Tuesday, January 8, 2019

Usah dibazir wang rakyat...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

SELAMAT Tahun Baharu. Semoga diberkati Illahi dan dipanjangkan usia. Berbekalkan semangat tahun baharu, diharapkan pemimpin dan rakyat dapat bergandingan bahu membangunkan negara ke peringkat tertinggi; antara perkara terpenting memberikan keselesaan kepada rakyat terbanyak.

Kepada pemimpin, kurangkan atau lebih baik lagi meminimumkan 'politiking' apatah lagi yang bersifat kepartian atau perkauman. Menjelang tahun baharu pun, ramai tokoh termasuk Presiden KEADILAN, Saudara Anwar Ibrahim dan bekas menteri, Daim Zainuddin mengingatkan agar nasib rakyat marhaen dibela bukan asyik menyalahkan rejim lama.

Ya, ringankan bebanan rakyat. Kasihan mereka, sempena tahun baharu ini sebahagian besar daripada ketua keluarga dan pasangan mereka telah banyak berkorban termasuk dari segi kewangan seperti menyediakan peruntukan besar untuk menyekolahkan kembali anak-anak, 

Ini diikuti perbelanjaan 'besar' musim perayaan - Tahun Baharu Cina akan disambut tidak lama lagi...demikianlah banyak keperluan kewangan perlu disediakan sesebuah keluarga khasnya ketua keluarga.

Untuk membantu rakyat, kerajaan (pemimpin) perlu berwaspada dalam perbelanjaan negara. Kurangkan atau boleh hapuskan pembaziran. Berbelanja hanya pada yang benar-benar perlu saja...ya adalah perlu untuk agensi kerajaan berjimat cermat dalam membelanjakan wang rakyat.

Dulu, kita amat-amati setiap hujung tahun hampir semua institusi, agensi dan jabatan kerajaan ‘membalun’ habis-habisan peruntukan kewangan masing-masing, semuanya perlu dihabiskan sebelum permulaan tahun baharu. Akan timbul pelbagai istilah kurang menyenangkan seperti “jika wang diperuntukkan tidak dihabiskan bermakna institusi berkenaan tidak tahu berbelanja” dan “lecehlah mahu buat kira-kira bagi mengembalikan wang peruntukan itu kepada Perbendaharaan.” 

Akibat daripada kecenderungan ini, kita perhatikan wang rakyat dihamburkan tidak tentu hala, banyak projek yang tidak diperlukan dijayakan pada saat-saat akhir. Jalan raya yang baik ditar semula, longkang yang sudah baik saliran airnya dipecahkan dan dibikin baru, demikian juga dengan tandas masjid dipecahkan dan di atas runtuhannya dibikin tandas baru. 

Bagi kakitangan jabatan pula terlalu banyak program dijayakan pada hujung tahun, termasuklah lawatan sambil belajar dan seminar dan pertemuan yang dirasakan tidak perlu tetapi semata-mata untuk menghabiskan semua peruntukan kewangan yang telah diterima. Ada pegawai yang begitu sukar ditemui pada bulan Disember kerana mereka kerap mengikuti program-program dianjurkan jabatannya. 

Bagi kita menghabiskan semua wang peruntukan ini bagi menghadapi tahun baharu termasuk melaksanakan projek-projek tidak perlu dengan alasan kononnya “pandai dan bijak berbelanja” adalah kecenderungan buruk yang wajar diperhalusi dan diberhentikan. 

Berbelanja ‘sakan’ pada hujung tahun menjayakan projek tak perlu adalah bertentangan dengan konsep jimat cermat yang bukan hanya perlu diterapkan kepada diri dan keluarga (duit sendiri) tetapi juga semua pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan yang diamanahkan membelanjakan wang rakyat. 

Apakah seseorang ketua keluarga (biasanya suami) yang pada setiap hujung tahun akan berhabis-habisan menghamburkan lebihan wang peruntukan untuk keluarga untuk projek-projek tidak berfaedah semata-mata untuk mendapat gelaran ‘pandai berbelanja’ adalah seorang ‘bijaksana’ berbanding seseorang yang mengumpul wang lebihan itu melaksanakan pelbagai aktiviti berfaedah pada tahun-tahun berikutnya?

Bagi kita mereka yang mengambur-hamburkan wang ini tersasar jauh daripada konsep berjimat cermat serta amanah dalam apa-apa pemberian anugerah Allah SWT kepada mereka. 

Berhubung dengan tindakan berhati-hati dan berjimat cermat dalam mengguna serta menguruskan wang rakyat ini, kita tertarik dengan sebuah laporan bergambar dari London tidak lama dulu yang menunjukkan Ratu Elizabeth II dalam satu mesyuarat Kabinet British di No 10 Downing Street, sanggup duduk di kerusi ‘biasa’ bersebelahan Perdana Menterinya dalam sebuah bilik ‘yang biasa-biasa saja’.

Berdasarkan situasi ini, dapat kita simpulkan betapa orang Barat (termasuk pemimpinnya) amat berhati-hati dalam segala hal berkaitan dengan wang rakyat. Mereka dipertanggungjawabkan di atas setiap sen wang rakyat yang mereka gunakan untuk perbelanjaan kerajaan. Mereka tidak menghamburkan wang rakyat untuk melaksanakan projek mengikut suka hati masing-masing kerana semuanya akan direkodkan dan ada kira-kiranya. 

Kita berpendapat adalah mustahil Ratu Elizabeth dan anggota Kabinet British tidak mampu untuk mendapatkan kerusi dan bilik yang gah dan mewah tetapi itulah kelebihan mereka – mereka kelihatan bersederhana sekali walaupun berada di kedudukan tinggi; wang rakyat tidak akan sesekali mereka persia-siakan! 

No comments: