Friday, February 10, 2017

U Masjid (9): Nikmat Tuhan kamu manakah yang kamu dustakan...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 

SEMPENA cuti Tahun Baharu Cina, ada banyak kenduri kahwin. Saya sekeluarga menerima beberapa undangan, salah satunya ke rumah saudara di Terengganu. Di sana, untuk bermalam saya memilih tidur (beriktikaf) di masjid.

Berbaring seorang diri dalam dewan solat masjid pada malam sunyi sepi, membolehkan saya muhasabah diri. Subhanallah, malam itu saya rasa 'nak terkencing saja' - ini bukan bermakna saya 'takut' tetapi sebagai penghidap kencing manis saya tahu ia mungkin petanda kandungan gula dalam darah saya tinggi disebabkan terlalu banyak makan dan minum pada siangnya.

Jam 12.00 tengah malam saya ke tandas. Jam 1.00 pagi sekali lagi; demikian juga pada jam 2.00, 3.00, 4.00 dan 5.00 sebelum laungan azan sejurus selepas 6.00 pagi. Tandas jauh pula dari tempat 'lepak' saya tetapi disebabkan 'tidak tahan punya pasal' saya pergi juga.

Ya, malam itu saya tidur-tidur ayam saja. Namun, alhamdulillah disebabkan tidak tidur 'banyak hal' yang boleh saya lakukan, antaranya merenung diri. Apabila ke rumah orang kahwin, eloklah saya berceloteh bab suami isteri dan keluarga sekalipun  kini saya bergelar 'pengantin tua'. Ahh, tak tahulah jika pada masa depan ada 'can' menjadi pengantin baru sekali lagi. Syyy, diam-diam nanti marah pulak orang rumah!

Pada majlis perkahwinan saudara itu, saya melihat pengantin sejoli berbual mesra. Abang sayang, adik sayang. Kelihatan sungguh bahagia mereka yang muda belia itu. Sebelum nikah, mereka 'sorang-sorang' kini sudah berdua. Insya-Allah mereka kemudian akan menjadi 'tiga', 'empat', 'lima' dan seterusnya.

Ketika duduk di tangga masjid dalam kegelapan malam, tersedarlah saya bahawa kisah 'manis' saya menjadi pengantin sudah lama berlalu, sudah hampir 30 tahun rupanya. Sekarang, sedarlah diri kata sesetengah orang kerana kubur kata mari sedangkan dunia kata pergi!

Saya merenung diri. Lebih 30 tahun dulu saya seorang diri (bujang trang tang tang). Harta pun hampir tak ada. Yang ada motor kapcai Yamaha Cup yang dibeli secara 'second hand'. Ke mana-mana saya dengan kapcai buruk. Meredah kota dan desa semuanya secara 'lone ranger'.

Kemudian Allah SWT campakkan rasa suka dan berkenan pada seorang 'awek' sepenggajian di U tetapi berlainan tahun. Rasa-rasa dia pun suka pada kita. Dipendekkan cerita akhirnya kami pun kahwin; daripada 'lone ranger', 'kami' sudah berdua rupanya. Apabila dah kahwin, dapat pakai kereta pula walaupun yang 'second hand' juga. Tak nampakkah kita nikmat Allah yang melimpah luah kepada diri kita?

Bersyukurlah kepada-Nya...belajarlah untuk merasai nikmat itu. Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rahman, Fa bi ayyi ālā'i Rabbikumā tukażżibān yang bermaksud; maka nikmat Tuhan kamu manakah yang kamu dustakan...

Allah SWT mengulangi ayat ini sebanyak 31 kali, tetapi masa 'muda-muda dulu' saya macam tak mengerti. Siang malam asyik bekerja. Mengejar dunia. Kata orang mementingkan karier saja. Tetapi dalam kesibukan begitu, daripada berdua, 'kami' sudah menjadi tiga, kemudian berempat, berlima, berenam dan setakat ini berakhir pada bertujuh saja.

Dari segi pemilikan harta pula, daripada kereta 'second hand' sudah bertukar kepada yang baru, jenis sedan; selepas itu ditambah lagi dengan kenderaan yang boleh memuatkan tujuh orang. Kediaman pula daripada rumah sewa sudah ada rumah sendiri kemudian di'renovate' lagi, menjadi luas dan selesa. Tak cukup dengan itu pasang 'air condition' pula. Ya, Fa bi ayyi ālā'i Rabbikumā tukażżibān (maka nikmat Tuhan kamu manakah yang kamu dustakan...)

Teringat saya ketika mula-mula 'terdampar' di Kuala Lumpur ketika mula bekerja pada 1985. Mula-mula cuma ada katil dalam dormitori di ibu pejabat GPMS di Jalan Mahameru. Kemudian berkongsi bilik di sebuah flat di Bangsar, akhirnya baru ada bilik diduduki 'sorang-sorang'. Ertinya berlaku berlaku peningkatan dalam mutu penghidupan. oleh itu, Fa bi ayyi ālā'i Rabbikumā tukażżibān (maka nikmat Tuhan kamu manakah yang kamu dustakan...)

Dari segi jumlah wang simpanan di bank atau saham di ASN atau ASB, saya percaya 'pengantin veteran' memiliki wang yang sudah bertambah angkanya; mungkin RM100,000 (seratus ribu), RM500,000 (lima ratus ribu) atau RM1,000,000 (satu juta) atau lebih, sedangkan dulu masa bujang bakinya selalu kurang daripada RM100 (satu ratus) atau RM10 saja, cakap nak 'minang' anak dara orang pun sudah 'terketar-ketar'. Ya, demikian 'sengkeknya' kebanyakan daripada kita masa bujang dulu, tetapi sekarang? Oleh itu hayatilah sepenuh hati apabila Allah SWT bertanya...Fa bi ayyi ālā'i Rabbikumā tukażżibān (maka nikmat Tuhan kamu manakah yang kamu dustakan...)

Ingatan keras seorang ustaz dalam tazkirahnya saya jadikan kesimpulan celoteh U Masjid kali ini. Katanya: "Sungguh, terlalu banyak nikmat Allah SWT sudah kita nikmati: yang belum kita rasai hanya MASUK KUBUR, oleh itu bersiap sedialah!" Fa bi ayyi ālā'i Rabbikumā tukażżibān (maka nikmat Tuhan kamu manakah yang kamu dustakan...)

No comments: