Saturday, December 21, 2013
Teladanilah Mandela; 'pergilah sebelum orang benci...'
*************************
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
************************
Renungan
***************************
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***********************************
HARI Sabtu, 7 Disember 2013 saya berada di Manipal, India. Selepas subuh hari itu, ketika menatap akhbar "Deccan Herald' agak 'terasa' saya melihat 'headline' (kepala beritanya) 'Peace hero Mandela passes away'. Di muka 15, ada belangkasuka bertajuk 'Mandela, the Gandhi of South Africa'.
*****************************
Mengapa saya katakan saya 'terasa' dengan berita pemergian Mandela? Ini kerana saya sebagai wartawan pada April/Mei 1994 membuat liputan pilihan raya pelbagai kaum pertama Afrika Selatan yang membawa kehancuran dasar aparteid seterusnya menobatkan Mandela sebagai Presiden Afrika Selatan pertama di kalangan orang bukan kulit putih.
*******************************
Ya, sebagai wartawan mungkin saya telah berusaha membuat laporan sebaik mungkin mengenai pilihan raya bersejarah itu, tetapi sebagai individu yang mempunyai hati dan perasaan apa yang sudah saya pelajari daripada kisah hidup insan yang pernah terpenjara di Pulau Robben selama 27 tahun itu?
***********************************
Daripada pelbagai sumber bacaan, saya andaikan Mandela pada zaman mudanya adalah seorang pemberontak, melakukan tentangan agresif yang berakhirnya dengan dirinya meringkuk dalam penjara dan pengasingan - bukan setahun dua tetapi puluhan tahun.
*******************************
Penjara telah 'mematangkan' si pemberontak bernama Mandela. Dia mula menyedari taktik gerila (ganas) tidak akan membawa bangsanya dan negara Afrika Selatan yang dicintainya ke mana-mana. Daripada seorang pejuang pembebasan, Mandela melalui 'transformasi' menjadi pemimpin sedia berunding, mendengar, berubah, melakukan pengubah-suaian, dan memperhalusi tindakannya. Dia sudah bersedia bersabar menempuh onak duri sepanjang perjalanan mencapai matlamat perjuangannya.
***********************************
Mandela 'yang matang' amat jitu dalam prinsip dan matlamat utama perjuangannya - membebaskan Afrika Selatan terutama orang kulit hitam daripada dasar penghambaan aparteid seterusnya membuka lembaran baru kepada semua warga Afrika Selatan tanpa mengira warna kulit dan kedudukan. Dan semua itu sudah diraihnya melalui pilihan raya 1994.
*******************************
Selepas berakhirnya pilihan raya bersejarah itu, saya jarang mengikuti perkembangan di Afrika Selatan sehinggalah negara itu bersiap sedia mengadakan pilihan raya kedua selepas berakhirnya aparteid pada 1999. Pada pilihan raya ini, Mandela sebagai pemimpin ulung Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) berpeluang menang besar dan kembali menjadi presiden buat penggal kedua, memilih untuk berundur, membuka laluan kepada timbalannya, Thabo Mbeki menerajui negara.
*******************************
Mandela pernah berkata: "Untuk mengawal sekawan lembu, kamu berdiri di belakang dengan memegang ranting; lembu yang 'cerdik' akan ke depan untuk mengetuai kumpulan lembu itu." Ya, pemimpin yang cerdik, berdirilah di belakang, bukan gila untuk berada di depan selama-lamanya!
****************************
Demikianlah, contoh hebat ditunjukkan negarawan hebat! Mandela enggan berada di puncak kuasa buat tempoh lama, tidak seperti banyak diktator dan presiden serta perdana menteri (bagi negara) dan CEO organisasi (bagi syarikat dan agensi) yang 'lapar' atau gila untuk berkuasa 'dulu, kini dan selama-lamanya' sehingga ada yang membunuh pesaingnya seperti dalam kes gantung sampai mati pemimpin Jammat-e-Islami Bangladesh, Abdul Quader Mollah.
******************************
Sekalipun dibunuh dan dihina sedemikian rupa, orang yang berada di jalan lurus seperti ramai nabi-nabi dan pada zaman moden ini Hasan Al-Banna, Syed Qutb dan Dr Mohamad Morsi (masih hidup) terus harum nama mereka sedangkan pemimpin yang mahu berkuasa 'dulu, kini dan selama-lamanya' seperti Firaun, Namrud (zaman dulu) dan pada zaman moden, Marcos, Gaddafi, dan mungkin Basar Al-Assad serta Bush melalui pengakhiran yang penuh penghinaan.
****************************
Demikianlah, wahai insan terutama pemimpin; insaflah, ikutilah laluan yang telah dirintis dan ditunjuki negarawan termasyhur dunia abad ini, Nelson Rolihlahla Mandela - 'pergilah (atau berundurlah) sebelum orang benci!'
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment