Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
BARU-BARU ini seorang anak saya yang belajar di sekolah menengah harian (bukan asrama) meminta saya wang RM330; katanya untuk membayar pelbagai yuran sekolah yang 'dilonggokkan' di bawah PIBG.
Permintaan itu adalah daripada seorang anak; cuba bayangkan jumlah bayaran perlu dibereskan ibu bapa yang mempunyai ramai anak - sama ada di bangku sekolah rendah, menengah, pra-universiti dan institusi pengajian tinggi. Yuran bagi anak-anak di sekolah berasrama penuh 'mengerunkan' kerana ia boleh mencapai RM1,000.
Malahan bagi anak-anak yang hendak dimasukkan ke kelas pra-sekolah (tadika), perbelanjaannya lebih tinggi. Ada mendakwa tadika 'ada kelas sikit' mengenakan bayaran RM1,000!
Demikianlah bukan murah memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak. Namun menjadi harapan kita kerajaan HARAPAN dapat melihat perkara ini dan mencari jalan bagi meringankan bebanan rakyat (khasnya ibu bapa) dalam menyekolahkan anak-anak agar mereka menjadi insan terbaik pada masa depan.
Ya, diakui bahawa bagi melahirkan sebuah tamadun hebat, sejajar dengan pengorbanan semua peringkat masyarakat daripada ibu bapa sehinggalah guru, setiap insan perlukan pendidikan terbaik sama ada dari segi keperluan keduniaan atau akhirat.
Masa depan negara bergantung kepada generasi mudanya. Mereka wajar mendapat pendidikan terbaik termasuk bimbingan kerohanian bagi membolehkan generasi akan datang memberi sumbangan bermakna kepada agama, bangsa dan tanah airnya.
Namun demikian, kos pendidikan semakin lama semakin tinggi, suatu hari nanti dikhuatiri tidak mampu ditanggung golongan sederhana sekalipun. Perkembangan ini sungguh membimbangkan kerana pendidikan sebenarnya adalah keperluan asas yang didambakan setiap rakyat.
Mengapa kos pendidikan yang dikenakan ke atas anak bangsa berterusan naik; perkara ini perlu ditangani secara bijaksana oleh pemimpin HARAPAN dalam suasana 'udara segar' Malaysia Baharu.
Kita perlu fikirkan di beberapa negara maju seperti Britain, Sweden dan Finland pendidikan adalah percuma sedangkan ibu bapa di negara kita dikenakan bayaran yang berterusan naik pada sesi baharu persekolahan.
Selain kos semakin meningkat di sekolah, pengajian peringkat tinggi juga mahal. kita difahamkan setiap pelajar dikehendaki membayar yuran yang mencecah RM1,000. Bagi meringankan beban ibu bapa, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberi pendahuluan pinjaman RM1,500 bagi setiap pelajar baharu.
Ertinya sebelum seseorang pelajar itu memasuki institusi pengajian tinggi, dia sudah mula mengumpul hutang; selepas tamat pengajian beberapa tahun kemudian, berapa agaknya hutang terkumpulnya kepada PTPTN?
Hutang pendidikan begitu membebankan rakyat, terutama generasi muda yang baharu menempoh dunia pekerjaan. Akibat terlalu banyak komitmen, pelbagai masalah termasuk dari segi sosial akan membelenggu sekali gus menjejaskan kemajuan dan kesejahteraan negara. Kini timbul desakan agar PTPTN ini dikaji semua termasuk dihapuskan agar diberikan pendidikan percuma kepada rakyat.
Perkembangan ini membuktikan bahawa tinggi harapan rakyat agar HARAPAN dapat memberi komitmen menyediakan pendidikan percuma kepada semua rakyat Malaysia, daripada peringkat tadika sehinggalah ke pengajian ijazah pertama.
Harapan rakyat wajar diusahakan semampu mungkin oleh kerajaan HARAPAN kerana pendidikan percuma itu adalah berdasarkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang mana antara lain menyatakan hak bumiputera untuk berdaya saing dengan kaum lain; salah satu carannya melalui pendidikan.
Sayogia usaha baik ini diperluaskan kepada semua kaum; semua pihak terutama pelajar yang memerlukan akan dibantu sepenuhnya agar semua rakyat berpeluang mendapat pendidikan terbaik daripada tadika sehinggalah ke pengajian tinggi.
Kita yakin, 'keberhasilan' negara daripada pencukaiannya dan keuntungan puluhan bilion ringgit oleh Petronas, membolehkan rancangan pendidikan percuma itu dijayakan. Ya dengan syarat, kewangan negara ditadbir dengan telus, maka tidak timbul soal untuk memotong peruntukan dengan banyaknya dalam bidang pendidikan negara sehingga ibu bapa perlu membayar 'yuran besar' bagi pendidikan anak-anak mereka.
No comments:
Post a Comment