Wednesday, February 15, 2017

Rakyat sudah tak tertanggung beban...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan 

"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)

KETIKA beratur untuk membuat pembayaran di kaunter sebuah kedai serbaneka baru-baru ini, pelanggan di depan saya terkial-kial mengeluarkan wang 'singgit-singgit' untuk melunaskan sekampit beras lima kilogram (paket paling kecil) yang dibelinya.

Kelihatan dia kekurangan seringgit...dia mahu beredar tanpa beras itu; saya yang tidak sampai hati menawarkan RM1 kepadanya. Pada mulanya dia tidak mahu tetapi selepas saya menunjukkan kesungguhan, dia menerima dengan berat hati. 

Rasa sedih terpana di hati ketika saya melihat dia pergi sambil mengendong kampit beras itu...demikianlah sejumlah rakyat sudah tak terpikul beban 'bahana ekonomi' sekarang ini.

Jika pembeli itu melalui episod sedih, saya pun 'dua kali lima' juga - pada tanggal 30 Januari lalu, wang diperuntukkan bagi bajet pembelian barangan basah (saya dipertanggungjawabkan bagi membeli ikan dan sebagainya) bagi bulan Februari keluarga saya sudah 'langsai'...ertinya pada bulan Februari ini saya terpaksa 'korek' wang simpanan bagi tujuan itu.

Kenapa boleh terjadi begitu? Ini kerana pada pertengahan Januari, wang peruntukan membeli barangan basah sudah habis; apabila mendapat wang perolehan yang diberikan awal untuk sambutan Tahun Baharu Cina, saya pun menggunakannya dan sampai pada penghujung bulan, disebabkan ada beberapa majlis kenduri kahwin yang jauh-jauh, akhirnya wang itu dapat bertahan sampai 30 Januari saja.

Saya percaya sekarang ini ramai rakyat mengalami nasib yang sama seperti pembeli beras yang tak cukup seringgit itu dan juga diri saya. Wang dalam tangan tidak cukup untuk membeli barangan keperluan...tetapi yang lebih 'parah', pemerintah seperti tidak faham atau tidak mahu faham derita dihadapi rakyat kebanyakan.

Buktinya, pada petang 31 Januari sudah 'bising-bising' di kalangan orang awam bahawa harga minyak akan naik...orang rumah saya cepat-cepat menyuruh seorang anak kami untuk mengisi 'full tank' keretanya tetapi apabila anak itu bertanya tidak mahukah saya isi minyak untuk kereta milik seorang lagi anak yang kini saya gunakan, saya hanya menghulurkan not RM20. Ya itu saja saya mampu, apa nak buat...jadi tak dapatlah 'full tank'!

Tengah malam 1 Februari sah petrol RON95 dan RON97 naik 20 sen seliter manakala diesel 10 sen seliter. Ya, rakyat 'sudah parah' tetapi 'diparahkan' lagi oleh pemerintah yang nampaknya 'tak berhati perut'. Ini kerana harga ini naik dalam masa lebih kurang sebulan...rakyat belum dapat 'menyerap'  kenaikan lalu, kini perlu menghadapi 'satu lagi kegetiran hidup'.

Rakyat menderita, tetapi pemerintah bijak 'bermain lidah'...bak kata penyanyi Jay Jay dalam lagu 'Rindu Bayangan': "Manis di bibir pandai bermain lidah, berputar-putar membelitkan kata-kata." Mereka menjeritkan slogan seperti ‘rakyat didahulukan’. Adakah ia bermakna rakyat didahulukan untuk didera dan menanggung derita?

Oleh itu, wahai pemimpin jangan pandai bercakap muluk-muluk saja; tunaikan apa awak janjikan. Kalau kamu utamakan rakyat, takkan begitu jadinya. Yang sebenarnya apa yang berlaku, pemimpin yang berada di singgahsana kuasa diutamakan, dijaga oleh pihak keselamatan yang dibiayai sendiri daripada wang rakyat.

Wahai pemimpin, contohilah Raja Mesir, Malikul Muzafar Quthaz yang dapat menewaskan seterusnya menghalang kemaraan tentera Tartar (Mongol) daripada membinasakan dunia Islam pada abad ke-14 Masihi dulu. Baginda mengikut kata ulamanya, Syekh Abdus Salam yang mengesyorkan harta raja, pembesar, orang kaya diambil bagi pembiayaan ongkos perang dan bukannya harta rakyat yang 'ciput' itu!

Jadi dengarlah wahai pemimpin, rakyat sudah tidak tertanggung beban lagi...dulu awak kenakan GST enam peratus, awak naikkan tambang pengangkutan awam dan kini awak naikkan harga minyak pula...apa nak jadi dengan awak ini...didoakan awak bertaubatlah; ingat-ingatlah bahawa doa orang dizalimi amat mustajab...jika mereka berdoa awak tersinggir daripada singgahsana kuasa, maka habislah awak!

No comments: