Tuesday, December 3, 2013
Muslim minoriti termasuk Rohingya perlu pembelaan segera
********************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
**********************
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
********************
Kita terus dikejutkan dengan tragedi umat Islam terutama golongan minoriti yang dizalimi di seluruh dunia termasuk orang Rohingya di Myanmar (Burma) yang disembelih beramai-ramai.
************************
Pengusiran orang Rohingya sekali gus memalitkan rasa malu kepada pertubuhan serantau Asean dan sejagat seperti Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang setakat ini malu-malu untuk bersuara apatah lagi bertindak.
***********************
Sehubungan itu, kita menyambut baik inisiatif pelbagai pihak prihatin yang mendesak Malaysia sebagai negara anggota kanan Asean dan OIC memboikot Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-27 di Myanmar bermula 1 Disember ini dalam usaha membantah tindakan rejim negara itu yang menzalimi masyarakat Islam Rohingya.
***************************
Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia, (Mapim), Azmi Abdul Hamid, berkata tindakan itu perlu, mengambil kira kejadian yang berlaku seperti membunuh, membakar hidup-hidup mangsa dan merosak serta memusnahkan masjid yang berterusan sejak sekian lama terutama selepas Jun 2012.
*************************
Mapim mengesa Malaysia dan semua delegasi kejohanan Sukan SEA membatalkan penyertaan mereka atas alasan kerajaan Myanmar bersikap anti-Islam. Kata Azmi, Asean tidak boleh membiarkan Myanmar meneruskan polisi menindas dan mewujudkan ketegangan agama di negara itu.
************************
Malaysia yang pernah menjadi Pengerusi OIC dan anggota kanan dalam Asean perlu bertindak segera bagi membela golongan minoriti itu; apatah lagi pemimpinnya kerap mendabik dada, menguar-uarkan ia adalah negara contoh terbaik umat Islam.
***********************
Berdasarkan sejarah, kita tahu PBB akan bertindak segera untuk menangani apa yang mereka dakwa keganasan yang berlaku di sesebuah negara umat Islam namun 'lembab' menangani krisis umat Islam minoriti.
***************************
Krisis di Dafur, Sudan; Timor Timur (bekas wilayah Indonesia), Iraq; Afganistan, Iraq dan Iran adalah sebahagian contoh begitu 'efisyennya' PBB bertindak.
*****************************
Tetapi dalam kes membabitkan penganiayaan ke atas umat Islam seperti di Rakhine (negeri kediaman orang Rohingya di Myanmar), Kashmir (India), Xinjiang (China) dan Chechnya (Rusia), PBB 'tidak berkutik' pun, apatah lagi untuk mengharapkan suara lantang kuasa besar dunia. Masalah Rohingya jelas bukan keutamaan mereka.
****************************
Lebih malang lagi, OIC yang mendakwa sebagai 'payung umat Islam' sedunia juga lambat bertindak dalam krisis umat Islam minoriti termasuk orang Rohingya.
*******************
Kini selepas lebih empat dekad sejak diwujudkan pada 1969; OIC, pemimpin dan ummah perlulah bermuhasabah diri, mengkoreksi dan memperbaiki apa-apa kelemahan yang menyebabkan umat Islam seluruh dunia dihina sedemikian rupa.
*************************
Kita yakin selagi umat Islam terutama pemimpinnya tidak kembali kepada panduan Allah dan Rasul-nya selagi itu penghinaan akan dihadapkan kepada umat ini. Kini dari China ke Afrika Selatan, dan dari Amerika Syarikat ke Australia, umat Islam hidup penuh tekanan sehinggakan di negara yang mengaku negara Islam contoh, hukum-hakam Islam dicemuh walaupun baru ada ura-ura melaksanakan sebahagian daripadanya.
****************************
Bagi kita, berapa banyak pun sidang OIC, selagi sebahagian besar pemimpinnya dan juga pemimpin negara umat Islam masih berkiblatkan Washington, London dan Moscow, selagi itulah ummah akan dihina.
*****************************
Namun berdasarkan perkembangan semasa yang menunjukkan gerakan atau parti Islam di seluruh dunia termasuk di dunia Arab semakin mendapat perhatian rakyat dan berkemungkinan besar untuk didaulatkan sebagai peneraju negara, kita berkeyakinan dan mendoakan umat Islam termasuk golongan minoriti seperti orang Rohingya akan mendapat pembelaan jua, insya-Allah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment