Saturday, December 28, 2013

2014: Berjimatlah tapi jangan sampai bahayakan diri...

********************* Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ********************** Renungan **************************** "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32 ****************************** SELAMAT menyambut tahun baru 2014. Pelbagai pihak meramalkan rakyat kebanyakan akan melalui kehidupan sukar pada tahun baru apabila berlaku pelbagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Bagi mengurangkan impak dalam kehidupan; pakar ekonomi mengemukakan kaedah penyelesaian iaitu seseorang atau sesebuah keluarga menambah pendapatan ataupun mengurangkan kos kehidupan ataupun lebih hebat lagi mengabungkan kedua-dua pendekatan ini. ************************************** Apa maksud menambah pendapatan pada 'orang biasa-biasa' seperti saya? Ya, jika anda sudah ada kerja tetap pada sebelah siang (misalnya dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang); pada sebelah malamnya (korbankan waktu tidur anda), bekerjalah 'part time' (mungkin antara jam 7.00 malam hingga 3.00 pagi) di stesen minyak atau pun di restoran makanan segera. Jika anda ada kereta, cuba-cubalah jadikan kenderaan itu 'kereta sapu' dan tawarkan perkhidmatan pada masa terluang anda! **************************** Ataupun jika anda seorang guru, selepas pulang dari sekolah jam 4.00 atau 5.00 petang (cikgu pun sekarang habis kerja terlalu lewat), buatlah kuih seperti karipap atau nasi lemak untuk dihantar ke gerai mamak yang dibuka 24 jam. Anda pun boleh terlibat dalam jualan langsung yang hebat berkembang seperti cendawan tumbuh selepas hujan sekarang ini. Atau jika anda ada tanah atau ruang, hidupkan projek 'bumi hijau'. Sekurang-kurangnya dapat juga 'save' dalam membeli sayur-sayuran. ********************************* Berdasarkan pilihan yang ada, rasanya tak larat untuk saya kerja di stesen minyak atau restoran. Saya sudah tua, lagi pun buat apa saya kacau rezeki 'mat-mat Bangla' yang ramai bekerja di situ. Nak bawa kereta sapu? Lagi saya tak tahu. Takut juga nanti dibelasah oleh 'samseng Kampung Pisang' kerana menjalankan perkhidmatan haram. Jadi apa saya nak buat? Nak buat nasi lemak atau kuih seperti karipap? Tak payahlah, bimbang saya nanti karipap jadi 'kuih kodok' pula! ************************* Apa yang saya nampak, saya hanya boleh berjimat cermat. Misalnya, sekarang ini pun saya sudah membaiki basikal lama seorang anak saya yang tersimpan sekian lama dalam setor. Saya pun sudah cakap kepada anak saya: "Nak, apabila sekolah dibuka nanti, tak payahlah naik bas sekolah. Tambang dah nak naik. Naiklah basikal." Ok, kata si anak, membuatkan saya tersenyum nipis. "'Save' juga duit aku sebanyak RM50 sebulan!" ***************************** Kemudian saya beritahu anak-anak: "Tolong bapak ya, kurangkan penggunaan lampu, kipas. Kalau tak ada dalam bilik, tolong tutup lampu, kipas. Komputer tu jangan dipasang 24 jam. Demikian juga TV. Internet pun tutup. Bapak mahu kau orang tutup semua peralatan ini jam 12.00 tengah malam." Namun hal ini segera dibantah anak-anak, menyebabkan saya terkebil-kebil macam cicak kubin, tak boleh juga nak hadkan waktu itu, kan mereka nak buat 'assignment' dan bermacam-macam 'kerja' lain - tahulah budak-budak zaman sekarang! ******************************* "Nak, gunakan air secara jimat cermat. Jangan mandi lama-lama. Jangan biarkan air mengalir tanpa ada keperluan seperti ketika gosok gigi. Kalau basuh baju, tadah air buangan mesin basuh. Gunakan air itu untuk cuci lantai dan longkang di luar rumah," banyak pula songeh saya dalam langkah berjimat cermat ini. ***************************** Apa lagi yang boleh saya 'save' bagi menghadapi 'pesta gila kenaikan harga' yang dipaksakan ke atas 'rakyat biasa' seperti saya ini. Hah, saya berkorbanlah, tungganglah basikal (saya sudah miliki basikal sejak beberapa tahun lalu) ke masjid yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah untuk setiap solat fardu berjemaah, dapat juga 'save' penggunaan minyak. Kalau satu hari dapat 'save' RM5.00; sebulan sudah RM150.00. Heh,heh, banyak juga tu! Selain 'save' duit, dapat juga jaga kesihatan, bukankah ini yang 'dimahukan' kerajaan apabila mereka menarik subsidi gula menyebabkan harganya melambung kepada RM1.85 sekilogram sekarang ini? **************************** Ya, nampaknya 'sudah banyak 'idea' saya untuk berjimat. Saya pun mengutarakannya kepada isteri saya. Dia tertawa, nampak seronok dan memberi beberapa cadangan tambahan. Katanya, ibu-ibu bangunlah awal-awal; sediakan bekal untuk anak-anak ke sekolah. Tak cukup dengan anak-anak; bekalkan sekali si bapak. Kalau boleh suruh si bapak bawa mangkuk tingkat; baru ada 'kelas'. Alangkah seronoknya, jika semua pekerja bawa mangkuk tingkat ke pejabat! Boleh 'share-share' makanan di pejabat, ohh setiap hari ketika waktu makan tengah hari keadaan macam ada kenduri saja! ******************************* Katanya lagi, "kalau kita sekeluarga makan di luar, saya dan abang pesan satu gelas minuman saja, tapi mintak dua 'straw'." Ohh, alangkah romantiknya suami isteri minum dari satu gelas, selain dapat 'save' duit, hubungan mereka pun harmonis; mana ada suami-isteri minum segelas, yang buat perkara ini pasangan kekasih saja. "Untuk makanan pun, 'order' satu pinggan, kita 'share-share', kan banyak duit dapat di'save'! ****************************** Sambil borak-borak itu, terdedahlah 'satu rahsia' penjimatan semasa saya menuntut di UiTM Shah Alam puluhan tahun dulu. Kata saya semasa jadi 'student', duit sentiasa tidak cukup dalam poket tetapi 'berlagak' mahu pakai 'motor'. Untuk 'save' minyak, dari puncak bukit UiTM saya sengaja matikan enjin motor, kenderaan itu boleh 'drift' sehinggalah ke Asrama Jati yang terletak di bawah bukit. Kalau setiap kali turun bukit saya buat begitu, berapa banyak duit dapat saya 'save'? **************************** "'Save, save' jugak," kata si isteri. "Tetapi kalau sampai bahayakan nyawa sendiri, tak payahlah buat. Nasib baik awak tak jadi Allahyarham," katanya membuatkan saya teringat ada rakan yang memandu kereta pun berbuat perkara yang sama; tidakkah dia tahu brek kereta tak berfungsi apabila dia berbuat begitu... ****************************** Ini bukan nak berjimat namanya tetapi mahu menempah bala; yalah, ini semua kerana "rakyat mahu meneruskan kelangsungan hidup termasuk ketika pemimpin terlalu beriya-iya menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sekarang ini!" ****************************** Apakah derita rakyat ini dapat diselami pemimpin yang ghairah untuk berkuasa 'dulu, kini dan selamanya'? Mungkin mereka tak tahu atau jika tahu pun buat-buat tak peduli sebab ada isteri mereka naik jet eksekutif sedangkan 'rakyat sengkek' nak isi minyak pun duit tak cukup! "Aiii, tak apa," kata sesetengah pengampu, "naik tak banyak, 20 sen saja!"

1 comment:

SysOp said...

Bhai LanH...

Gua selalu baca lu punya artikel... Terbaek... Macam selalu jugak.. penuh dengan panduan..

Terus terang gua cakap... Kenaikan harga nih (tak kira la aper pon) memang menekan kehidupan rakyat marhaen .... Malah menjadikan semua rakyat sebagai taruhan.

Nampaknya kita semua sudah menjadi golongan mustad'afin ...

C++
CipanTapirTenuk.Blogspot