Monday, December 16, 2013
Malam adalah 'untuk berehat' di Manipal...!
********************** Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *********************** Renungan **************************** "Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain daripada Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku." (Surah Yaasin, ayat 23)
***************************
KETIKA mula menulis 'celoteh' ini saya berada di Manipal, di negeri Kartanaka, India. Saya mengambil peluang menziarahi seorang anak lelaki yang akan tamat pengajian dua setengah tahunnya di Kolej Perubatan Melaka-Manipal Februari depan.
***************************
Perjalanan dari tanah air ke Manipal meletihkan. Dari Kuala Lumpur, saya menaiki pesawat ke Bangalore, ibu kota Kartanaka yang terletak di tengah-tengah bahagian selatan India. Dari Bangalore menaiki pesawat dalam negeri ke Mangalore iaitu sebuah bandar pelabuhan yang terletak di pesisir Laut Arab yang jauhnya 350 kilometer dari Bangalore.
*****************************
Dari Mangalore pula melalui 'jalan agak teruk' dengan menaiki kereta pelbagai guna (MPV) ke Udupi yang terletak 60 kilometer ke utara dan akhirnya ke Manipal, sebuah bandar pinggiran Udupi yang terkenal dengan beberapa kolej perubatannya seperti Kolej Perubatan Kasturba yang menjadi tempat belajar angkasawan pertama negara, Sheikh Muszaphar Shukor.
*********************************
Manipal adalah sebuah 'bandar ilmu' terutama dalam bidang perubatan dan keadaan bandar ini yang agak unik dari kaca mata saya membuat saya tertarik untuk mecelotehkannya dalam ruangan ini.
******************************
Manipal kira-kira enam dekad dulu, adalah sebuah kawasan berbukit tandus dengan hanya beberapa batang pokok. Tetapi di atas usaha seorang doktor berwawasan tinggi, Dr TM A Pai, bandar yang bermaksud 'kawasan berlumpur di tepi tasik' dalam bahasa Tulu bertukar menjadi pusat ilmu bukan saja menjadi kebanggaan India tetapi masyhur di peringkat antarabangsa.
****************************
Universiti Manipal saja mempunyai 19 kolej, daripada bidang perniagaan, kejuruteraan dan sains kesihatan. Manipal juga berbangga dengan wujudnya Muzium Anatomi dan Pathologi (MAP) yang terbesar di Asia. Muzium ini menempatkan ribuan spesimen asli manusia (bukan plastik) daripada rangka hinggalah alat kemaluan mereka!
****************************
'Keunikan' Manipal boleh 'dirasakan' sebaik saja seorang mendaftar masuk ke hotel penginapannya. Hanya sebutir kecil sabun perubatan disediakan dalam bilik (berbanding hotel di tempat lain yang menyediakan pelbagai kelengkapan seperti syampu); nampaknya penghuninya berusaha 'meminimumkan' penggunaan semua jenis barangan termasuklah plastik dan yang lebih penting lagi penjimatan elektrik.
**************************
Apa yang mengejutkan saya, mulai jam 9.00 malam (berdasarkan pengamatan saya), bandar Manipal sudah bergelap apabila hampir semua lampu jalan dipadamkan. Pendeknya, kegiatan dan urusan luar rumah dan bangunan sudah terhenti; fikir saya mungkinkah orang Manipal sudah bersiap sedia untuk masuk tidur!
**************************
Seorang pelajar mengesahkan dugaan saya itu. Katanya, menjelang tengah malam, hampir semua kegiatan dihentikan; restoran pun perlu menutup kedai pada jam 11.00 malam, demikian juga pelbagai kemudahan awam seperti perpustakaan.
**************************
Pendeknya, malam bagi orang Manipal adalah untuk tidur dan bagi 'pemburu ilmu', mereka bersengkang mata di rumah sendiri bukannya 'merayap' di kedai-kedai 'mamak' dan makanan segera 24 jam; suatu fenomena yang semakin menjadi-jadi di negara kita!
**********************
Sebagai penghuni 'bandar ilmu', orang Manipal faham bahawa malam dijadikan Tuhan untuk berehat selepas berhempas pulas bekerja atau menuntut ilmu pada siang harinya. Selain itu mereka dapat berjimat dari segi penggunaan elektrik dan tenaga manusia.
***************************
Apabila cukup tidur pada sebelah malam, bersemangatlah orang Manipal terutama puluhan ribu pelajarnya memburu ilmu pada siang harinya. Mungkinkah ini rahsia yang membuatkan Manipal semakin dikenali di kalangan cendekiawan dari seluruh pelosok dunia termasuk ribuan pelajar dari Malaysia yang menuntut di sana. Salam daripada LanH di Manipal.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment