Monday, December 23, 2013
Alam semula jadi sumber inspirasi
*******************
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
******************
Renungan
********************
"Wafatkanlah aku dan keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang saleh." (Maksud Ayat 101 Surah Yusuf)
**********************
KISAH LAMA LanH MELAKUKAN WAWANCARA SANTAI BERSAMA DR ABDUL HALIM RAMLI:
***********************
MEMELIHARA ikan dan berkebun – demikian antara hobi Dr Abdul Halim Ramli, 49 (wawancara dibuat pada 2005), seorang doktor perubatan dan pengusaha klinik yang dikenali ramai di Semabok, Melaka.
*************************
Sebagai bukti ‘kesungguhan’ beliau terhadap ikan, di dalam bilik rawatannya ada sebuah akuarium besar dengan sesekor ikan kelisa keemasan ‘berenang-renang lembut’, mendamai serta menceriakan suasana.
************************
Sepanjang mendapatkan rawatan di klinik-klinik swasta, penulis belum pernah berjumpa seorang doktor ‘menyimpan ikan’ dalam bilik rawatan. Yang biasa ditemui ialah akuarium ikan diletakkan di luar (tempat menunggu pelanggan) bagi ‘menghiburkan dan melekakan’ anak-anak dan peminat ikan sebelum ‘nama’ mereka dipanggil ke kamar doktor.
*************************
Selain ikan dan berkebun, alam semula jadi menjadi sumber inspirasi doktor yang tidak lokek dengan senyuman ini, ‘mencaj’ dirinya. Mungkin itulah sebabnya doktor ini ‘mesra alam’, mudah didekati dan lembut pula tutur budi bicaranya.
*******************************
Selain ‘mencaj’ dirinya dengan alam semula jadi, anak saudara tokoh wanita negara, Tan Sri Fatimah Hashim ini, tidak lupa memperkenalkan minat yang sama kepada anak-anak dan isterinya yang kini bergelar Dato’ dan berjawatan pengarah kesihatan sebuah negeri.(isterinya sudah meninggal dunia, takziah diucapkan kepada Dr)
***************************
Dr Abdul Halim berkata, sejak anak-anaknya masih kecil mereka diajar mengenal, menghayati dan memahami alam semula jadi. Antara aktiviti mereka lakukan sekeluarga ialah memanjat gunung dan memerhati burung (bird watching).
**************************
Apabila doktor yang kerap dilihat berbaju putih ini menjelaskan minatnya untuk memerhati burung dalam wawancara ini, terbayang di mata penulis lagak A R Tompel bersama teropongnya ke sana ke sini dalam filem ‘Keluarga 69’. Selain burung, A R Tompel juga meneropong…
*************************
Khayalan dan senyuman penulis segera terputus apabila terdengar Dr Abdul Halim bertanyakan anak penulis berusia 14 tahun yang turut serta dalam wawancara itu. “Hah, awak kenal burung kunyit besar?” Budak lelaki itu menyatakan ‘tidak tahu’, menyebabkan doktor lepasan Tanta (sebuah universiti di Mesir) itu ‘menyambung ceramah mengenai hobi burungnya’.
******************************
Sebagai seorang bapa dan tokoh masyarakat, tentulah doktor yang dikurniakan enam anak ini tidak terlepas daripada membicarakan hal-hal berkaitan dunia pendidikan. Rekod pencapaian anak-anaknya dalam pelajaran begitu membanggakan. Anak pertama, kini seorang doktor, mendapat 9A dalam SPM; manakala yang kedua, seorang peguam juga mendapat 9A dalam peperiksaan sama.
****************************
Anak ketiga dan keempat kini sedang belajar ilmu kedoktoran, seorang mendapat 9A dan manakala seorang lagi 8A dalam pemeriksaan SPM manakala anak kelima yang kini mengikuti pengajian A-Level, mendapat 10A dalam peperiksaan sama. Anak keenamnya kini berada dalam Tingakatan Dua sebuah sekolah terkenal di Melaka. (ini semua relevan pada tahun 2005)
*****************************
(Berikut adalah petikan wawancara dengan Dr Abdul Halim yang menjadi calon Adun PAS dalam pilihan raya umum 1999 dan 2004 lalu.)
**********************
* Mengenai masa depan pendidikan generasi muda.
*************************
Saya cukup bimbang dengan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Kayu pengukur kejayaan atau kegagalan sebahagiannya disandarkan kepada keputusan PMR yang akan diumumkan 22 Disember ini.
***********************
Sumber-sumber guru memberitahu saya ‘standard’ kertas PMR bagi Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris telah direndahkan. Ertinya ujian ini mudah dan kemungkinan ramai murid akan mencapai tahap tertinggi (A). Jika ini berlaku, pihak berkenaan dengan mudah akan mengisytiharkan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sudah terbukti kejayaannya.
**********************
Saya bimbang akan kesannya sama ada dari segi jangka panjang atau pendek. Dari segi jangka pendek, ramai pelajar akan layak ke sekolah berasrama penuh. Dari segi jumlah pelajar yang layak ke institusi pengajian tinggi kemudiannya, mungkin ramai, tetapi dari segi mutu ia diragukan.
************************
Contohnya ada. Misalnya mengapa ramai pelatih kolej kejururawatan gagal dalam kursus mereka. Berdasarkan keputusan peperiksaan SPM, mereka mempunyai kelayakan tetapi apabila mengikuti kursus yang banyak menekankan aspek teknikal dan amali yang kebanyakannya adalah dalam bahasa Inggeris, ramai pelatih Melayu telah gagal. Ini menunjukkan ‘standard’ pencapaian peperiksaan mereka, walaupun layak untuk mengikuti kursus, tidak begitu memuaskan untuk menghadapi cabaran pada peringkat lebih tinggi.
***********************
* Usaha ke arah kecemerlangan
*************************
Saya suka tekankan mengenai ‘time management’ (pengurusan masa). Setiap orang perlu bijak menguruskan masa masing-masing. Setiap orang mempunyai masa yang sama – 24 jam sehari. Di sini saya ingin menyentuh hal berkaitan pelajar kerana ia lebih mudah kerana saya juga mempunyai anak-anak.
****************************
Setiap pelajar perlu memperuntukkan masa yang cukup untuk belajar dan bermain selain keperluan asasi lain. Memperuntukkan masa semata-mata untuk belajar adalah silap. Tidak ada orang yang boleh berjaya jika dia hidup dengan menghadap buku saja.
**************************
Kita juga perlu meluangkan masa melakukan kerja-kerja yang mengembirakan dan menjadi minat kita. Saya tertarik dengan kata-kata seorang pujangga Inggeris, William Woodworth yang berbunyi: “What is life, if full of care, you don’t have time to stand and stare’.” (Apa maknanya hidup jika ia penuh dengan pengawasan sehingga anda tiada masa untuk berdiri dan merenung diri).
*************************
* Kejayaan hakiki
*************************
Biasanya kejayaan dikaitkan dengan perolehan di atas kertas (peperiksaan), kerjaya, pangkat dan pemilikan material. Erti kejayaan pada kebanyakan orang ialah apa kerja kamu, apa pangkat kamu, berapa besar atau banyak rumah kamu dan apa jenis dan jumlah kereta kamu dan berapa banyak duit kamu. Ini suatu bentuk ukuran yang tidak tepat. ‘Yardstick’ ini tidak betul.
***************************
Di sini pentingnya pendidikan Islam secara total bagi mengerakkan kita melahirkan anak-anak yang bukan saja berjaya dalam bidang masing-masing tetapi juga sebagai insan bertakwa. Jika kita melahirkan seorang jurutera, kita mahukan seorang jurutera bertakwa; jika melahirkan seorang doktor, kita mahukan seorang doktor yang bertakwa dan jika melahirkan seorang arkitek, kita mahukan seorang arkitek yang bertakwa.
******************************
Kita bukan saja mahu melahiran profesional bertakwa tetapi semua insan bertakwa. Jika seseorang itu menjadi tukang sapu sekali pun, kita mahukan dia menjadi tukang sapu bertakwa. Jika dia seorang petani, dia petani yang bertakwa. Dia bersyukur dengan rezekinya yang dikurniakan Allah dan tidak akan membikin kacau manakala orang kaya pula tahu kewajipannya terhadap orang miskin.
*************************
Dari sini barulah mudah terbentuk keluarga bahagia, seterusnya masyarakat bahagia, negara bahagia dan dunia yang bahagia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment