Saturday, November 30, 2013

Petugas/pemilik media perlu akur halal/haram dalam penerbitan

**************** DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Renungan Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim) ************* PADA ketika kebebasan media Malaysia berada pada tahap terendah mengikut piawai antarabangsa, pada waktu yang sama juga sesetengah pemilik dan petugas media negara menyemaikan budaya negatif yang menyumbang kepada kerosakan anak bangsa. ********************* Dunia media massa Malaysia hari ini terlalu mementingkan laba sehingga mengabaikan tanggungjawabnya sebagai pembina masa depan generasi muda. ************************** Daripada media elektronik (termasuk 'online' dan 'sosial') sehingga media cetak, semuanya berlumba-lumba mendapatkan pelanggan sebanyak mungkin seterusnya mengaut keuntungan berlipat ganda. **************************** Bagi media cetak, daripada akhbar nasional (arus perdana) sehingga akhbar dan majalah picisan, kebanyakannya menyiar gambar dan cerita murahan yang diharap dapat 'menggoda' pembaca. *************************** Akhbar mingguan nasional berbahasa Melayu bersaing hebat untuk menyiarkan gambar-gambar artis separuh bogel untuk tatapan seisi keluarga pada hujung minggu. ****************************** Artis-artis terbabit orang Islam manakala negara ini pula sudah diisytiharkan sebagai negara Islam, malah negara Islam contoh pula! ****************************** Akhbar-akhbar nasional ini juga berbangga menyiarkan keputusan judi (empat nombor ekor) sedangkan pada ruangan lain disiarkan pula segmen agama yang kadang-kadang terdapat rencana yang membicarakan kebinasaan terhadap orang yang bersubahat melakukan maksiat itu. ************************ Majalah-majalah separuh lucah semakin banyak memenuhi gerai-gerai terbuka. Tiada halangan untuk budak-budak sekolah mendapatkannya. *************************** Bagi majalah wanita dan hiburan pula, adalah menjadi kebiasaan untuk mereka menggunakan gambar penghias muka depan yang menggoda. ****************************** Selain majalah separuh lucah, akhbar dan majalah berbahasa Melayu juga sarat dengan kisah berunsur tahyul dan misteri. Kunjungilah gerai-gerai akhbar, kita akan berpeluang menatap akhbar dan majalah dengan tajuk muka depan seperti 'Misteri Kubur Berasap' atau 'Pasangan Zina Melekat'. ************************* Bagi pengamal media elektronik seperti TV pula, selain rancangan yang semakin 'daring', disiarkan juga iklan yang mungkin boleh membuatkan 'datuk nenek' kita pengsan. ************************* Misalnya, sedang kita sekeluarga menikmati sebuah drama Melayu jam 12.30 tengah hari, tiba-tiba disiarkan sebuah iklan krim membesar dan menegangkan payu dara. *************************** Maka terkeluarlah istilah seperti 'menonjol' yang membuatkan kita tersipu-sipu di depan anak-anak. ************************* Berhubung hal inilah, kita tertanya-tanya di mana letaknya fungsi kementerian-kementerian yang bersangkutan terutama KDN dalam merealisasikan kehidupan yang syumul di 'sebuah negara Islam'. ************************** Apakah 'negara Islam' yang diuarkan-uarkan itu hanya sebagai penyedap mulut saja sedangkan realitinya jauh panggang dari api? ********************** Apabila maksiat menjadi-jadi kita hilang punca. Kes penderaan, rogol, bunuh tidak dapat dibendung menyebabkan masyarakat menyalahkan satu sama lain. ******************** Pemimpin mencadangkan itu dan ini, tetapi ternyata semuanya menemui jalan buntu. ********************** Berhubung hal ini kita lihat betapa penyakit yang menimpa masyarakat tidak dirawat dan diberikan ubat yang betul. Jika kaki kiri yang busuk akibat penyakit kencing manis, mengapa pula dipotong kaki kanan. ************************ Jika mahu mengubati sesuatu penyakit, carilah puncanya. Demikian juga penyakit masyarakat yang melanda kita. Kaedah rawatan perlu ditangani daripada akar umbi. ********************** Di sinilah kita berpendapat pengamal media amat penting peranan mereka. ********************** Jika pengamal media tahu dan mengamalkan hukum-hakam agama manakala kerajaan bersedia menjalankan pentadbiran dan undang-undang berdasarkan al-Quran (bukankah 'negara ini sebuah negara Islam!'), kita optimis masyarakat kita dapat diselamatkan.

No comments: