TH telah mengisytiharkan hibah sejak 2014 dan ia tidak mengikut akta kerana asetnya kurang daripada liabiliti. Pada tahun itu hibahnya 6.25 peratus dengan bonus 2.00 peratus, manakala pada 2015, 5.00% hibah + 3.00% bonus; pada 2016, 4.25% hibah + 1.50% bonus manakala tahun 2017 4.50% hibah + 1.75% bonus.
Berbicara mengenai hutang seseorang atau sesebuah syarikat itu lebih besar daripada hartanya, teringat saya mengenai kelas pengajian ilmu faraid yang saya ikuti saban minggu di sebuah masjid berhampiran rumah saya.
Mutakhir ini ustaz menerangkan bagaimana menguruskan harta pusaka si mati. Sebelum memfaraidkan harta pusaka oleh waris, perlulah dibereskan daripada harta si mati beberapa urusan seperti belanja mengurus jenazah, kemudian dibayar hutang kepada Allah (seperti fidyah puasa dan badal haji) serta hutang sesama manusia, kemudian diselesaikan harta sepencarian membabitkan isteri/suami dan apabila semua perkara-perkara berkaitan dapat dibereskan, barulah harta si mati dibahagikan mengikut hukum faraid. 
Ustaz itu kemudian memberikan contoh pengiraan pembahagian harta pusaka. Tidak menjadi masalah besar jika harta pusaka si mati mengatasi hutangnya tetapi apa akan terjadi jika hutangnya lebih banyak daripada harta yang ditinggalkan, tentunya pewaris akan 'pucat muka' dan terkebil-kebil biji mata mereka. 
Katakan si mati meninggalkan harta yang keseluruhannya bernilai RM500,000 tentunya pewaris seperti anak, isteri dan sebagainya menyangkanya banyak dan tertanya-tanya berapa yang akan mereka perolehi daripada bahagian masing-masing tetapi selepas disemak hutang si mati berjumlah RM600,000; pendeknya hutang (liabiliti) lebih banyak daripada aset; apa akan terjadi selepas itu? 
Berputih matalah anak isteri. Tentunya waris tidak keruan, mereka sebenarnya bukan dapat harta pusaka, sebaliknya perlu membereskan hutang sebanyak RM100,000. Membereskan hutang itu tanggungjawab waris, tetapi apa akan terjadi jika waris tidak dapat membayarnya? "Menjadi kewajipan pihak berkuasa (seperti Baitulmal) untuk melangsaikannya," kata ustaz. 
Demikianlah dalam kehidupan ini, terutama pada zaman orang banyak berhutang sekarang ini seperti penggunaan pelbagai kad kredit, dikhuatiri seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan mempunyai beban hutang yang terlalu banyak. 
Tentunya si mati 'sudah selamat' dimasukkan ke dalam kubur (dari sisi pandangan dunia) tetapi keluarga yang ditinggalkan akan menanggung bahana berpanjangan. Hakikatnya bukan saja keluarga saja yang menderita di dunia, si mati juga menghadapi 'masalah yang tersangat hebat' di alam barzakh disebabkan hutangnya itu apatah lagi mereka yang sengaja tidak mahu membayar hutang atau melengah-lengah atau mencari dalih mengelak diri daripada membayarnya. 
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba itu berjumpa dengan Allah nanti selepas dosa besar lain yang ditegah ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah pada hari hisab dengan mempunyai hutang yang belum dijelaskan lagi." Sabda Baginda lagi, bermaksud: "Semua dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya." (Hadis riwayat Bukhari, Tarmizi, An- Nasai, dan Ibn Majah) 
Sekalipun ancaman terhadap orang berhutang adalah besar tetapi berhutang seolah-olah sudah menjadi budaya masyarakat kita. Hampir semua kegiatan jual beli berhutang. Beli rumah hutang. Beli kereta hutang. Beli televisyen hutang. Beli perabot hutang. Beli barangan runcit dan ikan pun hutang. Malah makan di warung pun hutang dengan ditulis dalam buku 555.
Jadi tidak takutkah jika kita mati nanti meninggalkan aset banyak bernilai RM500,000 tetapi hutang kita sekeliling pinggang berjumlah RM600,000! Kita bukan menyenangkan anak isteri yang ditinggalkan sebaliknya menyusahkan mereka! Ya Allah, Kau ampuni dosa hamba-hamba-Mu ini.  
Dalam kes TH, aset (hartanya) RM70.3 bilion manakala liabiliti (hutangnya) RM74.4 bilion...ya siapa bakal merana...harap-harap bukan pendeposit sebab 'saya seorang daripada mereka'!