Monday, February 6, 2017

U Masjid (8): Kaedah pengajian di masjid di takuk lama?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 

SELEPAS tujuh kali berceloteh mengenai kisah-kisah di persekitaran masjid, pada kali ini izinkan saya mengutarakan komentar seorang pembaca.

Singgah Abbekar menulis: Saya yang selalu mengikuti tulisan tuan di mana-mana ada kesempatan, berkeyakinan bahawa tuan seperti saya tidak mendapat didikan Islam secara formal. 

Tentunya sebagai seorang Islam, kita tidak buta tentang addin yang kita anuti. Kalau kita 'kaki masjid', waktu di antara Mahgrib dan Isyak saban malam kita dapat mengikuti pengajian walaupun hanya sebagai pendengar atau sesekali terlena juga.

Kalau rajin kita boleh bergerak dari satu masjid ke masjid lain untuk memilih guru atau kandungan pengajian yang disampaikan terutama apabila kitab lama yang dibaca itu telah beberapa kali khatam.

Saya membawa persolan ini apabila memikirkan kandungan, metod dan strategi pengajaran dan pembelajaran yang tak pernah berubah berdasarkan pengalaman saya yang sudah berumur lebih setengah abad. 

Keadaan ini pada saya amat berkait rapat dengan dominasi ke atas masjid oleh segolongan orang yang meletakkan diri mereka dalam kelasnya yang tersendiri.

Selain kelompok ini (mungkin orang muda muak dengan mereka kot), pihak berkuasa juga terlalu menyekat campur tangan orang luar daripada kelompok ini selain membataskan fungsi masjid itu sendiri. Sebagai contoh, jika ada anak muda yang ada suara ala Mawi untuk sesekali melaungkan azan, ada sesetengah jawatankuasa masjid tidak membenarkannya.

Begitu pula dengan ramai lulusan agama, dari luar atau dalam negara, tidak mendapat kesempatan yang baik untuk menyampaikan kuliah mereka dengan pendekatan yang mungkin lebih segar dan menarik. 

Lalu golongan ini selalunya mencari alternatif lain dengan membuka tempat-tempat pengajaran bukan di masjid seperti di surau-surau, markas-markas atau pusat-pusat tarbiah yang dibina secara persendirian. 

Lecehnya, tempat-tempat ini selalunya dipandang serong oleh segolongan umat Islam terutama pak lebai dan orang-orang penting di sesebuah kampung itu. Tuan juga barangkali amat menyedari keadaan ini bilamana terdapat perbezaan aliran pendapat dan pandangan dua pihak.

Jadinya, saya amat mengkagumi cadangan daripada tuan untuk mempelbagaikan penyampaian dakwah terutama melalui ICT. Paling mengembirakan saya ialah apabila tuan memberi ingatan bahawa dakwah itu menjadi kewajipan setiap Muslim termasuk tuan dan juga saya. 

Amat sedih tuan, apabila sesetengah orang yang balik dari luar negara dengan gelaran ustaz dengan ilmu agama penuh di dada tetapi tidak terlibat dengan masyarakat disebabkan peraturan sosial tertentu di kampung-kampung di kebanyakan kawasan dalam negara kita pada hari ini. Wassallam.

No comments: