Tuesday, February 28, 2017

Ekonomi parah, kian ramai 'jiwa kacau'...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)
PADA kuliah subuh 12 Februari di sebuah masjid berhampiran rumah saya, ustaz antara lain menyuarakan bahawa sekarang ini semakin ramai orang mengalami sakit jiwa. Katanya, ramai rakyat kini menderita 'jiwa kacau' - persoalannya apakah penyebab perkembangan menakutkan ini?
Benar kata ustaz, kerana menurut Ketua Jabatan Pakar Psikiatri Hospital Tuanku Fauziah di Perlis, Dr Ruzita Jamaluddin penyakit mental dijangka menjadi kedua tertinggi dihidapi rakyat Malaysia selepas penyakit jantung pada 2020.
Beliau berkata laporan statistik mengenai penyakit itu sangat membimbangkan kerana pada 2008, sejumlah 400,227 pesakit di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital kerajaan.
"Malah jumlah itu terus meningkat di mana sebanyak 2,000 kes baharu schizophrenia dilaporkan setiap tahun. Lebih membimbangkan jumlah ini berkemungkinan tidak menggambarkan bilangan sebenar.
"Masalah ini bertambah rumit apabila kurangnya pengetahuan berkaitan bahaya penyakit ini dalam kalangan masyarakat menyebabkan ramai memilih tidak mendapatkan rawatan atau hanya merawat secara tradisional," katanya.
Menurutnya, masalah kemurungan dipercayai menjadi punca utama kepada penyakit mental dan kebelakangan ini, media melaporkan banyak kes bunuh diri, mencederakan diri atau orang lain.
“Kemurungan kronik yang antaranya disebabkan tekanan hidup boleh menyebabkan pesakit mengalami halusinasi dan keinginan mencedera atau membunuh diri, sekiranya tidak dirawat segera," katanya.
Ya, tekanan hidup seperti keadaan ekonomi rumah tangga yang tak stabil membawa kepada pelbagai masalah. Ada laporan menyebut hal ini menyumbang kepada jumlah penceraian suami isteri yang tinggi - lebih 274,000 pasangan Islam di Malaysia bercerai antara 2011-2015. 
Rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut mendedahkan sebanyak 38,035 pasangan bercerai sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun 2016. Berdasarkan statistik itu, secara purata sebanyak 156 kes perceraian berlaku setiap hari atau enam (6) kes bagi setiap jam!
Dari segi ekonomi kenapa suami isteri bercerai? Ada suami tidak mampu atau kurang memberi nafkhah menyebabkan berlaku 'perang rumah tangga'.Kemudian ada keluarga dihimpit hutang keliling pinggang - terdapat laporan menyebut ada suami membunuh diri disebabkan masalah ini.
Masalah ekonomi bukan menghimpit orang berkeluarga tetapi juga orang bujang. Misalnya anak muda yang hendak berkahwin, mereka perlukan puluhan ribu ringgit untuk melunaskan hal-hal seperti wang hantaran dan kenduri perkahwinan sedangkan sekarang ini ramai muda-mudi hatta graduan pun tiada kerja.
Ketidakmampuan rakyat dari segi ekonomi ini sebahagiannya disebabkan tata kelola negara yang bermasalah; kenaikan harga barangan keperluan 'angkara' pengenaan cukai ke atas barangan dan perkhidmatan seperti GST, kenaikan harga minyak dan tambang pengangkutan awam.
Demikian rakyat begitu 'stress' (termasuk perlu melakukan dua atau tiga kerja)...hal ini menyumbangkan kepada sakit jiwa dan bagi yang gagal mengawalnya akan memasuki senarai ratusan ribu pesakit psikiatri sekarang ini. Sungguh membimbangkan penyakit 'jiwa kacau' ini akan berada di kedudukan kedua selepas penyakit jantung pada 2020!
Dari segi keagamaan pula, bagaimana menghadapi ancaman 'jiwa kacau' ini? Ustaz menjelaskan minda perlu direhatkan dan salah satu caranya adalah melalui solat. Beliau lantas membacakan sepotong ayat Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah (berjiwa kacau) lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan, ia berkeluh kesah. Apabila ia mendapat kebaikan, ia amat kikir, kecuali orang-orang yang mengerjakan solat, yang tetap mengerjakan solatnya.” (Al-Ma’ārij 19-22)

No comments: