DENGAN Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Dirawikan daripada Ali r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: "Jika manusia telah membenci orang-orang fakir dan berseronok dengan dunia serta memburunya untuk mengumpulkan wang, maka Allah akan memanah mereka dengan empat hal; masa yang di mana krisis ekonomi, penguasa zalim, pemegang hukum berkhianat dan tipu daya daripada para musuh."
Renungan
Dirawikan daripada Ali r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: "Jika manusia telah membenci orang-orang fakir dan berseronok dengan dunia serta memburunya untuk mengumpulkan wang, maka Allah akan memanah mereka dengan empat hal; masa yang di mana krisis ekonomi, penguasa zalim, pemegang hukum berkhianat dan tipu daya daripada para musuh."
SETIAP tahun sejak 2011 lebih 1,000 jemaah terpilih dari seluruh negara menunaikan fardu haji di bawah Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (PKHYABPM-1MDB). Perkara ini dibidas oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.
Lazimnya calon terpilih adalah imam, bilal, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pemimpin masyarakat setempat. Jemaah ini selain ditanggung kos menunaikan haji, diberikan wang saku RM1,000 seorang bagi kegunaan sepanjang tempoh menunaikan haji.
Umum mengetahui pada setiap musim, jemaah haji ke Tanah Suci adalah berdasarkan kuota satu peratus daripada jumlah penduduk sesebuah negara; pada tahun ini (2017) dijangka 27,800 orang akan berangkat ke sana.
Disebabkan jumlah rakyat yang terlalu ramai berhajat menunaikan haji, Tabung Haji melaksanakan pendaftaran haji…siapa daftar awal diberikan giliran terdahulu. Mungkin pendeposit Tabung Haji yang mendaftar sekarang, giliran mereka adalah pada tahun-tahun 2080-an!
Bagi jemaah yang namanya ‘sudah naik’ untuk ke Tanah Suci, dikehendaki mengikuti kursus haji bersiri setiap minggu mungkin sampai 15 kali. Namun ini tidak bermakna mereka sudah ‘confirm’ ke Tanah Suci. Kemudian ada kursus haji perdana lagi, pendeknya cabaran untuk disahkan menjadi tetamu Allah adalah terlalu hebat.
Malah ada yang nama mereka sudah tersenarai (termasuk yang sudah diberikan rantai tangan) dibatalkan pemergian mereka ke Tanah Suci. Seorang ustaz bercerita, ada seorang jemaah datang kepadanya, menangis teresak-esak menyatakan dia menerima panggilan telefon menyatakan dia tidak dapat 'lampu hijau' ke Tanah Suci sehari sebelum dia dijadualkan berlepas. Maka menangislah dia mengadu nasib.
Pada musim haji sebelum ini, seorang jemaah yang mendapat panggilan pengesahan ke Tanah Suci pada 'last minute' mengadu: "Kenduri sudah saya buat sebulan lsebelum itu. Hampir setiap kali ke masjid, jemaah akan bertanya; 'ehh tak berangkat lagi?' Saya naik malu dibuatnya. Syukur, alhamdulillah dapat juga saya ke Tanah Suci."
Dia menyindir dengan berkata: "Orang macam kita ini sudah lama mendaftar. Sudah dipilih dan disenaraikan. Sudah ikut kursus termasuk kursus haji perdana. Namun Tabung Haji tidak mengesahkan tarikh pemergian kita sehingga 'last minute'. Ada orang tak mendaftar pun. Tak ikut kursus pun. Tak berhajat pun nak pergi haji. Tup-tup dia dapat surat suruh dia bersedia pergi haji. Ini apa hal ni?"
Jemaah ini merujuk kepada jemaah haji program 1MDB. Mereka didakwa ‘memotong giliran’ jemaah yang sudah ada dalam senarai. Beliau mendakwa itulah sebabnya mengapa sukar benar pegawai Tabung Haji hendak 'release' nama dan tarikh jemaah yang dapat pergi haji. Kasihan petugas Tabung Haji. Mereka kena ikut arahan atasan sedangkan jemaah asyik menghubungi mereka, bertanya, "dapat ke tak dapat" atau "bila nak berangkat ni?"
Pening juga petugas Tabung Haji. Ada 'tangan ghaib' lebih berkuasa yang membolehkan ribuan jemaah pergi tanpa ikut proses biasa - mendaftar, menunggu bertahun-tahun lamanya; orang 'terpilih' ini tup-tup saja dapat pergi haji...ewah begitu mudah sekali.
Seorang jemaah lain memberi cadangan ini: "Kalau nak bagi hadiah kat orang-orang yang banyak jasa dan bakti itu, bagilah mereka buat umrah, kan umrah itu boleh dibuat bila-bila masa. Untuk haji ini bagilah orang yang benar-benar nak buat haji, mereka dah lama menunggu, kasihanilah mereka...ada lebih 900,000 orang dalam senarai menunggu. Apa pasal orang tak mendaftar haji pun boleh pergi dulu?"
No comments:
Post a Comment