Friday, November 29, 2013
Sumbangan kecil; besar erti kepada agama jika ikhlas
**********************
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
***********************
Renungan
****************************
"Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain daripada Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku." (Surah Yaasin, ayat 23)
**********************************
SEMAKIN tua diri ini, semakin terasa pula terlalu sikit bekalan untuk dibawa ke alam sana. Kadang-kadang terasa cemas di hati, diri ini sebenarnya tiada apa-apa bekalan untuk dibawa ke sana. Ringkasnya diri ini 'belum bersedia lagi untuk mati'. Namun mati akan tetap menjemput diri kita sama ada kita bersedia atau tidak.
***************************
Seorang ustaz dalam kuliah dwi-bulanan di sebuah masjid berhampiran rumah saya, berkata 'orang yang hidup hatinya' termasuk ustaz sendiri ramai yang mula 'menggulung tilam' mereka sebaik saja memasuki umur 40 tahun seterusnya 'membuat pecutan' terakhir sebelum ajal menjemput mereka.
**********************************
Apakah makna 'menggulung tilam' itu? Sang ustaz membawa kisah Umar Abdul Aziz (hidup pada 682-719 Masihi) iaitu salah seorang khalifah Bani Umaiyah yang juga dianggap Khalifah Al-Rasyidin yang kelima selepas Abu Bakar r.a., Umar al-Khattab r.a., Uthman Affan r.a. dan Ali Abu Talib k.w.j. yang mengungkapkan kata-kata tegas penuh ketakutan kepada Allah SWT kepada isterinya, Fatimah selepas dilantik khalifah yang kerajaannya terbentang dari Lautan Atlantik di barat ke India di sebelah timur dalam usia 35 tahun.
**************************
Umar berkata dia tak ada masa lagi untuk berseronok-seronok dengan anak isterinya, masa yang ada termasuk waktu tidurnya di atas tilam empuk dalam istana indah, perlu dikorbankan seluruhnya untuk Allah SWT termasuk melayan keperluan rakyat. Kalau isterinya bersedia menjalani kehidupan begitu berpanjanganlah jodoh mereka, jika tidak suka, dia sedia menceraikannya "dan kamu carilah lelaki lain yang boleh membahagiakan kamu."
******************************
Sungguh Umar telah menjalankan pemerintahan dengan penuh ketakutan kepada Allah SWT sehinggalah dia meninggal dunia dua setengah tahun kemudian dalam usia 37 tahun. Sungguhpun pemerintahannya tersangkat singkat, keadilannya disanjung Timur dan Barat, membolehkan namanya diletakkan sebaris dengan khalifah Al-Rasyidin yang empat.
****************************
Khalifah Umar telah 'menggulung tilamnya' sebelum berusia 40 tahun (baginda meninggal dalam usia 37 tahun) tetapi adakah kita ini (termasuk sayalah tu) yang telah tua ini (melebihi 50 tahun) masih mahu berleka-leka dengan kehidupan dunia yang singkat ini? Masa yang berbaki terlalu pendek tetapi apa yang telah kita buat?
*****************************
Ya, tiada apa yang kita sudah buat; namun sebagai teladan (tiadalah niat di hati saya untuk membesar diri), beberapa 'perkara terlalu kecil dan remeh' yang telah saya buat telah mendatangkan apa yang saya anggap kesan besar kepada kebajikan masyarakat.
*************************
Menulis cadangan kepada Pengerusi dan AJK Masjid dan memasukkannya ke dalam kotak cadangan masjid (semacam surat layang) adalah antara 'kerja' yang pernah saya lakukan. Antara cadangan yang pernah saya utarakan ialah "kenapa masjid kita ada tandas VIP yang ditutup saja sepanjang tahun. Bukalah untuk kegunaan jemaah kerana ada tandas tetapi tidak digunakan adalah pembaziran (VIP datang sesekali saja). Pembaziran adalah kerja SYAITAN."
***************************
Terkejut sungguh saya, cadangan saya mendapat respons baik. Tidak lama kemudian tandas itu dibuka untuk kegunaan awam selepas papan tanda VIP ditanggalkan! Bukankah ini 'kerja kecil' tetapi faedahnya dapat dinikmati bersama.
***************************
Selepas kali pertama menunaikan haji pada 2002, saya menulis surat kepada pengurusan Tabung Haji mencadangkan agar diadakan tandas berasingan untuk buang air kecil dan buang air besar (serta mandi) di Mina dan Arafah (ketika musim haji) kerana orang buang air kecil mengambil masa singkat sedangkan orang buang air besar serta mandi mengambil masa terlalu lama jadi kasihanlah orang yang beratur panjang dan lama terutama orang-orang tua, hanya untuk kencing sedangkan 'urusannya' boleh diselesaikan dengan segera.
**********************
Saya ingat cadangan saya tak ke mana-mana; tetapi terkejut saya mendapat surat dari Tabung Haji memberitahu cadangan saya telah disampaikan kepada pihak Muassasah Asia Tenggara di Arab Saudi yang mengurusakan hal-ehwal jemaah haji di Arafah dan Mina! Dan apabila saya menunaikan haji bagi kali kedua pada 2005, sudah ada tandas bertulis 'Untuk Buang Air Kecil' saja. Ya, tidaklah saya tahu sama ada perubahan itu ada kaitan dengan surat saya, tetapi setidak-tidaknya saya gembira dan bersyukur dengan pembaharuan itu yang mendatangkan kebaikan kepada semua.
***************************
Kini, Muktmar PAS ke-59 selesai sudah. Berilah kerjasama kepada pemimpin yang dipilih dan menyumbanglah sesuatu untuk parti dan agama kita. Ia mungkin kecil di sisi kita dan manusia tetapi percayalah jika dilakukan ikhas semata-mata kerana-Nya, insya-Allah kita akan melihat hasilnya, termasuk di dunia lagi.
*******************************
Ingatlah kisah si burung kecil yang berusaha memadamkan api besar yang dinyalakan untuk membakar Nabi Ibrahim a.s. dengan membawa air di paruhnya; usahanya mungkin dilihat kecil oleh makhluk tetapi besar di sisi-Nya. Hendaklah kita menjadi seperti burung itu yang tidak meminta jasanya dikenang tetapi hanya mengharapkan reda Illahi!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment